Pages

Sunday, June 2, 2013

Rendang Ayam Berempah

Assalamualaikum dan Selamat Berhujung Minggu.


Telah agak lama Kak Noor tak muatkan resepi terbaharu dalam blog SDB.  Tetapi itu bukan bermakna dapur Kak Noor tak berasap tau!  Cuma Kak Noor rasa tak perlu dimasukkan resepi yang sama dalam blog ini.    Biasalah anak-anak Kak Noor, kena masak apa yang mereka suka makan sahaja.  Tak kisahlah walaupun resepi tu minggu lalu dah masak, tetapi minggu ini masak resepi yang sama lagi.  Yang penting masakan itu faveret dia orang.   Kalau cuba masak sesuatu resepi yang baharu, kalau tak kena dengan tekak mereka, alamatnya tak terusiklah masakan tu.  Kadang-kadang sampai dua hari tak `laku' dan asyik panaskan sahaja.


Boleh dimakan dengan nasi putih, nasi minyak, nasi tomato, nasi beriani, ketupat, dan juga lemang.

So... hari ini Kak Noor masak Rendang Ayam Berempah.  Cara masakan rendang ayam berempah ini ala-ala Rendang Ayam Tok yang pernah Kak Noor abadikan dalam blog ini (cuma tak ada gambar).   Cuma bagi resepi rendang ini Kak Noor olahkan sedikit untuk mendapatkan citarasa berlainan. Rendangnya pula tidaklah pekat, masih boleh diceduk kuahnya.

Eloklah, anak lelaki Kak Noor pun nak balik ke IKBN petang ni.  Bolehlah Kak Noor bekalkan kepadanya Rendang Ayam Berempah ini.  Memang kalau balik bercuti, tak pernah mis bawa balik bekalan makanan daripada rumah.   Sekali sekala dapat makan masakan ibu....

Malas Kak Noor nak berceloteh panjang.  Banyak tugas sedang menanti.  Jom kita tengok resepinya.

Bahan-bahannya:
1 ½ kg ketul ayam (saiz ketulan ayam yang dibelah 16)
2 cawan santan sawit KHALIS (Boleh juga guna pati santan kelapa biasa)
200 gm kerisik
1 keping asam keping (asam gelugor)
Beberapa helai daun limau purut
4 – 5 biji cili padi merah, dipatahkan (opsyen)
3 sudu besar gula merah
Garam secukup rasa

Bahan-bahan No. 2 
3 sudu besar serbuk rempah kari daging
1 sudu besar serbuk ketumbar
1 sudu besar serbuk jintan manis
1 sudu besar serbuk jintan putih
1 sudu besar serbuk cili halus
Air suam secukupnya
(Bahan-bahan no. 2 disatukan dan dibancuh dengan air suam, dijadikan pes)

Bahan-bahan No.3 
2 biji bawang besar
4 ulas bawang putih
2 batang serai
3 cm lengkuas
3 cm kunyit hidup
5 cm halia
Air suam secukupnya
(Bahan-bahan No. 3 disatukan dan diblend halus)

Bahan-bahan ditumis:
1 senduk nasi minyak untuk menumis
2 batang serai – diketuk
2 inci kulit kayu manis
4 biji buah pelaga
2 kuntum bunga lawang

Penyediaannya:
1. Panaskan minyak di dalam kuali besar. Tumis serai, kulit kayu manis, buah pelaga dan bunga lawang sehingga naik bau.
2. Kemudian masukkan bahan-bahan No. 2 yang telah dijadikan pes. Kacau rata dan biarkan ia masak seketika (selama 5 minit) sehingga naik bau.
3. Masukkan pula bahan-bahan No. 3 yang telah dikisar halus dan dikacau rata. Masak sehingga terbit minyak.
4. Setelah terbit minyak bolehlah dimasukkan ayam. Kaup balikkan ayam dengan adunan rempah tadi sehingga bersalut. Sekiranya kuah agak pekat, bolehlah dimasukkan 1 cawan air. Perlahan api, dan biarkan ayam mereneh selama lebih kurang 10 minit.
5. Kemudian masukkan santan, kerisik, gula merah, garam secukup rasa, asam keping, daun limau purut dan cili padi merah. Kacau rata dan masak sehingga ayam empuk dan kuah agak pekat. Gunakan api yang sederhana dan kaedah mereneh.
6. Sekiranya suka rendang berkuah, janganlah masak sehingga kering. Sebaiknya setelah ayam telah empuk, bolehlah diangkat.

0 comments:

Post a Comment