Pages

Sunday, September 30, 2012

KOAY TEOW GORENG BERSOS

Koay teow goreng lagi untuk breakfast hari ini. Pagi-pagi lagi dah suruh encik suami pergi ke kedai membeli koay teow dan taugeh. Bahan-bahan rencah lain seperti sotong dan udang siap aea di dalam peti sejuk. Oh ya! Lupa pula bab cili kisar. Dah tak ada stok di dalam peti sejuk tu.. Kebiasaannya Kak Noor akan beli dua tiga ringgit cili kering dan kemudian dikisar, dan disimpan sebagai stok sedia. Senang dan menjimatkan masa, bila nak masak cedok aje…. Tapi sekarang ni dah emergency. Pakai cili boh ajelah…., bukan nak pakai banyak pun. So… pesan juga kepada encik suami supaya jangan lupa beli cili boh.

Koay teow goreng ini sebenarnya faveret anak bongsu Kak Noor. Tapi….  tak boleh pedas dan mesti bewarna hitam. Nak macam makan kat kedai makan tu... katanya. Memanglah kat kedai tu, bila kita pesan koay teow goreng, selalunya dihidangkan dengan koay teow goreng bewarna hitam. Tetapi untuk citarasa Kak Noor sendiri, lebih suka koay teow yang ditumis menggunakan cili kering dan sudah tentu menghasilkan koay teow goreng bewarna merah dan pedas.


Masih di dalam kuali di atas dapur, masih dalam proses menggoreng


Semasa memotong bawang di dapur, encik suami pun pulanglah dengan barang-barang yang telah dipesan tadi. Semasa nak menumis cili tu, tengok tak ada pun cili boh antara barang-barang yang dipesan tadi. Bila tanya encik suami, jawabnya terlupa Nak kata apa, bawang dah ditumis di dalam kuali. Takkan nak suruh encik suami ke kedai sekali lagi. Kesian pulak! Ok…. camana ye!   Kita guna apa yang ada ajelah…dan tukar ke resepi koay teow goreng citarasa anak bongsu Kak Noor yang bewarna hitam tu... Kak Noor gabungkan sos cili, sos tiram, dan sos kicap,  dan untuk membangkitkan rasa pedas, Kak Noor gunakan hirisan cili merah. Alhamdulillah.. sedap! Berulang-ulang makan anak bongsu Kak Noor menikmati koay teow goreng kegemarannya ini. Memandangkan Kak Noor hanya menggunakan sos sebagai bahan kuahnya, makan sebab itulah ia dinamakan Koay Teow Goreng Bersos. 


Bahan-bahannya:
2 bungkus koay teow – (Guna cap Laksamana)
50 sen taugeh
3 ekor sotong – dipotong gegelang
10 ekor udang saiz sederhana – dibung kulit
1 biji tauhu – dipotong kiub
2 biji cili merah – dihiris
1 biji bawang besar – dihiris
3 ulas bawang putih – dihiris
1 biji tomato saiz kecil – dipotong kiub
2 sudu besar sos tiram
2 sudu besar sos cili
Sos kicap pekat secukunya (Sos kicap pekat ABC)
Minyak secukupnya untuk menumis

Cara-cara membuatnya:
1. Basuh koay teow dan toskan.
2. Panaskan minyak di dalam kuali. Goreng tauhu dulu sehingga kekuningan, kemudian baru dimasukkan hirisan bawang besar, bawang putih, dan cili merah.
3. Selepas itu dimasukkan udang dan sotong. Kacau dan tumis lagi sehingga sotong dan udang masak.
4. Kemudian baru dimasukkan sos tiram, sos cili, buah tomato dan 2 cawan air (sekiranya mahukan koay teow goreng kering, kurangkan air). Kacau lagi sehingga semuanya mesra, Perasakan dengan garam dan gula. Biarkan kuah mereneh di atas dapur seketika, lebih kurang 5 minit.
5. Selepas itu baru dimasukkan koay teow. Kaup balikkan sehingga mesra. Kemudian masukkan taugeh dan kaup balikkan sehingga taugeh mesra dengan koay teow. Kemudian bolehlah diangkat.
6. Semasa menghidang, bolehlah dihiaskan dengan daun sup/daun bawang dan bawang goreng.

0 comments:

Post a Comment