Pages

Saturday, February 4, 2012

Karipap Rangup

Sejak pagi tadi Kak Noor telah rancang nak buat karipap untuk sajian petang. Telah agak lama Kak Noor nak buat karipap tetapi masa tidak mengizinkan.  Tahu ajelah bila nak buat karipap memerlukan masa untuk memasak inti dan kemudian menyediakan pastrinya.

Bila bercakap mengenai karipap, Kak Noor teringat semasa zaman persekolahan dahulu.  Bonda dan ayahanda Kak Noor memang membuat karipap untuk jualan.  Dengan duit jualan karipap itulah dijadikan wang saku perbelanjaan Kak Noor semasa persekolahan dan semasa menuntut di IPTA.  Besar sungguh pengorbanan ibu dan bapa yang bersengkang mata dan bangun pagi-pagi lagi untuk menyediakan karipap untuk jualan.  Masa itu kita anak-anak masih tidur lena dibuai mimpi.  Ibubapa merasa kasihan untuk membangunkan kita untuk membantunya.  Apa yang penting, mereka mahu kita belajar bersungguh-sungguh dan berjaya dalam pelajaran.

Pengalaman membuat karipap ini Kak Noor timba daripada ibubapa Kak Noor. Tugas Kak Noor ialah memotong ubi dan mengklim karipap.  Dapatlah upah RM2.00 sehari.  Syukur Alhamdulillah.
So bagi N3 kali ini Kak Noor ingin berkongsi resepi inti karipap yang pernah dimasak oleh bonda Kak Noor.  Bagi pastrinya pula, Kak Noor kongsi daripada blog Bukan Sekadar Masakan kerana tertarik dengan tepung yang digunakan untuk membuat pastri karipap.  Kebiasaannya kita menggunakan tepung gandum sahaja, tetapi resepi ini mengabungkan tepung gandum, tepung beras, dan tepung jagung. Bila dah buat, hasilnya memang berbaloi.  Kulitnya rasa rangup dan gebu. Enaq sangat dimakan.
Inti yang sedang dimasak di dalam kuali
Inti yang telah dimasak
BAHAN-BAHAN UNTUK INTI:
1 kg. ubi keledek merah - dipotong kiub kecil
4 biji ubi kentang - dipotong kiub kecil
100 gram daging dicincang
Garam, dan gula secukup rasa
Minyak untuk menumis

Bahan A : Diblend untuk dijadikan pes
4 sudu besar rempah daging
2 sudu besar udang kering
1 labu bawang besar
2 ulas bawang putih
1 sudu besar serbuk cili
1 sudu besar serbuk lada hitam
Air secukupnya

Bahan B: Ditumis
1 labu bawang besar - dihiris
3 ulas bawang putih - dihiris
2 tangkai daun kari
1 sudu besar jintan manis

Cara menyediakan inti:
  1. Ubi keledek dan ubi kentang dikupas kulitnya dan dipotong kecil bentuk kiub.  Ketepikan.
  2. Panaskan minyak di dalam kuali.  Tumis bahan-bahan B sehingga terbit bau dan kekuningan.
  3. Kemudian masukkan bahan A. Masak sehingga rempah terbit minyak (pecah minyak).
  4. Masukkan air secukupnya.  Air hendaklah cukup untuk mengempukkan ubi.  Kacau rata.
  5. Perasakan dengan garam dan gula.  Kalau suka boleh tambahkan ajinomoto.
  6. Masukkan ubi keledek dan ibu kentang yang telah dipotong tadi dan kacau rata.  Masak sehingga ubi empuk. Sekiranya air kering dan ubi masih belum empuk, tambahkan air dari semasa ke semasa dan masak sehingga ubi empuk.
  7. Setelah masak dan inti agak lembap, bolehlah dimasukkan daun sup dan daun bawang.  Kacau seketika, kemudian tutup api.
BAHAN-BAHAN UNTUK PASTRI KARIPAP:
500 gram tepung gandum
50 gram tepung beras
50 gram tepung ubi
1 sudu besar gula
1 sudu besar garam
2 1/2 sudu besar majerin*
1/4 cawan minyak*
(* dicampur kedua-duanya dan dipanaskan di atas api)
Air sejuk daripada peti ais
Doh  yang telah dibahagikan kepada bahagian kecil membentuk bebola
 Cara-cara menyediakan pastri karipap:
  1. Campurkan kesemua tepung, garam, dan gula.  Gaul rata.
  2. Tuangkan minyak panas dan gaul rata.
  3. Tuangkan air sedikit-sedikit sehingga membentuk doh lembut. 
  4. Sapukan sedikit marjerin di atas doh dan tutup.  Ketepikan selama lebih kurang 30 minit.
  5. Selepas 30 minit, potong doh dan bahagikan kepada bahagian kecil membentuk bebola.  Buat sehingga habis dan ketepikan selama 10 - 20 minit lagi.  Biarkan doh senantiasa dalam keadaan tertutup bagi mengelakkan pastri mengeras cepat. 
  6. Ambil sebiji doh, letakkan di atas papan pencanai dan canaikan dengan kayu pencanai. Bagi mengelakkan doh daripada melekat, taburkan di atas papan pencanai dengan sedikit tepung gandum.
  7. Isikan dengan inti, kemudian diklimkan. Buat sehingga habis.
  8. Goreng dengan minyak dalam sehingga garing. Toskan dan kemudian dihidangkan.

0 comments:

Post a Comment