Pages

Tuesday, February 14, 2012

Puding Chipsmore

Kak Noor senantiasa tercari-cari resepi puding yang disukai oleh kanak-kanak.  Puding  ini adalah olahan Kak Noor sendiri.  Terdapat bahan-bahan berunsur coklat dan susu di dalam resepi ini yang sudah tentu menjadi kegemaran anak-anak.

Untuk resepi ini Kak Noor menggunakan kuantiti agar-agar yang agak banyak iaitu 40 gram.  Banyak `sektor' yang hendak diagihkan; untuk baby sitter, untuk rakan-rakan pejabat, dan yang selebihnya untuk dimakan sendiri.  Tak rugi masak banyak, sebab puding ini boleh disimpan di dalam peti sejuk sebagai pemanis mulut.

Kak Noor menggunakan beberapa acuan untuk resepi ini.  Sempena dengan namanya yang lebih kepada citarasa kanak-kanak, Kak Noor menggunakan acuan berbentuk`kucing' di mana acuan ini adalah pilihan `si bongsu'.  Dia yang minta dibelikan acuan ini kerana katanya `cute sangat ibu'. Dan yang selebihnya Kak Noor menggunakan acuan loyang dan acuan bunga.



Bahan-bahannya:
40 gram agar-agar stripe
10 cawan air
2 cawan gula
500 ml susu segar Godday - dibahagikan kepada 2 bahagian @ 250 ml
1 bungkus biskut chipsmore (bungkusan 140 gram) - Kak Noor guna chipsmore butter crunch
30 gram serbuk horlicks
2 sudu besar serbuk koko - dibancuh dengan sedikit air panas sehingga larut
Sehelai daun pandan disimpul.
Cara-caranya:
  1. Rendam agar-agar selama 30 minit sehingga lembut.  Kemudian ditoskan.
  2. Masak agar-agar bersama 10 cawan air sehingga hancur. Masukkan sehelai daun pandan.
  3. Selepas agar-agar hancur, masukkan gula dan masak sehingga larut.
  4. Bahagikan larutan agar-agar kepada dua bahagian. Tuangkan di dalam dua periuk yang berasingan untuk penyediaan lapisan bawah dan lapisan atas. Ketepikan seketika.
Penyediaan lapisan bawah (berwarna coklat):
  • Hancur kasar enam keping biskut chipsmore. Ketepikan.
  • Di dalam blender basah, masukkan 250 ml susu segar dan biskut chipsmore yang telah dihancurkan tadi.  Blend sehingga sebati.
  • Masukkan bahan-bahan yang telah diblend tadi  bersama bancuhan koko di dalam larutan agar-agar.  Masak kembali dengan api yang sederhana perlahan.  Kacau rata sehingga larutan mendidih dan menjadi pekat sedikit.  
  • Masukkan ke dalam acuan loyang dan biarkan ia sejuk seketika di luar sementara menunggu penyediaan lapisan atas.
Penyediaan lapisan atas (berwarna putih susu):
  • Di dalam blender basah, masukkan 250 ml susu segar dan horlicks. Blend sehingga sebati.
  • Masukkan bahan-bahan yang telah diblend tadi di dalam larutan agar-agar.  Masak kembali dengan api yang sederhana perlahan.  Kacau rata sehingga mendidih sekali, kemudian tutup api (tidak perlu masak lama seperti lapisan bawah).  Ketepikan dan biarkan ia sejuk seketika. 
Cara-cara melapis:
  • *Cara-cara melapis ini digunakan untuk acuan loyang sahaja. 
  • Apabila lapisan coklat telah mula mengeras pada permukaan atas, susun biskut chipsmore di atas permukaannya. Kemudian tuangkan larutan putih dengan perlahan-lahan di atas biskut tadi.
  • Sejukkan di dalam peti ais.
  • * Bagi acuan lain, cuma tuangkan larutan coklat, biarkan sejuk sebentar lebih kurang 10 minit, kemudian tuangkan pula larutan putih. Sejukkan di dalam peti ais. 
Puding Chipsmore yang telah dikeluarkan daripada acuan loyang dan dipotong untuk dihidangkan.

0 comments:

Post a Comment