Pages

Monday, October 15, 2012

Masak Lemak Cili Api Ayam dan Rebung

Selamat tengah hari, selamat menjamu selera.... harap apa sahaja menu yang dihidangkan pada hari ini pasti membuka selera anda sekeluarga.

Hari ini menu yang cukup ringkas dan cepat dimasak sedap dimakan.  Resepi yang diberikan oleh rakan Kak Noor iaitu Puan Lailawati, anak jati Negeri Sembilan.  Dia selalu cakap, masak lemak cili api negeri sembilan tak susah.  Tak perlu banyak bahan.  Tapi yang penting lemak santannya mesti seiiring dengan kepedasan.  Pastikan santan tidak pecah minyak.  Kalau pecah minyak, ertinya masak lemak tu `failed' dan jangan ngaku orang Negeri Sembilan.  Nasib baik Kak Noor orang Penang, kalau failed pun taklah sampai dibuang negeri...ha..ha..






Kak Noor pernah masak lemak cili api ayam dengan kentang, tetapi kali ini Kak Noor nak pasangkannya dengan rebung pula.  Sebenarnya kalau nak tahu Kak Noor tak pernah makan rebung, dan tak tahu macam mana nak masak rebung pun!  Selalu juga tengok kawan-kawan makan di pejabat, tetapi buat dont know aje walaupun kawan-kawan suruh rasa.  Bukan apa, Kak Noor cuma tak suka dengan baunya.  Tanyalah juga Kak Noor kepada kawan-kawan macam mana kau orang makan rebung,  tak berbau ke...? Mereka kata kalau tak tahan dengan baunya jangan beli rebung jeruk, beli rebung yang fresh.  Oh.... begitu ceritanya.  Selama ini yang `berbau' tu rebung jeruk lah.  Kak Noor tak tahu ada rebung fresh yang dijual.

Tetapi ada sekali tu, kawan suruh rasa jugak-jugak.  Katanya tak rasa tak tahu.  So... rasalah sikit... sikit aje tau!  Rasa terkilan sungguh kerana dah masuk usia setengah abad, baru tahu rebung tu teramatlah sedapnya.  Petang tu juga, tanpa berlengah-lengah lagi sepulangnya dari pejabat, singgah kat kedai makan berhampiran makan nasi dengan rebung bersama sambal belacan dan ulam-ulaman.  Satu kepuasan!






Semasa ke pasar raya tempoh hari, terjumpalah Kak Noor rebung madu (kat label tulis rebung madu).  Bila dicium tak ada bau, terus Kak Noor ambil 1 paket.  Pada awalnya confuse juga sebab tak tahu sama ada rebung itu perlu direbus terlebih atau terus dimasukkan ke dalam kuah.  Puas juga Kak Noor godek laman-laman web yang ada kaitan dengan masak rebung ni.    Berpandukan informasi di laman web, akhirnya dapat juga Kak Noor siapkan satu hidangan yang diberi nama Masak Lemak Cili Api dan Rebung.


Bahan-bahannya:
4 ketul rib ayam - sekiranya besar 1 ketul boleh dipotong 2
300 gm rebung madu  - Kak Noor beli yang di dalam paket, dijual di pasar raya
2 cawan pati santan kelapa sawit KHALIS - dicampur dengan 1 cawan air
2 batang serai -  dititik
Garam secukup rasa

Bahan-bahan dikisar:
2 inci kunyit hidup
7 - 8  biji cili api (warna merah)
1 biji bawang besar
Air secukupnya
-  Satukan bahan-bahan di atas di dalam blender basah dan kisar sehingga lumat.

Cara-cara membuatnya:
1.  Rebus rebung sehingga empuk (lebih kurang 15 - 20 minit).  Kemudian ditoskan sehingga sejuk dan dipotong bulat.  Ketepikan.
2.  Di dalam periuk yang lain masukkan ayam bersama-sama bahan yang telah dikisar dan serai. Gunakan api yang sederhana dan masak sehingga mendidih.
3.  Selepas mendidih masukkan santan.  Masak sehingga mendidih dan ayam empuk (pastikan senantiasa dikacau supaya santan tidak pecah).
4.  Akhir sekali masukkan rebung, garam dan perasa.  Masak selama 5 - 6 minit lagi dan kemudian bolehlah ditutup api.

0 comments:

Post a Comment