Pages

Wednesday, November 21, 2012

CEGHITE DURIAN PULAK..... (SERAWA DURIAN GUNA SANTAN KELAPA SAWIT KHALIS)



Hari ini nak ceghite pasal durian pulak.  Almaklumlah... sekarangkan musim durian.  Buah durian pula sedang `jujuh' sekarang ini atau dalam erti kata yang lain buah sedang banyak.  Kalau dulu musim buah durian hanya setahun sekali tetapi sekarang ini setahun sampai dua tiga kali musimnya.   Memang bertuah orang yang ada dusun durian ni.  Kebiasaannya dusun durian itu adalah peninggalan nenek moyang untuk generasi akan datang.  Mereka telah meneroka tanah dan mengusahakan tanaman ini untuk dimakan oleh anak cucu mereka. Telah menjadi lumrah pabila tiba aje musim durian, adik-beradik dan sanak saudara semua pasti pulang ke kampong untuk menikmati buah yang lazat ini.  Alangkah meriahnya ketika itu.  Anak-anak yang senantiasa sibuk dengan kerja pejabat sanggup mengambil cuti untuk pulang ke kampong halaman demi menyahut panggilan musim buah durian ini. Secara tidak langsung,  buah durian juga turut memainkan peranannya yang penting iaitu mengeratkan lagi silaturrahim sesama adik beradik. 






Kak Noor declare awal-awal lagi memang tak ada dusun durian peninggalan nenek moyang sama ada sebelah bapa atau emak.   Sejak dari dahulu lagi, kalau nak makan durian beli aje.... Pengalaman makan durian di dusun dan tinggal di rumah yang suasana persekitarannya dikelilingi oleh pokok durian dan pokok buah-buahan hanya dikecapi setelah Kak Noor  berkahwin.  Rumah mertua Kak Noor dikelilingi oleh pokok-pokok durian, pokok rambutan, pokok buah macang, dan pokok buah nangka.   Bila pokok durian telah berbuat lebat, pagi, petang, dan malam asyik dihidangkan dengan buah durian aje.  Satu badan berbau buah durian.  Perfume yang mahal pun kalah tau!  Kalau nak kata jemu, mungkin jemu dalam sejam atau dua jam aje.., kemudian kopek dan makan lagi.  Lebih-lebih lagi kalau ada tukang mengopek durian dan kita bersila di hadapan, tunggu durian siap dikopek.  Kalau tak sedap durian yang ini, kopek durian yang itu sampailah jumpa yang paling sedap.  Pokok sendiri..... itulah kelebihannya. Yang tak berapa sedap tu.., boleh dibuat tempoyak atau lempuk.    Kalau pergi menziarahi saudara-mara atau jiran-jiran di kampung tersebut, mereka akan menghidangkan durian juga.   Seminggu tinggal kat sana,  berkilo jugalah berat badan naik. Tambahan pula masa tu mengandung anak sulung.  Selera pun tak dapat control.  Bedal ajelah... rezeki dah kat depan mata.  Bukan selalu dapat makan durian macam ni.   Tetapi itu dulu.... kini  ia hanya tinggal kenangan dan memori indah di lipatan sanubari.  Hm..... sekarang ini kalau nak makan durian, main tunjuk-tunjuk kemudian bayar ajelah....  tapi tak confirm lagi dapat isi yang first class macam durian di Batu Kurau!






Rata-rata orang `cinta'kan durian.  Tetapi ada segelintir yang tak makan.  Bau aje dah nak muntah.  Tak tahu kenapa.  Ada yang mengatakan sejak kecil lagi mereka tidak makan durian sebab ibubapa mereka tidak makan durian dan adik-beradik yang lain pun tak makan durian.   Kemungkinan generasi tidak makan durian ini akan semakin berkembang sekiranya orang yang tidak makan durian berkahwin dengan pasangannya yang juga tidak makan durian.  Maka akan lahirlah anak-anaknya yang tidak makan durian.  So moral of the story ialah kalau  mahukan anak-anak anda makan durian, carilah pasangan yang makan durian, semoga zuriat yang dilahirkan akan makan durian juga.  Ha..ha... ha.. melalut pula Kak Noor!  Rasa rugi sangat orang yang tak makan durian ni.  Orang yang `cintakan’ durian sanggup membelanjakan wang untuk membeli durian Musang King yang mencecah harga RM80 – RM100 sebiji.  Masih tertanya-tanya kenapa ada orang yang tidak gemar makan durian?  Sehingga sekarang soalan ini tidak mendapat jawapannya walaupun terdapat ahli keluarga Kak Noor sendiri iaitu arwah adik lelaki Kak Noor yang tidak makan durian.  Teringat lagi Kak Noor dan adik-beradik semasa kecil apabila arwah abah beli durian, arwah adik lelaki ini akan mengambil bahagiannya untuk disimpan sampai dua tiga hari.  Walaupun tak makan, mungkin dia berpuas hati dapat menyimpannya kerana itu adalah bahagian yang diberi oleh arwah abah kepadanya.  Lastly dia akan keluarkan juga untuk adik-beradik lain makan.  





Apa yang boleh dibuat dengan isi durian?  Soalan cepumas ni!    Kalau orang dulu-dulu antara resepi yang yang cukup popular  ialah cekodok durian, pengat/serawa durian, lempuk, dan tempoyak.  Tetapi sekarang ini dah ada resepi moden iaitu durian crepe @ durian pancake. Dalam blog sana sini dan FB tengah hot dimuatkan crepe durian ini.  Banyak komen yang mengatakan crepe durian ini sedap gilerr...  Ada yang cakap rasanya macam aiskrim selepas dikeluarkan daripada peti sejuk.  Betul ke?  Kak Noor tak dapat beri komen sebab belum pernah rasa.  Nak cuba buat tu.... belum terfikir lagi  dalam masa terdekat ini.  Kalau dah buat, adalah dalam blog ini nanti.  





Kak Noor cuma tahu buat serawa durian.  Inilah resepi terulung durian dan warisan bonda yang menjadi faveret anak-anak dan suami Kak Noor.  Dihirup kuahnya begitu sahaja.  Tidak perlu ada pulut atau roti jala sebagai gandingannya.  Satu lagi kalau nak serawa durian rasa sedap; lemak dan manis, pastikan santan yang digunakan seimbang dengan isi durian. Kuahnya biarlah pekat, barulah sedap dimakan.  Justeru itu dalam masakan serawa durian kali ini,  Kak Noor gunakan santan sawit KHALIS.  Santannya memang pekat dan warnanya putih berseri.  Serawa durian yang terhasil dengan menggunakan santan ini memang lazat dan enak sekali. Rasa lemak berkrim, itulah komen rakan-rakan sepejabat bila Kak Noor bawakan untuk mereka tempoh hari.



Resepinya amat mudah sekali untuk diikuti.  Nak cuba resepinya.   Jom scroll....
  
Bahan-bahannya:
20 – 25 ulas durian (diambil dari tiga biji durian)
1 kg. santan kelapa sawit KHALIS
1000 liter air atau anggaran air secukupnya (bergantung kepada kepekatan kuah)
2 cawan gula putih
1 cawan gula perang
1 sudu kecil garam
2 helai daun pandan – disiat dan disimpul

Cara-cara membuatnya:
1.  Satukan semua bahan-bahan di atas di dalam periuk dan digaul rata.  Ramas sedikit isi durian supaya isinya tertanggal dari biji dan sebati dengan santan.
2.  Masak di atas dapur sehingga mendidih.  Kepekatan kuah bergantung kepada citarasa masing-masing.   Kalau tidak mahu kuah terlalu pekat, bolehlah ditambah air.  Tetapi jangan terlalu cair.
3.  Rasa manisnya.  Kalau tidak cukup manis bolehlah ditambah gula putih.

0 comments:

Post a Comment