Pages

Tuesday, January 31, 2012

Ikan Cencaru Sumbat

Kak Noor guna 6 ekor ikan cencaru untuk resepi ini.   Ikan cencaru hendaklah dibersihkan dengan limau dan garam untuk menghilangkan rasa hanyir ikan.  Memandangkan cara menyiang ikan cencaru ini tidak dibuang kepalanya dan tidak dibelah sisi perutnya, maka amat sukar sedikit untuk mengeluarkan segala isi perutnya seperti biasa.  Bagi proses penyiangan ikan cencaru,  kita perlu membelah belakang badannya untuk mengeluarkan segala isi perut ikan ini.  Pastikan juga   darah ikan terutamanya darah beku yang terdapat di celah-celah tulang ikan dan di dalam rongga mulut ikan dibersihkan.   Semasa menyiang ikan ini, sudah pasti jari anda ada kalanya terluka sedikit sebab kita perlu memasukkan tangan kita di belahan belakang ikan untuk mengeluarkan isi perutnya dan juga menarik keluar insangnya.  Bonda Kak Noor selalu berkata,  makan ikan cencaru sumbat ini memang sedap, tapi masa siang memang siksa.   Ambil masa sedikit daripada menyiang ikan lain.

Ikan cencaru sumbat ini sedap dimakan dengan nasi putih panas dan tidak memerlukan kuah.  Kak Noor lebih suka menggoreng ikan ini sehingga garing. Minyak daripada gorengan ikan dan sambal garing yang bercampuran dengan minyak gorengan digaul dengan nasi panas dan terus dimakan.  Kesedapannya tidak terkata.  Boleh bertambah nasi... Kalau tak percaya, cubalah.! Ratah ikan saja pun sodap.....

\



Bahan-bahan untuk sambal:
3 senduk cili kering kisar
5 biji cili merah
2 - 3 biji cili padi
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
1 sudu besar perencah ikan bilis TUMIX
1 sudu besar pati asam jawa
Belacan - anggaran sebesar ibu jari atau boleh dilebihkan sedikit ikut kesukaan
Garam dan gula secukup rasa
Sedikit air
  • Kesemua bahan-bahan di atas disatukan di dalam blender dan dikisar.  Gunakan air yang sedikit agar sambal tidak cair.
  • Rasa sambal tadi.  Mesti ada rasa pedas, manis, masam, dan rasa garamnya. Bahan-bahan ini boleh ditambah sekiranya masih tidak menepati citarasa.
Penyediaannya:
  1. Ikan cencaru dibelah kedua-dua belakangnya.  Dibasuh bersih dan digaramkunyitkan.
  2. Kemudian sumbatkan sambal di kedua-dua belahan ikan cencaru.
  3. Masukkan di dalam peti sejuk lebih kurang sejam supaya sambal mengeras sedikit.  Ini bagi mengelakkan sambal keluar semasa menggoreng.
  4. Selepas 1 jam, keluarkan daripada peti sejuk.
  5. Panaskan minyak di dalam kuali.  Minyak mestilah banyak supaya ikan tenggelam.
  6. Jangan balikkan ikan banyak kali semasa menggoreng. Goreng sebelah hingga masak, kemudian baru dibalikkan.
  7. Semasa menghidang, boleh diletakkan sedikit minyak gorengan di atas ikan tersebut.
Ikan cencaru yang telah disumbat sambal dan belum digoreng
Lebihan ikan cencaru sumbat disimpan di dalam bekas bertutup dan disejukbekukan.
Tips:
  • Lebihan sambal ikan boleh disimpan di dalam peti sejuk dan boleh digunakan untuk menumis nasi goreng dan menggoreng sayur kangkung.
  • Ikan cencaru yang telah disumbat sambal boleh disejukbekukan di dalam peti ais.  Pastikan ia dinyahbekukan sebelum digoreng. 

Monday, January 30, 2012

Kerutuk Ayam

Sumber:  Buku Resepi
Tajuk:  Senangnya memasak Ayam Bersama Chef Hanieliza

Pagi tadi Kak Noor sempat memasak Kerutuk Ayam untuk sajian tengah hari anak-anak di rumah. Dah lama Kak Noor teringin nak menyediakan resepi ini tetapi tidak tercapai disebabkan anak-anak Kak Noor lebih suka kepada hidangan ayam masak merah.  Tetapi kali ini Kak Noor nekad juga untuk mencubanya.  Dengan semangat yang berkobar-kobar Kak Noor bangun jam 5.30 pagi untuk memasak ayam kerutuk ini.  Macam nak berniaga lah pulak?  Kan orang-orang berniaga bangun awal pagi untuk menyediakan lauk-pauk untuk jualan di pagi hari?  Pertama kali buat, hasilnya memang menepati citarasa. Kuahnya rasa lemak mungkin disebabkan buah keras yang digunakan.  Di saat-saat begini.... dimanakah kau lemang....?


Resepi ini Kak Noor ambil daripada buku resepi Chef Hanieliza seperti tajuk di atas.  Cuma dalam resepi  Chef, dia tidak meletakkan daun limau purut. Kak Noor menggunakan daun limau purut sebab ia mewangikan dan membangkitkan aroma masakan.



Bahan A:
1 ekor ayam - dibersihkan dan dipotong 16
4 sudu makan rempah kerutuk
2 cawan santan (1/2 biji kelapa)
1 sudu makan gula merah
1 sudu makan kerisik
Beberapa helai daun limau purut - Tiada dalam resepi asal, Kak Noor yang masukkan
3 sudu makan minyak masak


Bahan B (dikisar):
5 biji bawang merah (digoreng)
2 biji buah keras
1 inci halia
1 inci lengkuas
3 batang serai
5 biji bawang merah
3 ulas bawang putih


Cara membuatnya:
1.  Tumiskan bahan yang dikisar sehingga garing.
2.  Masukkan rempah kerutuk dan kacau sehingga sebati.
3.  Masukkan ayam, kerisik, garam, gula merah, dan santan serta daun limau purut.  Biarkan sehingga mendidih.
4.  Masak sehingga pekat dan ayam menjadi lembut.
5.  Pastikan kacau sekali sekala.
6.  Hidangkan dengan nasi ataupun roti.

Tip:  Rempah kerutuk boleh digantikan dengan dua sudu makan rempah kari daging/ayam yang dicampurkan dengan dua sudu makan rempah kurma.

Saturday, January 28, 2012

Kuah Dal (2)

Kuah Dal lagi? Dah lama tak masak kuah dal.  Sekali-sekali tu teringin juga nak makan nasi dengan Kuah Dal.    Kalau dalam enti resepi Kuah Dal  yang terdahulu  tidak dimasukkan sayur-sayuran, kali ini Kak Noor nak kongsi  resepi Kuah Dal versi mamak pula.  Resepi asal Kuah Dal ini Kak Noor temui di Dapor Rusnah.   Seperti kata empunya blog, resepi mamak yang asal mungkin rasanya tidak sesedap resepi yang telah diubah suai olehnya. Kak Noor tidak nafikan hal ini kerana kebiasaannya makanan mamak hanya sedap dimasak oleh mamak juga.  Walaupun kita telah mengikut resepinya, tetapi masih tidak dapat menandingi dan menepati citarasa masakan mamak yang sebenarnya.  Mungkinkah ini disebabkan `air tangan mamak' ataupun mind kita telah disetkan sedemikian rupa?




Resepi Kuah Dal ini telah Kak Noor olah sedikit dengan menggabungkan resepi Dapor Rusnah dengan resepi Kak Noor sendiri.

Bahan-bahannya:
100 gram kacang dal
4 cawan air
1 sudu besar serbuk kunyit
2 sudu besar rempah dalca - boleh dibeli di pasar raya Carrefour
1 sudu besar serbuk jintan manis
1 sudu besar serbuk jintan putih
3 biji kentang - dipotong kecil
1 batang lobak merah - dipotong memanjang anggaran 1 inci
1 biji terung panjang (warna ungu) - dipotong serong, ketebalan 2 cm
Beberapa batang kacang panjang - dipotong 1 inci
1 biji tomato - dipotong kiub atau baji
2 batang cili hijau - dihiris nipis
1 cawan pati santan kelapa sawit + 1 cawan air (gunakan cawan yang sama)
1 sudu kecil pati asam jawa - Kak Noor guna jenama Enak
Garam dan gula secukup rasa
Sayur-sayuran yang digunakan
Bahan-bahan untuk ditumis (tumis atas):
3 sudu besar minyak masak
1/2 sudu kecil jintan manis
1 tangkai daunkari
3 tangkai lada kering - dipotong-potong
3 biji bawang merah - dihiris nipis
3 bini bawang putih - dihiris nipis


Cara Penyediaannya:
  1. Kacang dal direbus dengan 4 cawan air.  Masukkan kunyit, serbuk jintan manis, serbuk jintan putih, dan rempah dalca. Masak sehingga mendidih dan kacang dal empuk. 
  2. Kemudian masukkan bawang , ubi kentang, dan lobak merah.  Masak sehingga ubi kentang dan lobak 3/4 empuk. 
  3. Selepas itu baru dimasukkan sayur-sayuran; kacang panjang, terung, dan buah tomato. Masak sehingga sayuran agak lembut.
  4. Masukkan santan serta garam dan gula. Tambah pati asam jawa.  Kacau rata.  Sekiranya kuah agak pekat, tambah 1/2 cawan air lagi.  Masak sehingga mendidih.
  5. Perlahankan api apabila ramuan nampak agak sebati dan masukkan cili hijau.  Padamkan api selepas 5 minit dan ketepikan.
  6. Panaskan sedikit minyak di dalam kuali yang berasingan.  Tumis biji sawi dan jintan putih (dalam 30 saat).  Masukkan daun kari, lada kering, bawang merah, dan bawang putih.  Masak sehingga berbau wangi dan bawang bertukar keperangan.
  7. Kemudian masukkan semua gorengan ini ke dalam kuah dal di dalam periuk.  Tudung periuk agar aroma gorengan yang wangi tidak keluar dan menyerap di dalam kuah dal.
  8. Sebelum dihidangkan, kacau rata kuah dal dengan gorengan tadi.

Spaghetti Sos Cendawan

Resepi yang ingin Kak Noor kongsikan di sini adalah hasil daripada air tangan anak sulong Kak Noor.  Bila tiba bab memasak  spaghetti, pizza, cream puff. roti jala, dan hidangan ala western, dialah orang yang lebih arif dan rajin menyediakannya.  Tetapi..... bukan selalu, hanya bila cuti semester sahaja.  Sekarang ini anak Kak Noor sedang bercuti semester.  So... banyaklah request daripada adik bongsunya; nak makan itu, nak makan ini, tidak kira malam ataupun siang.  Tetapi one thing about them ialah dia orang ni satu kepala. Selera sama... so rajinlah si kakak memasaknya.


Spaghetti yang dihidangkan oleh anak Kak Noor ini memang ringkas dan mudah sahaja; bersesuaian dengan dirinya sebagai seorang pelajar.  Bahan-bahan yang digunakan pun tidak banyak.  Tak sampai 1 jam, dah siap dan boleh dimakan. Sesiapapun boleh menyediakannya.



Bahan-bahannya:
1/2 bungkus spaghetti (lebih kurang 250 gm) - Rebus sehingga lembut dan ditoskan.
1/2 botol sos spaghetti cendawan Kimball
1 sachet Sup Cendawan dan Keju Vono
Sayur campuran (mixed vegetables) secukupnya
3 batang sosej ayam -  dipotong bulat
10 ketul nugget ayam - dipotong kecil 
1 biji bawang besar - dihiris halus
2 sudu besar sos tomato
1 sudu besar sos cili
1 sudu kecil lada putih
Garam dan gula secukup rasa
Minyak secukupnya untuk menumis

Cara-cara membuat sos:
  • Panaskan minyak. Tumis bawang besar yang telah dihiris sehingga kekuningan.
  • Kemudian masukkan sosej ayam dan nuget ayam.  Biarkan masak seketika.
  • Masukkan sos spaghetti cendawan Kimball, serbuk sup cendawan dan keju Vono,  sos tomato, sos cili, dan sayur campuran. Perasakan dengan garam, gula, dan lada putih. Kacau rata  dan biarkan sos masak.  Sekiranya kuah agak pekat, boleh tambahkan 1/2 cawan air rebusan spaghetti.
Penyediaan Hidangan:
Letakkan spaghetti di dalam pinggan diikuti dengan sos. Letakkan daun sup sekiranya suka.

Antara bahan-bahan yang digunakan untuk membuat sos spaghetti.

Bubur Gandum Nangka

Semalam bos Kak Noor bawa 1 bekas berisi ulas nangka ke pejabat untuk `dikendurikan' kepada staf (terima kasih bos!).  Katanya nangka dari kampung.  Memang besar ulas nangkanya.  Buah nangka ni memang favourite Kak Noor.  Biasalah nangka ni, ada orang yang boleh makan banyak dan ada juga orang yang hanya boleh makan sedikit, dan ada orang yang tidak boleh makan langsung.  Ditakuti kembung dan memulas perut, terutama sekali bila makan mentah.

Kak Noor ambil beberapa ulas bawa balik rumah untuk dimasak bubur.  So far Kak Noor tak pernah masak bubur nangka.  Bubur cempedak adalah.  Tetapi kawan sepejabat kata dia pernah masak bubur gandum campur nangka.

So... hari ini Kak Noor dah cuba masak bubur gandum campur nangka.  Memang sedap dan wangi baunya. Anak-anak Kak Noor pun suka, terutama sekali sibongsu. Masa bubur di atas dapur lagi, dia dah datang melawat dapur.  Katanya wangi sangat.  Tak sabar nak makan.  Seperti biasa bagi mengenakkan lagi masakan bubur ini, Kak Noor guna santan sawit KHALIS.  Hasilnya memang sedap; lemak berkrim....


Bahan-bahannya:
1 cawan biji gandum - direndam sehingga kembang
Beberapa ulas isi nangka - dipotong memanjang
1 senduk gula perang + sedikit gula kabung
2 senduk gula putih (kemanisannya terpulang kepada citarasa masing-masing)
1 sudu kecil garam
1 cawan pati santan kelapa sawit KHALIS  + 1 cawan air (Gunakan santan kelapa pun boleh)
Sehelai daun pandan - dicarik dan disimpul

Bahan-bahan untuk air gula:
1 senduk gula perang + gula kabung
2 senduk gula putih
Daun pandan
Sedikit air

Penyediaan air gula:
Masukkan gula perang, gula kabung, gula putih, daun pandan, dan sedikit air di dalam periuk. Masak sehingga larut, kemudian di tapis. 

Cara penyediaannya:
  1. Basuh biji gandum sehingga bersih dan toskan.  Kemudian masukkan di dalam periuk bersama 4 cawan air.  Rebus sehingga biji gandum empuk.
  2. Kemudian masukkan air gula bersama daun pandan, dan kacau rata. Biarkan ia mendidih.
  3. Selepas itu masukkan isi nangka dan kacau rata.
  4. Masukkan santan dan kacau lagi.  Masak sehingga kuah mendidih dan tutup api.
  5. Biarkan bubur sejuk dahulu, kemudian baru dihidangkan.

Sup Tumis Sayur Campur

Semua orang tahu tentang khasiat sayur. Kalau hendak sihat, banyakkan makan sayur.  Tetapi kalau tak ada selera makan  nasi, masaklah sup sayur sebagai pengganti.  Sup sayur sedap dimakan sejurus selepas dimasak dan dihirup supnya ketika panas. Untuk hidangan ini, Kak Noor cuma gunakan sayur-sayuran yang terdapat di dalam peti sejuk sahaja. Tetapi kalau nak diletakkan sayur-sayuran lain pun boleh.

Bab masak sayur ini, Kak Noor lebih suka memilih hidangan dalam bentuk sup sedikit pekat. Sayurnya pula Kak Noor masukkan selepas sup telah betul-betul mendidih.  Selepas sayur-sayuran dimasukkan dan  mendidih sekali lagi, terus Kak Noor tutup api dan angkat.  Ini adalah untuk mengelakkan sayur-sayuran di dalam sup supaya tidak layu.




Bahan-bahannya:
1 batang lobak merak - dipotong bulat (jangan nipis sangat)
5 batang putik jagung - dikerat dua
3 biji ubi kentang - dikupas kulit dan dipotong kecil
Sayur brocoli
2 batang saderi
1 sudu kecil lada hitam
1 sudu kecil lada putih
2 sudu besar tepung jagung - dibancuh dengan air
2 sudu besar minyak untuk menumis
Air secukupnya.

Bahan-bahan untuk menumis:
1 biji bawang merah - dihiris
2 ulas bawang putih - dihiris
1 biji cili merah - dihiris
1 inci halia - dihiris

Penyediaannya:
  1. Panaskan minyak dalam kuali.  Tumis bawang merah, bawang putih, cili merah, dan halia sehingga naik bau dan kekuningan.
  2. Masukkan air secukupnya.  Kalau nak kuah banyak, lebihkan air.  Perasakan kuah dengan garam, gula, lada putih dan lada hitam.  Masak sehingga kuah mendidih.
  3. Kemudian masukkan ubi kentang dan lobak merah.  Masak sehingga empuk.
  4. Selepas itu masukkan putik jagung, sayur brocoli dan batang saderi.
  5. Untuk memekatkan kuah, masukkan bancuhan tepung jagung dan kacau rata.
  6. Selepas kuah mendidih sekali lagi, tutup api. 
  7. Hidangkan panas-panas bersama nasi.

Friday, January 27, 2012

Puding Cream Crackers Laici

Menggunakan kreativiti sendiri untuk menghasilkan hidangan utama atau snek menggunakan biskut cream crackers?!  Puas juga Kak Noor memikirkannya kerana soalan ini bukan sahaja memerlukan kita menjawabnya secara bertulis tetapi juga dengan bukti paparan gambar berkaitan hidangan yang dihasilkan. Banyak juga laman web, blog, dan buku-buku resepi yang telah Kak Noor  akses untuk  mencari hidangan yang menggunakan bahan utama cream crackers sebagai panduan.

Akhirnya empunya blog yang bernama  AMY berjaya dalam hasil pencarian ini .   Resepi ini katanya adalah daripada koleksi buku resepinya tahun 80an.  Itulah sebab Kak Noor memilih resepi ini untuk dijadikan panduan.  Resepi orang lama.... selalunya memang klas gitu.... Cuma untuk memudahkan penyediaan hidangan ini,  Kak Noor gunakan blender basah untuk mengisar bahan-bahan bancuhannya.

Akhirnya dengan beberapa olahan dan sedikit `kepakaran' (perasanlah pulak!) yang dikurniakan,  maka terhasilkan resepi seperti di bawah.  Hasilnya..... jadilah Puding Cream Crackers Laici.


Bahan-bahannya:
5 keping biskut cream crackers
(direndam di dalam susu sejat sehingga kembang)
1 tin susu sejat
4 keping biskut cream crackers - diramas kasar
1 paket agar-agar stripe
(Rendamkan sehingga menjadi lembut)
6 gelas air (1 gelas air bersamaan dengan 210 ml)
4 biji telur
2 cawan gula pasir
1 sudu kecil esen vanilla
1 tin buah laici - buah laici dibelah dua
Sedikit serbuk koko

Antara bahan-bahan yang digunakan
Cara-caranya:
  1. Biskut cream crackers direndam di dalam susu cair.  Biarkan biskut kembang, lepas itu dilecek dan dihancurkan biskut yang telah kembang tadi. 
  2. Di dalam blender, satukan biskut yang telah kembang bersama susu sejat, telur dan esen vanilla. Kisar sehingga halus.  Ketepikan.
  3. Di dalam periuk masak agar-agar dengan air hingga larut.  Kemudian baru dimasukkan gula  Biar mendidih dan tapis.
  4. Setelah ditapis, masukkan kembali larutan agar-agar di dalam bekas periuk semula.
  5. Kemudian masukkan bahan-bahan yang telah diblender tadi dan air buah laici di dalam periuk. Kacau rata dan masak di atas dapur menggunakan api yang sederhana sehingga adunan pekat. Tutup api.
  6. Asingkan satu mangkuk larutan agar-agar dan masukkan serbuk koko.
  7. Sediakan satu bekas, taburkan biskut cream crackers yang telah diramas kasar tadi dan susun separuh buah laici di dalam bekas tersebut.
  8. Tuang adunan asal berselang-seli dengan adunan bercampur koko di dalam bekas, secara bergilir-gilir supaya mendapat adunan berbelang.
  9. Akhir sekali, hias/tabur separuh lagi buah laici di atas puding tersebut.  
  10. Sejukkan sebelum dihidang. 

Tips:
Kalau inginkan agar-agar tidak berair (terlalu lembut) letakkan gula batu di dalam rebusan agar-agar.

Thursday, January 26, 2012

Sambal Tumis Udang Dengan Terung Kecil

Resepi yang ingin Kak Noor ketengahkan kali ini adalah masakan yang tidak pernah Kak Noor masak  iaitu sambal udang dengan terung kecil. Kak Noor sendiri pun tak tahu apa nama terung ini sebenarnya.  Kalau terung pipit itu tahulah. First time in my life masak hidangan ini.  Masa di pejabat tempoh hari, ada rakan sepejabat yang makan terung kecil ini dengan sambal belacan.  Katanya terung kecil  ini orang buat ulam, cicah dengan sambal belacan dan makan dengan nasi panas-panas.  Kak Noor memang sejak kecil lagi tidak pernah makan terung kecil ini, apa lagi menjadikannya sebagai bahan masakan.  Kak Noor cuba makan sebiji begitu sahaja tanpa dicicah sambal.  Hm.... memang sedap, rangup dan rasa manis.



Hari itu semasa pergi pasar ternampaklah terung kecil ini.  Terus beli, ingat nak jadikan ulam untuk hubby.  Tetapi disebabkan beberapa hari ini hubby tidak berselera makan kerana selesema, maka terung kecil itu tersimpan dalam peti sejuk saja.  Hari ini timbul idea nak masak sambal tumis udang letak terung kecil .  Kak Noor rasa kalau kita boleh cicah terung kecil dengan sambal, sudah tentu kita boleh masaknya dengan sambal.

Terung kecil, sedap dimakan begitu sahaja dan dibuat ulam.
Bahan-bahannya:
1/2 kilo udang saiz sederhana
1 biji buah tomato - dipotong kiub
2 keping asam gelugor (asam keping)
2 sudu besar gula perang
Gula putih dan garam secukupnya
Terung kecil - Kuantiti ikut citarasa
1 biji bawang besar - dihiris bulat
1 cawan air
Minyak untuk menumis

Bahan-bahan dikisar:
4 senduk cili kering kisar
1 biji bawang besar
4 ulas bawang putih

Cara-cara memasak:
  1. Panaskan minyak.  Tumis bahan-bahan kisar sehingga naik bau dan terbit minyak.
  2. Seterusnya masukkan 1 cawan air, diikuti dengan buah tomato yang dipotong kiub. Biarkan kuah mendidih seketika.
  3. Kemudian masukkan gula, garam, dan asam gelugor.  Kacau rata.
  4. Masukkan udang dan biarkan di atas api sehingga udang masak.
  5. Akhir sekali masukkan bawang besar yang telah dihiris bulat dan terung kecil.
  6. Biarkan beberapa minit di atas dapur kemudian tutup api.

Wednesday, January 25, 2012

Siakap Tiga Rasa (2)

Sekarang ini musim panas.  Kurang sedikit selera untuk makan nasi.  Dalam keadaan begini, makanan berkuah seperti laksa, mi/bihun sup, mi rebus menjadi pilihan. Anak Kak Noor yang bongsu, telah beberapa hari tidak menjamah nasi.  Katanya tidak berapa berselera.  Puas dipujuk tetapi masih tidak mahu makan.  Yang dapat membuka seleranya ialah makanan segera seperti keropok, biskut, dan ais krim sahaja.

Hari ini Kak Noor masak siakap tiga rasa lagi. Mana tahu dengan hidangan ini boleh membuka selera anakku dan sesiapa sahaja di luar sana yang tak berapa selera nak makan. Hidangan siakap tiga rasa adalah entri  untuk kali kedua dalam blog ini. Entri yang pertama sila klik di SINI.  Sebenarnya banyak resepi mengenai masakan siakap tiga rasa ini.  Terpulanglah kepada diri masing-masing untuk membuat pilihan dan mengolahnya mengikut kesesuaian citarasa kita.   Resepi yang Kak Noor ketengahkan kali ini dicabut daripada buku resepi Hidangan Terbaik Dunia Thai oleh Chef Nazira Noran; yang boleh didapati di kedai-kedai buku.

Bahan-bahannya:
1 ekor ikan siakap saiz sederhana
(diperap degnan kunyit dan garam)
100 gram nanas - dipotong dadu
1/2 batang timun - dipotong dadu
2 biji tomato - dipotong dadu
1/2 labu bawang besar - dihiris bulat
2 sudu makan sos tomato
1 sudu makan kicap masin
Garam dan gula secukup rasa
1 tangkai daun ketumbar - Kak Noor gantikan dengan daun sup
1 biji cili merah - dihiris nipis
Minyak untuk menggoreng ikan

Bahan-bahan untuk dikisar:
40 gram cili kering
5 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1 inci halia

Cara membuatnya:
  1. Perap ikan sekurang-kurangnya 15 minit dan goreng sehingga garing dalam minyak panas yang banyak.  Angkat dan ketepikan.
  2. Ambil sedikit minyak gorengan ikan tadi, tumis bawang merah, bawang putih, cili kisar dan halia yang telah dikisar tadi sehingga wangi.  Kacau sehingga pecah minyak.
  3. Kemudian masukkan sos tomato dan kicap masin.  Kacau lagi dan tidak perlu masukkan air.
  4. Kemudian masukkan garam dan gula secukup rasa dan kacau sehingga rata.
  5. Apabila hampir kering, masukkan nanas, timun, tomato, dan hirisan bawang besar bagi menaikkan aroma.  Tidak perlu masukkan air kerana air nanas keluar sendiri dalam tumisan semasa panas.  Kemudian kacau rata.
  6. Tuangkan umisan tiga rasa tadi ke dalam ikan goreng siakap.
  7. Taburkan sedikir hirisan daun ketumbar dan cili merah di atasnya.





Tuesday, January 24, 2012

Cucur Jagung Mayonis

Pagi tadi sebelum bertolak ke Sabak Bernam, menghantar anak pulang ke kolej Komuniti, Kak Noor sempat menyediakan sarapan cucur jagung.  Entri mengenai hidangan dan resepi cucur jagung ini banyak ditemui di laman web dan juga blog.  Kelainannya ialah ia diolah untuk menepati citarasa orang yang menyediakannya.


Cucur jagung yang Kak Noor sajikan ini amat mudah sekali.  Kak Noor tidak menggunakan telur, mauripan, soda bikarbonat ataupun baking powder.  Kelainan cucur jagung ini ialah Kak Noor menggunakan mayonis.  So hasilnya ialah manis-manis dan lemak.  Memang enak sekali.

Bahan-bahannya:
1/2 kg. tepung gandum diayak
200 gram isi jagung dingin beku -  (boleh didapati di pasar raya)
1 biji bawang besar dicincang
1 biji cili merah
3 sudu besar mayonis
2 tangkai daun sup - dirancik halus
1 sudu besar perencah ayam TUMIX
Garam dan gula secukup rasa
Air suam secukupnya.
Minyak secukupnya untuk menggoreng

Penyediaannya:
  1. Satukan semua bahan di atas di dalam satu bekas, kecuali air dan minyak.  Gaul rata. .
  2. Masukkan air suam sedikit demi sedikit dan gaul sehingga adunan sebati dan boleh dijemput.
  3. Biarkan seketika, anggaran 15 - 30 minit.
  4. Panaskan minyak di dalam kuali dan goreng sehingga masak.
  5. Toskan dan boleh dihidangkan dengan sos cili atau sos cili thai.  Makan begitu sahaja pun sedap.

Sunday, January 22, 2012

Puding Kastard Pisang Cream Crakers



Bahan-bahannya:
1 tin susu cair
1 tin air - sukat guna tin susu cair
4 sudu besar tepung kastard
4 sudu besar gula pasir
3 biji pisang emas - dipotong bulat
1 sudu kecil esen vanilla
Sedikit  serbuk milo
Beberapa keping biskut cream crackers

Cara-cara membuatnya:
  1. Satukan susu cair, air, tepung kastard, gula, esen vanilla di dalam blender dan dikisar.
  2. Kemudian masukkan ke dalam periuk dan masak dengan api yang perlahan.  Kacau bahan sehingga pekat (mesti kacau selalu supaya tidak berketul-ketul).
  3. Susun biskut cream crackers di dalam loyang/bekas.
  4. Setelah adunan pekat, tuang sedikit ke atas lapisan biskut dan ratakan sehingga menutupi semua biskut.
  5. Taburkan serbuk milo dan susun potongan pisang di atas lapisan tadi.
  6. Kemudian susun biskut lagi ke atas lapisan serbuk milo dan potongan pisang tadi.
  7. Tuang sekali lagi adunan ke atas lapisan biskut dan ulang langkah 4, 5.  Buat sehingga 3 lapisan sahaja.
  8. Biarkan seketika, kemudian masuk dalam peti sejuk. Makan bila sejuk. 

Laksa Penang (2)




Laksa lagi.... Resepi Laksa Penang ini pernah Kak Noor muatkan dalam blog ini dan boleh dilihat di sini. Cuti-cuti panjang begini dan ketika semua ahli keluarga berkumpul, adalah masa untuk kita memasak untuk sesuatu yang istimewa. yang boleh membangkitkan selera.  Laksa Penang, satu nama hidangan yang telah memang gah di mana-mana sahaja.  Bagi peniaga yang menjual laksa, mereka akan mengguna pakai Laksa Penang sebagai trademark untuk melariskan jualan mereka.  Walaupun kadang-kadang laksa yang disajikan itu sebenarnya bukanlah  Laksa Penang.

Kalau nak makan laksa puas, lebih baik  masak sendiri. Kalau di Kuala Lumpur ini,  memang susah nak dapat taste laksa yang bertepatan dengan citarasa orang Penang.  So... kalau nak makan sedap, kenalah masak sendiri walaupun penyediaannya agak meremehkan juga.  Banyak proses yang perlu dilakukan daripada membasuh ikan, merebus ikan, mengasingkan isi ikan dengan tulang, membuat kuah, mencelur laksa, sehinggalah memotong bahan-bahan ramuan untuk hiasan. Bagi penyediaan laksa kali ini, Kak Noor hanya beli laksa basah di kedai sahaja, jenama Win.  Beratnya 1kg. per pack dan tanpa asid borik dan asid benzoik.

Kak Noor pernah beli laksa di pasar malam dan di gerai-gerai yang berdekatan tetapi tidak memenuhi citarasa.  Ada yang kuahnya cair, ramuan tak mencukupi, dan yang paling tak dapat diterima ialah kuahnya hanyir. Kalau dah hanyir, ke tong sampahlah ceritanya.  Anak-anak Kak Noor pun pandai menilai sama ada kuah laksa hanyir atau tidak.    So.. Kak Noor ingin menasihatkan kalau nak buat kuah laksa, ikan mesti dibasuh bersih dan pastikan ia tidak hanyir ok!



Lala Masak Lemak Cili Padi

Telah seminggu Kak Noor tidak memuatkan resepi dalam blog ini.  Last entri ialah pada 16 Januari 2012.  Bukan apa, Kak Noor berehat seketika menjadi chef di dapur. Sehingga pertengahan bulan Februari ini tak perlu lagi bergegas dan kelam kabut di dapur  memasak pada waktu pagi sebelum pergi kerja.  Alhamdulillah anak Kak Noor yang sulung sekarang ini sedang cuti semester, bolehlah minta tolong dia memasak ala kadar untuk adik-adik.

Sempena cuti yang panjang ini; selama empat hari Kak Noor kembali  memasak untuk keluarga.  Pagi tadi, sempat singgah di Giant Taman Permata.  Ternampak lala segar, terus hati terpaut.  Telah agak lama tidak makan lala kerana harganya yang agak mahal.  Di Carrefour Wangsa Maju dua minggu lalu, harganya lebih kurang RM11+ sekilogram.  Tetapi hari ini di Giant, harganya jauh lebih murah iaitu RM6.88 sekilogram.  Apa lagi, Kak Noor pun `angkutlah' 1 1/2 kilo. Dalam fikiran masa tu dah ada idea sama ada nak masak lemak cili api atau sweet sour aje.  So... tanyalah anak-anak, dia orang suruh Kak Noor masak lemak cili api sahaja.



So... inilah bahan-bahannya yang lebih kurang sama sahaja dengan masakan lemak cili api yang telah kita ketahui sebelum ini.

Bahan-bahannya:
1 1/2 kilo lala
1 cawan pati santan kelapa sawit Khalis + 2 cawan air (gunakan cawan yang sama)

Bahan-bahan dikisar:
2 sm kunyit hidup
1 biji bawang besar
Beberapa biji cili padi - ikut citarasa kepedasan masing-masing
2 batang serai - dititik/diketuk
1 biji buah tomato - dibelah 4
Beberapa helai daun limau purut
2 keping asam keping
Cili merah dan cili hijau
Garam, gula  dan serbuk perasa (jika suka)

Cara membuatnya:
  1. Masukkan bahan-bahan yang telah dikisar di dalam periuk bersama lala dan serai.  Masak sehingga mendidih.
  2. Seterusnya masukkan santan, daun limau purut dan asam keping.  Perasakan dengan  garam, gula, dan serbuk perasa.  Kacau rata dan masak sehinggga mendidih sekali lagi.
  3. Tutup api, masukkan buah tomato, cili merah, dan cili hijau.

Monday, January 16, 2012

Ikan Tilapia Masam Manis Bernanas



Bahan-bahan:
Beberapa ekor ikan talapia saiz kecil (anggaran 10 ekor)
(Lumurkan dengan serbuk kunyit dan sedikit garam, perap seketika)
Beberapa keping daun limau purut
2 batang serai - diketuk
1 sudu tepung jagung + sedikit air
1 cawan air (kalau nak lebih kuah, tambahkan lebih air)
Minyak secukupnya untuk menumis
Gula dan garam secukupnya 


Bahan tumis:
1 biji bawang besar - dihiris
3 ulas bawang putih - dihiris
2 inci halia muda - dihiris memanjang

Bahan sos:
1 senduk cili kering kisar
1sudu besar sos tomato
1 sudu besar sos cili
1 sudu besar sos cili thai
1 sudu besar sos tiram
1 sudu besar sos plum

Bahan-bahan hiasan:
1 tin kiub nanas dalam jus nanas - Kak Noor guna Ayam Brand Snacky Nanas 280g
4 - 5 biji cili padi - diketuk
1 biji tomato - dibelah 4
1 biji bawang besar holland


Penyediaannya:
  • Goreng ikan yang telah dikunyitkan sehingga masak dan letak di atas pinggan. Ketepikan.
  • Panaskan sedikit minyak di dalam kuali.  Tumis hirisan bawang besar, bawang putih,  dan halia hingga kekuningan dan naik bau.
  • Masukkan cili kering kisar dan tumis sehingga terbit minyak.
  • Setelah terbit minyak, masukkan 1 cawan air, semua bahan sos, kiub nanas bersama jusnya sekali, serai dan daun limau purut. Biar mendidih.
  • Perasakan dengan gula, garam, dan serbuk perasa.  Sesuaikan rasa masam dan manis.
  • Masukkan bancuhan tepung jagung dan gaul rata.
  • Akhir sekali masukkan hirisan bawang holland, tomato, cili padi dan cili hijau. Jangan masak lama, dan tutup api.
  • Tuangkan kuah di atas ikan goreng tadi dan hidang segera dengan nasi putih.
Kiub nanas di dalam jus nanas jenama Ayam Brand

Mi Goreng Kerang





Bahan-bahannya:
2 bungkus mi basah
1 cawan isi kerang - dikupas daripada kerang yang direbus
50 sen taugeh
1 biji bawang besar - dihiris
3 ulas bawang putih - dihiris
1 keping tauhu - dipotong kiub
1 biji tomato - dipotong kiub
1 senduk cili kering kisar
1 sudu besar sos tomato
1 sudu besar sos cili
1 sudu sos tiram
2 sudu kicap lemak manis
Air secukupnya
Minyak secukupnya untuk menumis




Cara-cara memasak:
  • Panaskan minyak dalam kuali.  Tumis bawang besar dan bawang putih yang dihiris. Masukkan tauhu yang dipotong kiub. Tumis semua bahan sehingga kekuningan.
  • Masukkan cili kisar dan tumis sehingga terbit minyak.
  • Masukkan air secukupnya diikuti dengan buah tomato yang dipotong kiub, sos cili, sos tomato, sos tiram, kicap, gula, garam, dan perasa.   Sekiranya ingin mee goreng basah, tambahkan lebih air. Kacau rata dan masak sehingga kuah mendidih.
  • Selepas itu masukkan kerang dan masak sehingga kerang sebati dengan kuah dan mendidih sekali lagi.
  • Masukkan mi kuning dan kaup balikkan sehingga mi sebati dan masak.
  • Akhir sekali masukkan taugeh.  Kacau rata.  (Jangan masak sampai taugeh layu).
  • Hidangkan masa panas-panas. Boleh dihias dengan daun salad, cili merah, dan bawang goreng.

Saturday, January 14, 2012

Kek Pelangi

Kek ringkas yang menggunakan bahan-bahan asas kek sahaja. Untuk 
permulaan belajar membuat kek.


Bahan-bahannya:
250 gm mentega
2 sudu teh esen vanilla
1 1/2 cawan gula kastor
4 biji telur
4 cawan tepung naik sendiri - diayak
1 cawan susu segar
Sedikit pewarna mengikut kesukaan - saya guna warna hijau dan merah sahaja.
Secubit garam.

Cara penyediaannya:
  • Panaskan oven pada suhu 170C
  • Sapukan loyang pembakar yang bergaris pusat 8 inci dengan sedikit mentega.  Ketepikan.
  • Pukul mentega dan vanilla hingga putih, tambah gula dan pukul lagi sehingga kembang dan ringan.
  • Masukkan tulur satu demi satu dan pukul rata setiap kali telur ditambah.
  • Masukkan tepung berselang seli dengan susu.
  • Setelah sebati semuanya, bahagikan adunan kepada beberapa bahagian mengikut pewarna yang dipilih (saya bahagi kepada tiga bahagian untuk warna hijau, merah, dan warna asal adunan).
  • Tambahkan pewarna kepada setiap adunan dan kacau rata.
  • Masukkan adunan berselang-seli ke dalam dalam loyang pembakar.
  • Bakar pada suhu 170C selama lebih kurang 50 minit.
  • Biarkan kek sejuk sebelum dikeluarkan daripada loyang.

Ayam Halia

Malam ini terasa lapar pula.  Pagi tadi Kak Noor buat nasi lemak aje untuk sarapan.  Telah hampir sebulan tidak masak nasi lemak.  Pagi tadi Kak Noor suruh anak Kak Noor belikan nasi lemak di kedai untuk sarapan pagi. Tapi katanya lebih baik ibu masak, puas sikit makan. Maklumlah anak lelaki tengah membesar, kalau sebungkus mana cukup.  Kebiasaannya kalau Kak Noor buat nasi lemak, ia tahan sampai ke petang.  Anak-anak Kak Noor berulang makan sehingga licin.

Lauk ini sedap dimakan panas-panas dengan nasi panas.
  Jangan tunggu sampai lauk sejuk.
So.. malam ini kenalah masak nasi putih.  Dalam peti sejuk cuma ada ayam sahaja.  Lama juga Kak Noor fikir nak masak apa ye? Tak idea ni.  Nak masak kari ayam, dan sambal ayam dah selalu sangat, walaupun seiisi keluarga menggemari lauk ini. Nak cuba masak resepi yang ringkas sahaja;  cepat dimasak, sedap dimakan.  Maka bermulalah pencarian resepi-resepi lama dalam koleksi Kak Noor.  Lebih daripada satu jam mencari, akhirnya terjumpalah resepi Ayam Halia.   Ternyata memang sedap dan menepati citarasa Kak Noor selepas memasaknya.

Bahan A:
500 gram isi ayam - dipotong kecil
3 sudu makan sos tiram
1 sudu kecil tepung jagung
(dibancuh dengan 1/2 cawan air)
2 sudu  teh sos lada hitam -  Kak Noor guna sos lada hitam Sarawak
1 pokok daun bawang
1 biji tomato - dipotong 4
2 biji cili hijau
2 sudu makan minyak masak - untuk menumis
1 cawan air
1 sudu teh garam
1 sudu besar gula

Bahan B (dihiris):
3 inci halia muda
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
3 biji cili merah

Tak payah lauk lain dah....
Penyediaannya:
  • Panaskan minyak dan tumiskan bahan B sehingga layu.
  • Masukkan ayam dan kacau rata. Masukkan 1 cawan air.
  • Masak ayam sehingga lembut dan empuk.
  • Masukkan bancuhan tepung jagung, sos tiram, sos lada hitam, gula, dan garam.  Kacau rata dan biarkan ia masak sehingga kuahnya pekat.
  • Akhir sekali masukkan tomato, daun bawang, dan cili hijau. Kacau rata.
  • Sedia untuk dihidangkan.


Thursday, January 12, 2012

Ayam Masak Sambal Kicap

Sumber Resepi: Senangnya Memasak Ayam Bersama Chef Hanieliza

Kebiasannnya kalau masak ayam sambal atau ayam kicap, Kak Noor selalu gorengkan ayam terlebih dahulu. Tetapi resepi ayam masak sambal kicap oleh Chef Hanieliza ini tidak memerlukan ayam digoreng. Menjimatkan masa dan mengurangkan minyak dalam masakan. Ditambah pula dengan daun limau purut menambahkan aroma masakan dan membangkitkan selera.


Bahan A:
500 gram ayam
1 batang serai - diketuk
5 helai daun limau purut - dikoyak
3 sudu makan sos tomato
5 sudu makan kicap
1 labu bawang besar (dipotong gelang)
1/2 cawan minyak masak
Garam (sekiranya perlu)

Bahan B (dikisar):
20 tangkai cili kering
5 biji bawang merah
1 labu bawang besar
3 ulas bawang putih
1 inci halia
1/2 cawan air

Cara membuatnya:
  • Ayam dibuang kulit dan dipotong kecil.  Kemudian basuh dan toskan.
  • Panaskan minyak dan tumiskan bahan yang dikisar dengan serai sehingga wangi dan garing.
  • Masukkan ayam dan kacau.  Biarkan sehingga ayam lembut dan pecah minyak.
  • Masukkan daun limau purut, sos tomato, kicap, dan bawang besar yang dipotong gelang.
  • Masak sehingga pecah minyak.
  • Sedia untuk dihidangkan.


Paprik ampur

Sekarang ini sedang berlangsung MPH Book Fair di KL Sentral.  Kak Noor ambil peluang ini untuk mencari buku resepi masakan Thai yang boleh dibuat rujukan untuk masakan harian.  Dalam banyak-banyak buku resepi di situ, sempatlah Kak Noor sambar buku resepi bertajuk `Hidangan Terbaik Dunia Thai' oleh Chef Nazira Noran.



Pagi tadi Kak Noor cuba resepi Padprik Campur oleh Chef Nazira Noran.  Padprik lagi!! Memang keluarga Kak Noor tak pernah jemu makan lauk padprik. Ada bermacam resepi lauk padprik ini.  Apa yang penting kita tahu bahan asas untuk resepinya dan yang lainnya kita boleh olah sendiri; contohnya bahan-bahan sayuran yang perlu dimasukkan boleh mengikut citarasa kita sendiri. Pun begitu, ada juga bahan-bahan yang Kak Noor tak masukkan dalam resepi ini sebab tak ada  stok.  Tetapi hasilnya masih menepati citarasa. Nyum-nyum.



Bahan-bahannya:
50 gram ayam - dipotong dadu
50 gram daging - dipotong dadu nipis
8 ekor udang - dibuang kepala dan kulit (Kak Noor tak masukkan)
3 ekor sotong - dipotong bulat (Kak Noor tak masukkan)
30 gram bunga kobis (Kak Noor ganti dengan kacang panjang)
1/2 batang lobak merah - dipotong bulat
2 tangkai daun bawang
1/2 labu bawang besar - dipotong bulat
4 biji bawang merah - ditumbuk
2 ulas bawang putih - ditumbuk
1 batang serai - diketuk
5 helai daun limau purut
3 sudu makan cili kering kisar
1 sudu makan sos cili
1 sudu makan sos tomato
Garam dan gula secukup rasa
4 sudu makan minyak masak
Sedikit air sekiranya perlu



Cara-cara membuatnya:
  • Panaskan minyak.  Tumis separuh bawang besar, bawang merah, bawang putih, serai, daun limau purut sehingga wangi.
  • Masukkan cili kisar, sos tomato, dan sos cili.  Masukkan garam dan gula secukup rasa.  Kemudian goreng sehingga pecah minyak.
  • Masukkan ayam, daging, udang, dan sotong.  Kacau sehingga masak dan tambahkan air sekiranya perlu.
  • Kemudian masukkan lobak merah, bunga kobis, dan kacang panjang.
  • Akhir sekali masukkan daun bawang dan kacau seketika. 
  • Kalau suka boleh tambahkan 1 biji bawang besar yang dipotong bulat.

Sunday, January 8, 2012

Kari Masak Merah Daging Cincang (Utara)

Kalau nak buat kari daging, Kak Noor lebih suka beli daging cincang sebab ada isi dan lemak tetel. Kuahnya pula mestilah pekat dan dicampur dengan ubi kentang.  Ubi kentang pula dipotong besar; satu biji dibelah dua saja.  Ada juga orang masak tak buang kulit ubi kentang.  Rasanya lebih sedap dan lebih berkhasiat.  Tapi kenalah rajin bersihkan kulit ubi kentang itu dahulu.   

Kari ini adalah resepi orang Utara kerana sejak dahulu lagi resepi inilah yang dimasak oleh bonda Kak Noor. Memanglah banyak bahan-bahan yang digunakan, tetapi hasilnya amat berbaloi.   Tapi resepi ini Kak Noor namakan Kari Masak Merah Daging Cincang sempena mengambil nama serbuk kari yang Kak Noor gunakan iaitu Serbuk Kari Masak Merah Cap O.  Rempah ini memang sedap kalau digunakan untuk masakan kari daging atau kari ayam.  Kuahnya agak merah sedikit jika dibandingkan dengan rempah kari biasa yang agak kekuningan.

Kalau nak tahu sedap ke tidak kari daging ini, jam 11.30 malam anak-anak dan hubby Kak Noor boleh makan nasi lagi bila terbau kari ini.   Kak Noor ingat nak masak siap-siap sebelah malam dan keesokan paginya cuma panaskan sahaja untuk hidangan tengah hari.  Tak payahlah Kak Noor bergegas pada waktu pagi untuk memasak sebelum pergi kerja.  Anak-anak Kak Noor pun pandai, kalau masakan tak kena selera mereka, sentuh nasi pun tak nak.  


Bahan-bahannya:
1 kilo daging cincang
200 ml santan pekat
2 biji cili merah
2 biji cili hijau
1 biji bawang besar - dipotong 4
1 biji buah tomato - dipotong 4
3 keping asam gelugor (asam keping)
Gula / garam / perasa
Air secukupnya
Minyak secukupnya untuk menumis

Bahan-bahan A: Untuk pes rempah (disatu dan diblender):
45 gram serbuk kari masak merah Cap O
1/2 sudu besar jintan manis
Serbuk Kari Masak Merah Cap O
1/2 sudu besar jintan putih
1 biji bawang besar dibelah empat - supaya mudah dikisar
3 ulas bawang putih
1 inci halia
Air secukupnya untuk mengisar


Bahan-bahan B: Untuk tumis
1 biji bawang besar - dihiris halujs
3 ulas bawang putih - dihiris halus
2 inci halia - dihiris halus
3 tangkai daun kari - dibuang tangkainya
1 inci kayu manis
2 kuntum bunga lawang
3 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga

Penyediaannya:
  1. Daging dicuci bersih dan ditoskan. Satukan daging dengan bahan-bahan A yang telah dikisar bersama 2 sudu besar gula.  Perapkan sekurang-kurangnya 1 jam supaya pes rempah menyerap dalam daging.
  2. Panaskan minyak dalam periuk. Tumis bahan-bahan B sehingga bawang kekuningan dan terbit bau.
  3. Masukkan daging yang telah diperap tadi di dalamperiuk dan kacau sehingga sebati.  Masukkan lagi 2 cawan air di dalam periuk.  Tutup periuk dan masak sehingga daging empuk.  Sekiranya air telah kering dan daging masih tidak empuk, tambahkan air dan masak lagi sehingga daging empuk.
  4. Setelah daging empuk, masukkan ubi kentang.  Kacau rata dan biarkan ubi kentang 1/2 masak.
  5. Kemudian baru dimasukkan santan pekat bersama 1/2 cawan air.
  6. Campurkan garam, perasa (jika suka), dan asam keping.  Kacau rata.
  7. Biarkan masakan ini di atas api sederhana sehingga mendidih dan ubi empuk. 
  8. Akhir sekali masukkan bawang besar yang dipotong 4, cili merah, cili hijau, buah tomato. 
  9. Sedia untuk dihidangkan.



Saturday, January 7, 2012

Serawa Durian

Hai... bila durian dah banyak kat rumah, dari pagi sampai malam, resepi durian sahaja. Biar puas! Dalam rumah pun dah bau `perfume' durian.  Itulah durian, makannya memang sedap, tapi baunya memang susah nak hilang.  Selagi ada durian kat rumah, selagi itulah baunya tidak hilang.

Serawa durian adalah resepi berunsurkan durian yang menjadi favourite Kak Noor sekeluarga.  Serawa durian ini boleh dimakan bersama roti, pulut, dan nasi.  Cara-cara memasaknya memang mudah dan ringkas.  Ramas sahaja semua bahan dan kemudian panaskan di atas dapur.  Resepi yang Kak Noor paparkan ini adalah menggunakan 4 biji durian saiz sederhana. Dari segi kemanisan dan kelemakannya terpulanglah kepada citarasa masing-masing.


Bahan-bahannya:
Ulas durian daripada 4 biji durian saiz sederhana - Kak Noor tak kira berapa ulas
1 kg pati santan
4 senduk gula putih
1 senduk gula perang
2 sudu kecil garam
3 helai daun pandan disimpul

Penyediaannya:
  • Di dalam periuk yang besar, satukan semua ulas durian (jangan dibuang biji), santan, gula putih, gula perang, dan garam.  Ramas sehingga isi durian keluar daripada biji.
  • Kemudian masukkan air secukupnya.  Bergantung kepada kepekatan kuah.
  • Letakkan daun pandan.
  • Masak di atas dapur dengan api yang sederhana.
  • Sesekali kacau sampai ke dasar periuk, supaya kuah tidak rentung di dasar.
  • Bila kuah telah mendidih, kacau dan tutup api.
  • Hidangkan bersama roti, pulut, atau nasi.

Cucur Durian

Sekarang ini musim durian.  Tengok kat mana-mana tepi jalan ada dijual durian.  Sewaktu pulang dari kerja, nampak longgokan durian di tepi jalan; 3 biji RM10.00, 2 biji RM10.00, 1 bekas RM10.00 dan ada juga durian D24 yang dijual timbang kilo. Teringin pula Kak Noor nak makan durian.  Selalunya durian ni Kak Noor sekeluarga makan mentah-mentah dulu.  Yang nak makan mentah tu... Kak Noor beli yang best sikit; durian D24, baru puas makan.  Yang lainnya durian longgok sahaja.

Malam semalam, tercapailah hasrat Kak Noor nak makan durian.  Agak murah jugalah.  Hubby Kak Noor beli kat pasar malam AU2 berdekatan dengan Eon Setiawangsa.  Campur, D24 dan durian longgok.  Banyaklah juga dapat dan isinya memang `marvellous'.

So... bila dah banyak ni... terpaksalah memikirkan resepi-resepi yang berunsur durian.  Dalam kepala Kak Noor dah ada resepi wajib keluarga iaitu cucur durian dan serawa durian.  Bancuhan cucur durian ini Kak Noor main agak-agak sahaja sejak daripada dulu memandangkan masakannya ringkas sahaja.  Tetapi untuk entri cucur durian ini, Kak Noor rujuk  resepi Mat Gebu.  Kelainannya resepi Kak Noor dengan resepi Mat Gebu ialah dalam resepi cucur duriannya, dia masukkan baking powder dan telur.  Teruja juga Kak Noor nak cuba resepinya. 



Bahan-bahannya:
2 cawan tepung gandum
1 camca besar baking powder 
(tepung dan baking powder disatukan dan diayak)
1/4 cawan gula halus
1 biji telur, pukul sedikit
1/2 cawan isi durian, lecek halus
1 1/2 cawan air atau secukupnya
Secubit garam


Cara membuatnya:
  • Satukan semua bahan-bahan di atas, kecuali air, kacau rata dan tuang air sedikit demi sedikit dan kacau hingga sebati. Rehatkan 10 minit.
  • Panaskan minyak dan goreng seperti cucur biasa.  Masak dengan api sederhana hingga kuning keemasan, angkat dan toskan. Boleh dihidangkan untuk sarapan pagi dan minum petang.