Pages

Tuesday, January 31, 2012

Ikan Cencaru Sumbat

Kak Noor guna 6 ekor ikan cencaru untuk resepi ini.   Ikan cencaru hendaklah dibersihkan dengan limau dan garam untuk menghilangkan rasa hanyir ikan.  Memandangkan cara menyiang ikan cencaru ini tidak dibuang kepalanya dan tidak dibelah sisi perutnya, maka amat sukar sedikit untuk mengeluarkan segala isi perutnya seperti biasa.  Bagi proses penyiangan ikan cencaru,  kita perlu membelah belakang badannya untuk mengeluarkan segala isi perut ikan ini.  Pastikan juga   darah ikan terutamanya darah beku yang terdapat di celah-celah tulang ikan dan di dalam rongga mulut ikan dibersihkan.   Semasa menyiang ikan ini, sudah pasti jari anda ada kalanya terluka sedikit sebab kita perlu memasukkan tangan kita di belahan belakang ikan untuk mengeluarkan isi perutnya dan juga menarik keluar insangnya.  Bonda Kak Noor selalu berkata,  makan ikan cencaru sumbat ini memang sedap, tapi masa siang memang siksa.   Ambil masa sedikit daripada menyiang ikan lain.

Ikan cencaru sumbat ini sedap dimakan dengan nasi putih panas dan tidak memerlukan kuah.  Kak Noor lebih suka menggoreng ikan ini sehingga garing. Minyak daripada gorengan ikan dan sambal garing yang bercampuran dengan minyak gorengan digaul dengan nasi panas dan terus dimakan.  Kesedapannya tidak terkata.  Boleh bertambah nasi... Kalau tak percaya, cubalah.! Ratah ikan saja pun sodap.....

\



Bahan-bahan untuk sambal:
3 senduk cili kering kisar
5 biji cili merah
2 - 3 biji cili padi
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
1 sudu besar perencah ikan bilis TUMIX
1 sudu besar pati asam jawa
Belacan - anggaran sebesar ibu jari atau boleh dilebihkan sedikit ikut kesukaan
Garam dan gula secukup rasa
Sedikit air
  • Kesemua bahan-bahan di atas disatukan di dalam blender dan dikisar.  Gunakan air yang sedikit agar sambal tidak cair.
  • Rasa sambal tadi.  Mesti ada rasa pedas, manis, masam, dan rasa garamnya. Bahan-bahan ini boleh ditambah sekiranya masih tidak menepati citarasa.
Penyediaannya:
  1. Ikan cencaru dibelah kedua-dua belakangnya.  Dibasuh bersih dan digaramkunyitkan.
  2. Kemudian sumbatkan sambal di kedua-dua belahan ikan cencaru.
  3. Masukkan di dalam peti sejuk lebih kurang sejam supaya sambal mengeras sedikit.  Ini bagi mengelakkan sambal keluar semasa menggoreng.
  4. Selepas 1 jam, keluarkan daripada peti sejuk.
  5. Panaskan minyak di dalam kuali.  Minyak mestilah banyak supaya ikan tenggelam.
  6. Jangan balikkan ikan banyak kali semasa menggoreng. Goreng sebelah hingga masak, kemudian baru dibalikkan.
  7. Semasa menghidang, boleh diletakkan sedikit minyak gorengan di atas ikan tersebut.
Ikan cencaru yang telah disumbat sambal dan belum digoreng
Lebihan ikan cencaru sumbat disimpan di dalam bekas bertutup dan disejukbekukan.
Tips:
  • Lebihan sambal ikan boleh disimpan di dalam peti sejuk dan boleh digunakan untuk menumis nasi goreng dan menggoreng sayur kangkung.
  • Ikan cencaru yang telah disumbat sambal boleh disejukbekukan di dalam peti ais.  Pastikan ia dinyahbekukan sebelum digoreng. 

0 comments:

Post a Comment