Pages

Monday, January 7, 2013

AYAM LEMON

Assalamualaikum dan Selamat Petang kepada sekalian pembaca blog yang selama ini sudi bertandang ke Sajian Dapur Bonda. Sebenarnya resepi yang dimuatkan  di Sajian Dapur Bonda ini  tidaklah semeriah dan semewah seperti resepi yang terdapat di laman web masakan yang telah lama establish dan popular.  Resepi yang Kak Noor muatkan dalam SDP adalah sekadar masakan harian untuk santapan keluarga dah mudah untuk diikuti oleh semua golongan. Justeru itu Kak Noor berharap ia dapat memberi manfaat kepada semua.


" SELAMAT TAHUN BAHARU 2013"


Agaknya tidak terlewat untuk Kak Noor mengucapkan Selamat Tahun Baharu 2013.  Telah masuk minggu kedua kita semua berada di tahun baharu.  Semoga tahun ini membawa keceriaan dan perjalanan hidup kita senantiasa diberkati olehNYA.  Semoga tahun ini lebih baik daripada tahun lalu di mana kita akan berusaha berjuang untuk meningkatkan kualiti kehidupan dari segala kepayahan yang ditempuhi tahun lalu.  





Hari ini Kak Noor ambil cuti kecemasan, memang tidak dirancang.   Walaupun telah bangun sejak jam 5.00 pagi  untuk melakukan rutin pagi sebelum keluar bekerja, namun entah mengapa tiba-tiba sahaja rasa lemah seluruh badan; tak bertenaga langsung.  Mungkin disebabkan kerja-kerja rumah yang dilakukan di hujung minggu. Walaupun tak larat, tetapi digagahi juga.  Al maklumlah sejak masuk kategori lewat 40an ni, kudratpun dah setanding semasa muda-muda dulu.  Selagi ada anak dan suami, selagi itulah tugasan rumah menjadi sebahagian daripada hidup seorang wanita, walaupun bekerja.  Walau demam dan sakit sekalipun, bila teringat anak dan suami, digagahi juga diri untuk menyediakan hidangan untuk santapan keluarga.  Itulah kekuatan seorang wanita yang bergelar ibu dan isteri.




So sempena cuti hari ini, selepas anak-anak pergi sekolah, berpeluanglah Kak Noor meluangkan sedikit waktu untuk blogwalking kat blog kekawan.    Semasa blogwalking,  Kak Noor tersinggah di laman blog `Bicara Kak Noor' dan teruja untuk mencuba resepi Ayam Lemon.  Seperti biasa, resepi daripada blog kekawan Kak Noor gunakan sebagai asas penyediaan masakan dan tidak seratus peratus diikuti. Kak Noor olahkannya mengikut kesesuaian dan citarasa Kak Noor sendiri.   Terima kasih kepada Puan Nooriah Naim kerana sudi berkongsi resepi yang sedap ini dengan kekawan semua.





AYAM LEMON
Resepi Asal : Puan Nooriah Naim - Bicara Kak Noor
Diolah oleh: Kak Noor, Sajian Dapur Bonda


Bahan-bahannya: 
500 gram isi ayam (bahagian dada ayam) – dipotong kecil
1 sudu besar bawang putih kisar
1 inci halia – dihiris
2 biji bawang besar – dipotong bulat
½ biji cili benggala (capsicum) warna kuning – dipotong dadu besar
1 biji cili merah
1 biji cili hijau
Parutan kulit lemon daripada 1 biji lemon
1 sudu sos cili hijau Thai (Kak Noor guna jenama Thai Heritage)
1 sudu besar tepung jagung dibancuh dengan sedikit air
2 sudu besar jus perahan lemon
1 sudu besar planta untuk menumis
Minyak secukupnya untuk menggoreng ayam
Garam, gula, dan serbuk perasa

Bahan-bahan perapan (diperap bersama isi ayam): 
2 sudu besar jus perahan lemon
1 sudu kecil serbuk lada hitam kasar
1 sudu kecil garam

Cara-cara memasak: 
1. Bahagian dada ayam dibersihkan dan dipotong kecil (dadu besar). Perapkan bersama bahan-bahan perapan selama 5 minit.
2. Panaskan minyak di dalam kuali secukupnya. Goreng ayam yang telah diperam tadi sehingga masak. Ketepikan.
3. Di dalam kuali yang lain, panaskan planta. Tumis bawang putih kisar dan hirisan halia sehingga wangi. Masukkan bancuhan tepung jagung, sos cili hijau, dan jus perahan lemon. Sekiranya pekat, boleh ditambah air.
4. Perasakan dengan garam, gula, dan serbuk perasa. Masak sehingga mendidih. Bila kuah telah mendidih, masukkan ayam, diikuti dengan cili benggala kuning, cili merah, cili hijau, dan parutan kulit lemon. Gaul sehingga semua bahan mesra. Jangan sampai sayur-sayuran layu.
5. Tutup api dan bolehlah dihidangkan bersama nasi putih. Lagi sedap dimakan sejurus selepas masak bersama nasi putih.

0 comments:

Post a Comment