Pages

Sunday, January 20, 2013

CUCUR KEMBONG (CUCUR MANIS)


Cucur kembong atau cucur manis adalah sinonim dengan orang kampong. Ia dihidangkan pada waktu petang sebagai hidangan keluarga ataupun bila ada orang bertandang ke rumah. Seingat Kak Noor yang dibesarkan di kampong, arwah maktok Kak Noor kerap juga buat cucur kembong ini. Mungkin disebabkan mudah dan cepat disediakan. Selalunya dihidangkan bersama minuman teh o atau kopi o. 




Bercakap pasal cucur kembong ini terkenang kembali semasa zaman kanak-kanak dulu. Bersantai di pelantar bersama-sama kawan-kawan sambil menghirup udara nyaman di waktu petang dan menikmati suasana damai ditemani daun nyior yang melambai cukup membuat perut kami semua terasa `keroncong' (lapar).  Maka… maktok Kak Noor akan membuat cucur kembong untuk dimakan beramai-ramai. Dalam masa tidak sampai lima minit dua pinggan cucur telah habis. Kalau diikutkan nafsu makan,  memang tak kenyang lagi, tapi Alhamdulillah itulah rezeki yang diberi olehNYA.  Itulah zaman kanak-kanak Kak Noor yang dibesarkan di sebuah kampong yang diberi nama Kampung Pisang Awak (Bukit Dumbar).  Semuanya cukup membuahkan nostalgia. Terkenang kawan-kawan sepermainan yang ligat bemain di mana sebuah kampung diterokai.   Oh… di manakah kalian semua sekarang?  Kalaulah bisa kuputarkan masa…..




Terlalut pula sentimen Kak Noor ni! Maklumlah bila kita semakin berusia, semakin bertambah sensitif dengan keadaan sekeliling dan juga kenangan lalu. Ok kita tutup nostalgia Kak Noor yang tiada penyudahnya itu dan terus ke resepi. Resepi cucur kembong ini telah diubah suai mengikut arus kemodenan (guna bahan-bahan terkini).

Bahan-bahannya:
3 cawan tepung naik sendiri (self raising flour)
3/4 cawan gula pasir halus – boleh tambah gula sekiranya suka manis
½ sudu kecil garam
3 sudu besar mayonis
1 biji telur
½ sudu esen vanilla/ros - opsyen, tak letak pun tak ape
Air panas (suam) secukupnya
Minyak secukupnya untuk menggoreng

Cara-cara menyediakannya: 
1. Masukkan kesemua bahan di atas di dalam satu bekas kecuali air panas (suam). Gaul rata. Masukkan air sedikit demi sedikit seperti bancuhan membuat jemput-jemput. Gaul sebati.
2. Memandangkan resepi ini menggunakan tepung naik sendiri, maka ia tidak perlu diperap terlalu lama, hanya lebih kurang 20 minit sahaja atau sehingga bancuhan kembang.
3. Panaskan minyak secukupnya. Guna api sederhana. Jangan terlalu panas, ditakuti renting di bahagian luar tetapi tidak masak di bahan dalam.
4. Sebelum menggoreng, bancuhan tepung tadi hendaklah digaul sekali lagi supaya rata.
5. Kemudian jemputlah bancuhan tepung sama ada dalam bentuk bulat-bulat atau dalam bentuk lonjong.
6. Goreng sehingga kekuningan, kemudian diangkat dan ditoskan.

0 comments:

Post a Comment