Di bulan Ramadhan ini ramai orang yang suka berbuka puasa dengan ikan bakar kan! Walaupun harga ikan bakar yang dijual di bazar Ramadhan mahal harganya, namun orang ramai sanggup beratur panjang untuk membelinya. Apa lagi kalau gerai yang menjual ikan bakar tu menyediakan air asam yang cukup power. Sudah tentu gerai berkenaan akan menjadi tumpuan setiap hari.
Bercakap pasal ikan bakar ini, ada sebuah kedai ikan bakar yang terletak di pasar Datuk Keramat. Memang menjadi tumpuan orang ramai dan famous di kalangan penduduk yang tinggal di sekitar Keramat. Ikan-ikannya memang segar belaka. Ada ikan kembung besar, ikan pari, ikan terubuk dan ikan cencaru. Walaupun harganya agak mahal (contohnya ikan pari harganya RM18.00) tetapi pelanggan tak kisah dan gerai tersebut senantiasa menjadi tumpuan. Cara ikan dibakar iaitu dibalut terlebih dahulu dengan daun pisang dan kemudian dibakar di atas kuali leper dengan menggunakan marjerin sudah cukup menaikkan selera. Ketika dibakar aromanya..... hai tak payah cakap le....Tekstur ikannya yang manis dan air asamnya yang memang power dan sedap sehingga menjilat jari adalah salah satu tarikannya yang tersendiri. Kerap kali pelanggan terpaksa menunggu giliran untuk makan di situ kerana tempat duduk senantiasa penuh. Kak Noor yang sejak dulu memang tak berapa suka makan ikan bakar ini pun akhirnya `tersujud' di kedai tersebut. Kalau setiap kali teringin nak makan ikan bakar, mesti ajak hubby ke sana.
Hari ini Kak Noor nak cuba sedia ikan bakar. Kak Noor guna ikan kembung besar yang diberi di pasar raya Jaya Jusco. Segar ikannya. Bagi memudahkan penyediaannya, Kak Noor beli perencah ikan bakar ADABI. Pencicahnya pula ialah air asam. Air asam ini memang special sangat. Rasanya lebih kurang sama dengan air asam yang disediakan di gerai ikan bakar pasar Datuk Keramat (Anak-anak Kak Noor lah yang komen; sehingga dihirup air asam tu!). Memandangkan air asam ini adalah olahan Kak Noor sendiri maka Kak Noor namakannya Air Asam Bonda.
IKAN BAKAR - (Hidangan untuk 6 orang)
Bahan-bahannya:
6 ekor ikan kembung saiz besar
2 paket perencah ikan bakar ADABI (satu paket 70g)
Beberapa helai daun pisang yang telah dibersihkan
Penyediaannya:
1. Cuci ikan sebersihnya, kemudian perap selama lebih kurang 30 minit dengan perencah ikan bakar ADABI. Kalau perap lebih lama, lagi baik.
2. Balut setiap ikan dengan daun pisang.
3. Panaskan kuali pemanggang dengan sedikit margerin dan panggang ikan pada kedua-dua bahagian.
4. Apabila ikan masak, hidangkan bersama air asam.
AIR ASAM BONDA
Bahan-bahan A:
2 biji bawang besar - dihiris nipis
2 biji tomato saiz sederhana - dipotong kiub
1 biji cili merah - dihiris
5 - 6 biji cili padi - dihiris (kalau nak pedas, lebihkan; dan kalau tak nak pedas, kurangkan)
1 sudu besar gula perang
1 sudu besar gula putih
Garam secukup rasa
1 sudu kecil serbuk pasti SEDAP Knorr - boleh didapati di pasar raya
1 sudu besar sos ikan
2 - 3 biji limau kasturi - dihiris nipis atau diambil jusnya sahaja.
Garam secukup rasa
Bahan-bahan B (disatukan dan dikisar):
3 sudu besar pati asam jawa ADABI
Belacan secukupnya
1 cawan air suam
Penyediaannya:
1. Sediakan bekas. Masukkan kesemua bahan A.
2. Bahan-bahan B disatukan dan dikisar lumat. Sekiranya pekat, tambahkan air suam secukupnya.
3. Kemudian masukkan bahan B yang telah dikisar tadi di dalam bekas yang sama. Ramas kesemua bahan sehingga sebati. Kuah pencicah hendaklah sederhana pekat, dan jangan cair. Kalau pekat sangat, boleh tambahkan air suam.
4. Boleh disimpan di dalam bekas plastik (tupperware) dan dimasukkan di dalam peti ais. Bila hendak makan, baru dikeluarkan.
0 comments:
Post a Comment