Pages

Monday, July 30, 2012

PAJERI NANAS

Hari ini masak agak ringkas aje.  Sepulangnya dari pejabat Kak Noor tak singgah mana-mana sebab nak cepat-cepat sampai ke rumah untuk memasak. Rugi kalau nak beli lauk instant sebab semalam Kak Noor dah borong banyak lauk dan sayur-sayuran di NSK.  Hari ini nak cepat-cepat habis masak, kemudian bolehlah relaks sementara menunggu waktu berbuka.




Sejak di pejabat tadi dan berangan-angan nak masak pucuk manis lemak putih sahaja.  Tetapi bila buka peti sejuk ternampak nanas yang masih berbaki sebelah,   baki dari nanas yang digunakan untuk rencah  kari ikan kering talang semalam.  So...tukar menu nak masak pajeri nanas sahaja.  Lagipun ada ikan kering tenggiri jeruk.  Goreng aje.... Itulah gandingannya.  Sedap tu...



Bahan-bahannya:
1/2 biji nanas manis  - dipotong bulat atau separa bulat, jangan nipis sangat
2 sudu besar kerisik
1 cawan pati santan - dicampur dengan 2 cawan air
2 sudu besar gula perang
2 sudu besar gula
Garam secukup rasa
2 biji cili hijau - dibelah memanjang tetapi jangan putus

Bahan-bahan dikisar: (dijadikan pes)
4 sudu besar rempah daging
1 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
Air secukupnya

Bahan-bahan Tumis:
3 biji bawang kecil - dihiris
2 ulas bawang putih - dihiris
1 inci halia - dihiris
1 inci kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
2 biji bunga cengkih
3 biji buah pelaga
1 sudu besar udang kering - direndam sehingga sedikit kembang dibersihkan dan ditoskan.
1 tangkai daun kari
Minyak secukupnya untuk menumis

Penyediaannya:
1.  Panaskan minyak di dalam periuk.  Masukkan bahan-bahan tumis dan tumis hingga naik bau dan kekuningan.
2.  Masukkan pes dan kacau rata  Tutup periuk dan masak sehingga rempah garing dan terbit minyak.
3.  Kemudian masukkan santan dan kacau lagi.  Sesuaikan rasa, masukkan garam, gula perang gula putih, dan serbuk perasa.  Kacau dan biarkan kuah mendidih.
4.  Setelah kuah mendidih masukkan nanas dan kerisik.  Masak sehingga nanas layu dan kuah pajeri agak pekat.  Kemudian masukkan cili hijau.  Kacau dan tutup api.

0 comments:

Post a Comment