Pages

Friday, August 3, 2012

Ikan Sardin Masak Taucu


Hari ini telah masuk dua minggu kita berpuasa. Syukur Alhamdulillah masih diberi kekuatan untuk menunaikan ibadah di bulan yang mulia ini. Di pejabat pada setiap hari selepas roll call, sempena bulan Ramadhan ini, rakan setugas kami iaitu Haji Kamarrudin akan memberikan tazkirah dan nasihat berunsur keagamaan untuk dikongsi bersama. Sekurang-kurangnya perkongsian ilmu ini dapat dimanfaat bersama.

Hari ini hari Jumaat. Ada pasar malam cum bazaar Ramadhan berdekatan LRT Jelatek. Lokasinya di lapangan tempat letak kereta LRT Jelatek. Banyak jualan di situ; dari makanan hinggalah ke pakaian. Dah lama tak singgah di sini, sebab sepulang dari pejabat terus rushing ambil anak bongsu perempuan di sekolah. Kalau dulu ada abangnya yang menjemput, tetapi sekarang orang harapan Kak Noor telah sambung pelajar  di Politeknik Dungun. So… tak bolehlah Kak Noor dan hubby menjamu mata di pasar malam tu lagi.

Ok seperti biasa, masih berfikir-fikir nak masak apa hari ini. Kadang-kadang tu `blur’ juga memikirkan apa juadah hari ini. Bukan sahaja Kak Noor, tetapi ibu-ibu yang lain pun turut merasa begitu. Kak Noor nak masak lauk yang mudah sahaja tetapi membangkitkan selera. Ayam dengan daging tak nak le…. Mungkin dah jemu buat masa ni.




Apa kata masak ikan sardin masak taucu aje… Lagipun ada ikan sardin putih ada di dalam peti ais. Biasanya orang guna taucu masin, tetapi kali ini Kak Noor guna campuran taucu masin dan taucu manis pula dalam masakan ini. Jom kita tengok resepinya. 

Bahan-bahannya:
3 ekor ikan sardin putih segar saiz besar – dikerat dua
2 sudu besar cili kering kisar
4 ulas bawang merah – dihiris nipis
3 ulas bawang putih – dihiris nipis
2 cm halia – hiris batang mancis
1 1/2 sudu besar pati asam jawa - dibancuh dengan 1 cawan air
2 sudu besar taucu masin
2 sudu besar taucu manis
2 cawan air
2 tangkai cili merah – belah 4
2 tangkai cili hijau – belah 4
4 tangkai cili padi – ketuk sikit
1 labu bawang besar – potong gegelang bulat
1 biji tomato - dibelah 4
Garam, gula, dan perasa
Minyak untuk menumis

Cara Memasak:
1. Ikan dicuci bersih dan dipotong kepada dua bahagian. Lumur dengan garam dan serbuk kunyit, kemudian digoreng garing.
2. Ambil 3 sudu besar minyak gorengan ikan, tumiskan bawang merah, bawang putih, dan halia hingga naik bau.
3. Masukkan cili kisar dan kacau lagi biar cili masak. Kemudian masukkan taucu masin dan taucu manis.  Kacau rata.
4. Selepas itu masukkan air asam jawa dan biar mendidih sebentar. Perasakan dengan gula dan serbuk perasa.  Seimbangkan rasa, jika tak cukup masin boleh tambah sedikit garam.
5. Masukkan ikan tadi beserta bawang besar, cili merah, cili hijau, dan cili padi.  Jika inginkan kuah banyak, boleh tambah air lagi.
6. Reneh sebentar sehingga ikan lembut dalam kuah. Akhir sekali masukkan buah tomato.  Tutup api dan sedia untuk dihidangkan dengan nasi putih.

0 comments:

Post a Comment