Saturday, August 4, 2012
MEE GORENG MAMAK SEGERA
Kalau selalu berbuka puasa dengan nasi dan lauk pauk, apa kata sekali sekala di bulan Ramadhan yang mulia ini kita menyajikan mee goreng mamak sebagai juadah berbuka puasa. Bukan apa, kadang-kadang jemu juga mengadap nasi semasa berbuka puasa, terutama sekali anak-anak kita. Anak lelaki Kak Noor yang bernama Ashraf (anak keempat) memang suka berbuka dengan mee goreng. Kalau ada mee goreng, nasi tidak lagi dipandangnnya. Boleh bertambah dua pinggan. Tetapi.... ada tapinya, mee goreng tu mestilah digoreng ala mee mamak. Biasalah mee mamak selalunya ada cucur udang sebagai salah satu ramuannya. Kak Noor mana ada masa nak sediakan cucur udang. So... kita goreng ringkas sahaja. Hubby Kak Noor pun suka dengan cara gorengan mee mamak yang segera ini. Yang paling penting jangan gunakan minyak yang banyak. Tak payah guna perencah yang `mewah' seperti udang, sotong, daging, dan isi ayam. Apa yang paling utama dalam mee goreng mamak yang segera dan ringkas ini ialah telur ayam. Telur ayam mesti guna banyak, baru sedap dan rasa macam mee mamak di kedai. Kita sendiri pun pernah tengok bila mamak menggoreng mee, mesti taruh telur banyak.
Resepinya senang aje dan sesiapapun boleh memasaknya. Tak sampai 10 minit dah siap. Sebab itu dinamakan Mee Goreng Mamak Segera. Kalau nak makan ketika panas, pastikan mee digoreng 20 minit sebelum berbuka puasa. Masih sempat lagi tu... Insya Allah....
Bahan-bahannya:
1 bungkus mee kuning, dibasuh dengan air dan ditoskan - (Kak Noor guna cap Laksamana)
50 sen taugeh
2 biji bawang kecil - dihiris
3 ulas bawang putih - diketuk
2 sudu besar makan cili kering kisar
Beberapa titik cuka
Beberapa titik sos ikan atau sos sotong
Kicap manis secukupnya
Telur ayam 3 biji - dipecah di dalam bekas dahulu dan dipukul kembang
Gula, garam, dan serbuk perasa
Limau kasturi
1 biji cili merah - dihiris serong
Buah tomato - dipotong kecil
Bawang goreng
3 sudu besar minyak masak
Penyediaannya:
1. Panaskan minyak di dalam kuali. Tumis bawang putih dan bawang merah sehingga naik bau dan kekuningan. Kemudian masukkan cili kisar dan tumis sehingga garing.
2. Selepas cili garing, masukkan telur yang telah dipukul kembang tadi. Gaul rata.
3. Masukkan mee, cuka, sos ikan, kicap manis, gula, garam, serbuk perasa dan sedikit air. Kacau dan kaup balikkan sehingga mesra. Bila mee telah separuh masak, masukkan taugeh. Kacau lagi sehingga semuanya mesra dan sebati. Tutup api.
4. Semasa menghidang, bolehlah diletakkan potongan buah tomato, bawang goreng, hirisan cili merah, dan limau kasturi. Sedia untuk dimakan semasa panas.
0 comments:
Post a Comment