Pages

Tuesday, May 22, 2012

SIAKAP TIGA RASA






Siakap Tiga Rasa lagi..... sebelum ini memang telah ada N3 mengenai siakap tiga rasa ini dalam blog ini. Memang favourite anak-anak semua, apalagi kalau dihidangkan terus selepas dimasak.   Hari Sabtu yang lalu, sempat `sambar' 2 ekor siakap saiz sederhana di Carrefour Wangsa Maju. Seekor harganya R7.00. Ok jugalah sebab ikannya pun fresh.

Sejak di pejabat tadi dah berangan-angan nak masak siakap tiga rasa untuk hidangan makan malam. Dah tiga hari di dalam peti ais, masih tidak berkesempatan untuk menyiangnya lagi.  Hari ini mesti nekad dan rajinkan diri untuk masuk ke dapur.  Sepulangnya dari pejabat, terus singgah di Giant Setiawangsa membeli bahan-bahan sampingan seperti nanas, sos ikan, sos cili thai, dan cili benggala. Bahan-bahan inilah yang akan menambahkan perisa kepada resepi ini nanti.  



Resepi asal siakap tiga rasa ini Kak Noor ambil di sini (Aznanie blogspot). Terima kasih kepada empunya blog kerana sudi berkongsi resepi ini. Memang ternyata sedap sehingga menjilat jari. Ada beberapa bahan yang ditambah mengikut citarasa Kak Noor bagi penyediaan resepi siakap tiga rasa ini.  Resepi asal menggunakan seekor ikan, tetapi resepi ini menggunakan dua ekor (alang-alang nak masak, masak sampai habis.....)


Bahan-bahannya.
Untuk Ikan:
2 ekor ikan siakap
Tepung jagung untuk dilumur pada ikan
Serbuk Pasti Sedap Knoor
Minyak untuk menggoreng ikan

Untuk Kuah:
2 biji bawang besar - dipotong dadu
6 biji bawang putih - dititik
10 biji cili padi - dipotong kecil
1 inci halia - dihiris halus
1 biji tomato - dipotong dadu
1/2 biji cili benggala - dipotong dadu
Kiub nanas - Kak Noor beli yang siap ditinkan; kiub nanas dalam jus nanas jenama Ayam Brand (Snacky Nanas) - 280 gm
4 sudu besar sos tomato
4 sudu besar sos cili thai
2 sudu besar sos tiram
2 sudu besar sos ikan
2 batang serai - dititik
Beberapa helai daun limau purut
Daun sup/daun bawang untuk hiasan
Garam secukup rasa
Ajinomoto secukup rasa
Gula secukup rasa
Minyak untuk menumis

Cara membuatnya:
1.  Ikan dibersihkan dan ditoskan
2.  Lumurkan ikan dengan serbuk pasti sedap knoor. Pastikan semua bahagian dilumur rata. Kemudian, lumurkan pula dengan tepung jagung. Lumur kedua-dua belah bahagian ikan termasuk bahagian dalam.
3.  Panaskan minyak yang banyak di dalam kuali. Pastikan minyak betul-betul panas barulah dimasukkan ikan tadi. Goreng terendam ikan tersebut. Setelah ikan garing, angkat dan ketepikan
4.  Panaskan minyak dalam kuali yang lain. Tumiskan cili padi, halia, serai,  dan bawang putih.
5.  Setelah bawang agak layu, masukkan sos cili, sos tomato, sos tiram,  sos ikan, dan 3 sudu jus nanas di dalam tin. Kacau sebentar.
6.  Masukkan bawang besar, tomato, nenas, dan cili benggala.
7.  Masukkan air sedikit. Tambahkan garam, gula dan ajinomoto.
8.  Biarkan kuah mereneh seketika. Setelah kuah agak pekat, angkat dan curahkan di atas ikan yang telah digoreng tadi.  Taburkan daun sup/daun bawang. 


0 comments:

Post a Comment