Pages

Monday, October 31, 2011

Daging Masak Hitam (Nasi Kandar Pulau Pinang)

Hidangan untuk satu keluarga.

 Bahan-bahan :
1 kg. daging lembu segar (dipotong hiris mengikut urat daging, anggaran 16 keping)
2 biji bawang besar saiz sederhana dipotong hiris memanjang
5 sudu besar rempah kari daging
1 sudu kecil serbuk jintan putih
1 sudu kecil serbuk jintan manis
5 sudu besar cili kering yang telah dikisar halus atau mengikut citarasa kepedasan masing-masing
5 sudu besar kicap pekat mee atau 1/2 botol kicap manis
Gula secukup rasa
1 sudu kecil perasa ayam Tumix
Garam (sekiranya masakan tidak terasa garamnya)
Minyak masak untuk menumis (jangan terlalu banyak minyak, anggaran 2 senduk besar)


Bahan untuk kisar / tumis:
2 biji bawang besar dikisar
5 ulas bawang putih + 10 cm halia dikisar
2 batang serai diketuk
4 helai daun pandan (dipotong atau disimpul, ikut citarasa masing-masing)
2 tangkai daun kari
2 batang kayu manis (setiap batang lebih kurang 2 inci)
4 biji buah pelaga
4 kuntum bunga lawang
4 kuntum bunga cengih


CARA PENYEDIAAN:
Panasakan periuk/kuali dan masukkan minyak masak. Apabila minyak panak, masukkan kayu manis, buah pelaga, bunga cengkih, bunga lawang, daun pandan, daun kari, dan serai. Masa ini ramuan tumisan telah mula keluarkan bau harum (tak sabar nak makan)
Kemudian masukkan hirisan bawang, kacau sehingga warna hirisan bawang kekuningan.
Masukkan bawang kisar, halia dan bawang putih kisar, kacau sebati bahan-bahan ini sehingga keluarkan bau harum.
Masukkan cili kisar dan kacau rata. Selepas 3-4 minit, masukkan daging beserta 3 cawan air. Kacau rata.
Masukkan serbuk kari daging, jintan putih, jintan manis dan kicap, gula pasir satu sudu kecil perisa makanan Tumix. Kacau rata dan masak sehingga daging empuk. Sekiranya air kering dan daging masih tidak empuk, boleh ditambah air lagi dan masak lagi daging sehingga empuk. Rasa kemasinan kicap tersedia ada. Sekiranya kurang masin, tambahkan garam.
Masak sehingga kuah menjadi pekat. Setelah kuah pekat, padamkan api. Cadangan hidangan, boleh taburkan daun pudina dan bawang goreng di atas sajian ini dan sedia untuk dihidangkan. Sedap dimakan dengan nasi panas-panas.

Nota tambahan:
Dalam resepi ini, Kak Noor guna potongan daging dalam bentuk hirisan kecil kerana telah sedia ada dalam peti sejuk.

Cadangan sajian:
Daging masak itam ini amat sesuai dihidangkan dengan nasi tomato, nasi beriani, nasi hujan panas bersama dengan jelatah dan juga papadom.



0 comments:

Post a Comment