Antara menu hidangan yang disajikan untuk para tetamu sempena majlis ulang tahun hari lahir anak bongsu Kak Noor yang ke-8 tahun ialah Laksa Penang. Laksa Penang memang menjadi kegemaran keluarga Kak Noor. Puas hati masak sendiri daripada beli kat kedai kerana ia menepati citarasa sebenar Laksa Penang. Di sini Kak Noor nak kongsi menu Laksa Penang untuk lebih kurang 30 - 40 orang makan.
Bahan-bahannya:
3 kg ikan mata besar (boleh guna ikan kembong dan ikan sardin)
1 ekor ikan tongkol sederhana besar
(Direbus bersama beberapa keping asam gelugor)
4 bungkus laksa kering
7 - 10 keping asam gelugur
2 kuntum bunga kantan dibelah dua, batang diketuk
4 sudu besar pes udang
2 cekak daun kesum / cenohom
4 cm keratan lengkuas (diketuk)
6 batang serai (diketuk)
Garam, gula pasir dan serbuk perisa mengikut rasa.
Bahan-bahan untuk dibuat pes (dikisar halus):
Anggaran RM3.00 cili kering dibuang biji (boleh tambah ikut kepedasan). Perlu direbus.
3 ulas bawang putih.
4 biji bawang besar dipotong empat
Anggaran 6 cm belacan bakar.
Bahan hiasan:
Daun pudina
Isi nanas dihiris *empulur nenas dimasukkan dalam kuah
Cili merah dihiris
Cili padi dihiris
Timun dihiris
Daun salad dihiris
Bunga kantan dihiris
Bawang besar dihiris
Telur rebus (sebiji dipotong dua atau dipotong empat)
Limau nipis atau limau kasturi dipotong sipi
Penyediaan kuah:
1. Masukkan air, ikan mata besar, ikan tongkol dan beberapa keping asam gelugor dalam periuk dan rebus hingga masak. Toskan dan sejukkan sebentar. Air rebusan disimpan untuk membuat kuah.
2. Asingkan isi ikan dengan tulang. 3/4 daripada isi ikan diblender dengan air rebusan sehingga halus, dan 1/4 lagi diramas kasar supaya isi ikan akan terasa bila dimakan. Tulang ikan pula diblender dengan air sehingga halus , kemudian ditapis untuk mendapatkan airnya.
3. Masukkan dalam periuk kesemua bahan-bahan di bawah:
- air rebusan ikan
- air tulang ikan
- isi ikan
- pes kisaran
- bunga kantan, daun kesum, serai, lengkuas, kepingan asam gelugor, *empulur nenas
- pes udang, garam, gula dan perisa makanan
- Tambahkan sedikit air sekiranya kuah agak pekat
5. Hias hidangan laksa anda atau biarkan dihidangkan di bekas hidangan untuk tetamu memilihnya.
Tips Penting:
1. Ikan yang telah disiang hendaklah diperap sekejap; lebih kurang 10 minit bersama garam dan limau kasturi bagi menghilangkan hanyir ikan. Kemudian dicuci bersih.
2. Laksa kering hendaklah direndam semalamam supaya betul-betul lembut sebelum direbus. Rebus dalam air mendidih bergaram. Tentukan laksa anda masak sempurna dengan mencuba memicitnya. Selepas lembut, toskan dan basuh dengan air biasa. Toskan kembali dan simpan dalam bekas penapis untuk laksa anda sentiasa kering dan liat. Laksa yang direbus dibasuh dengan air biasa akan menghalangnya daripada melekat dan menghilangkan bau yang tidak menyenangkan sekiranya laksa itu stok yang lama.
0 comments:
Post a Comment