Pages

Monday, April 30, 2012

PUDING MARBLE



Kebiasaannya bila setiap kali selepas makan nasi, kita mesti inginkan sesuatu yang manis sebagai pencuci mulut seperti buah-buahan, agar-agar, dan puding. Dan pencuci mulut yang paling mudah untuk disediakan ialah agar-agar atau puding. Cepat dimasak, dan sedia dimakan.  Pencuci mulut seperti agar-agar dan puding hendaklah disimpan di dalam peti ais supaya `kenyamananan'nya dapat dirasai ketika disuapkan ke dalam mulut.


Hasrat untuk menyediakan puding ini timbul apabila Kak Noor `tersinggah' di blog Sajian Kaseh semasa blog walking.  Berdasarkan resepi di blog ini, Kak Noor mengolah resepi puding ini mengikut citarasa Kak Noor dan kesesuaiannya.


Bahan-bahannya:
20 gm agar-agar stripe
6 cawan air
2 cawan gula pasir
2 biji telur
2 sudu besar tepung kastard
1 tin susu cair
1 sudu kecil esen vanilla
120 gm margerin
*Pewarna kuning/merah/coklat
 (* Bagi warna kuning Kak Noor gunakan pewarna yellow egg,  merah - sirap ros, dan coklat - sirap coklat)

Penyediaannya:
1.  Masak agar-agar dengan air sehingga  hancur di dalam periuk.   Kemudian masukkan gula dan masak sehingga gula larut.  Kemudian tapiskan ke periuk lain.
2.  Satukan susu cair, telur, dan tepung kastard di dalam blender.  Blend sehingga bahan-bahan tadi betul-betul larut dan sebati halus.
3.  Masukkan bahan-bahan yang telah diblend (No. 2) tadi ke dalam periuk agar-agar dan kacau rata dan sebati.
4.  Letakkan semula di atas dapur.  Gunakan api yang sederhana.  Masak sehingga mendidih.  Semasa adunan berada di atas dapur, ia hendaklah dikacau dan jangan ditinggalkan, ditakuti adunan akan berketul.
5.  Setelah adunan mendidih, masukkan esen vanilla dan margerin.  Kacau lagi sehingga adunan agak pekat.  Kemudian tutup api.
6.  Bahagikan adunan kepada 3 bahagian; warna kuning, merah, dan coklat.
7.  Sediakan loyang.  Tuangkan adunan berselang-seli di dalam loyang untuk mendapatkan corak.


Sunday, April 29, 2012

CUCUR BAWANG UDANG GERAGAU





Menu yang wajib untuk setiap keluarga, tak kira masa dan tempat.  Lebih sesuai dihidangkan untuk minuman petang ketika bersantai bersama keluarga di hujung-hujung minggu dan waktu bercuti. Bila dah ramai-ramai begini, cucur habis satu mangkuk pun tak pernah sedar.  Mata asyik menonton program di TV, tangan mencapai cucur di dalam pinggan, ngap masuk ke mulut satu persatu.  Ada pula teh o panas.  Alahai sedapnya.... 1 kg. tepung gandum kalau buat cucur pun habis ni...




Ingat lagi Kak Noor semasa zaman kanak-kanak, apabila bonda atau nenda  membuat cucur, tak sempat  habis digoreng kesemuanya , satu pinggan telah clear.  Orang tua-tua kata, `tak menang tangan'.  So... nasihat Kak Noor kalau goreng cucur tu, gorenglah kesemuanya sampai habis baharu dihidangkan.  Kalau tidak orang yang kat dapur tu tak dapat makan le...  Apa tidaknya,  kita penat menggoreng kat dapur, orang kat tengah rumah tu dah mula `ngap'.   Nak tinggalkan cucur tu di dalam kuali, takut pula rentung.  So...duduklah  kat dapur menggoreng sampai habis. Lastly makanlah kita sorang-sorang sebab orang-orang tadi dah kenyang.

Bahan-bahan yang digunakan adalah ringkas dan senang diperolehi.  Kak Noor rasa sesiapa sahaja boleh menyediakannya hidangan ini.


Bahan-bahannya:
1/2 kilo tepung gandum
150 gm udang geragau - boleh tambah lagi kalau suka
2 labu bawang besar - dicincang kasar
2 biji cili hijau - dihiris nipis
2 sudu besar susu tepung
1 biji telur
1 sudu kecil serbuk soda bikarbonat
1 sudu kecil serbuk kunyit
1 kiub ikan bilis Maggi
Daun sup/daun bawang
Garam dan gula
Air suam secukupnya untuk membancuh adunan
Minyak untuk menggoreng

Penyediaannya:
1.  Rendam udang geragau selama lebih kurang 10 minit.  Kemudian basuh sehingga bersih.  Kebiasaannya bila kita rendam udang geragau, pasir akan mendap ke bawah.  Basuhlah berulang-ulang kali sehingga tiada pasir dan toskan.
2.  Di dalam bekas, satukan tepung gandum, udang geragau, cincangan bawang besar, cili hijau, susu tepung, telur, soda bikarbonat, serbuk kunyit, kiub ikan bilis Maggi, daun sup/daun bawng,  garam, dan gula.  Gaul-gaulkannya.
3.  Kemudian masukkan air suam sedikit demi sedikit dan gaul adunan tadi sehingga sebati dan boleh dijemput.
4.  Biarkan 1/2 jam sehingga adunan naik sedikit.
5.  Sebelum digoreng, pastikan adunan digaul rata sekali lagi.
6.  Panaskan minyak di dalam kuali.  Jemput adunan tadi dan goreng sehingga kekuningan.  Memandangkan adunan ini dimasukkan soda bikarbonat, maka tesktur cucur adalah lembut.
7.  Sedap dicicah dengan sos cili thai; manis-manis pedas.

Saturday, April 28, 2012

AYAM MASAK MADU MAMAK

Hai... lega rasanya bila cuti.  Tak payahlah bergegas pagi-pagi lagi untuk menyiapkan semuanya.  Anak-anak pun x sekolah. Bolehlah ambil sweet time untuk membereskan kerja-kerja rumah dan yang paling utama ialah menyediakan hidangan istimewa untuk keluarga.  



Kebiasaannya bila cuti hujung minggu, Kak Noor dan hubby akan ke pasar basah NSK untuk membeli lauk-pauk dan sayur-sayur untuk stok seminggu.  Maklumlah dua-dua kerja, bila lagi nak ke pasar. Setakat barangan kering, bolehlah singgah di pasar raya semasa perjalanan pulang dari kerja untuk membelinya.  Tetapi... hari ini x dapat pergi sebab hubby kerja; bertugas 24 jam disebabkan Perhimpunan Bersih.  So... semalam dia dah beli ayam siap-siap.  Semata-mata ayam ok!  Yang lain-lain tu, fikir-fikirlah sendiri, guna kreativiti sendiri. 



Pening juga kepala Kak Noor memikirkan nak masak apa dengan ayam ni. Dah jemu dengan masakan kari, sambal, dan gulai.   So...apa kata kita beralih pula kepada ayam masak madu, stail mamak Penang. Bukan Kak Noor tak pernah hidangkan masakan ayam masa madu kepada keluarga, pernah.... tetapi bagi resepi kali ini bahan-bahan yang digunakan adalah agak berlainan.  Inilah yang membuat Kak Noor teruja untuk mencuba resepi ini untuk santapan keluarga.  


Resepi Ayam Masak Madu Mamak Penang yang hendak Kak Noor kongsikan kali ini istimewa sedikit sebab selain menggunakan madu ia juga menggunakan kurma untuk memaniskan kuahnya.   Masakan ini ialah citarasa mamak Penang.  Ambil resepi inipun kat blog Mamak Haji; yang begitu popular dengan masakan mamak Penang. 


First time masak hidangan ini, memang sedap dan menepati citarasa keluarga yang memang sukakan masakan Penang (orang Penanglah katakan.... lidah memang tak pernah tipu). Memang patut diberi pujian kepada Mamak Haji yang sudi berkongsi resepi yang tidak ternilai harganya.  Rasanya macam kita makan kat restoran yang menjual nasi kandar.  Terasa pedas dan manisnya.  


Kak Noor hanya masak nasi putih sahaja untuk dimakan dengan ayam masak madu ini.  Letak daun pandan supaya nasi berbau wangi.  Lepas tu goreng papadom.  Kak Noor  rasa kalau kita hidangankan dengan nasi tomato ataupun nasi beriani pun sedap.  Hidangkan juga dengan acar sayur atau acar buah.  Hmm... tak tahulah nak cakap.  Kalau dah rasa sendiri rasa, baru tahu...


Resepi ini Kak Noor salin daripada blog Mamak Haji.  Semua bahan yang disarankan oleh mamak haji Kak Noor ikut.  Sedikitpun x tinggalkan. Bukan apa, Kak Noor nak dapatkan citarasa sebenar resepi ini.  



Bahan-Bahan:
1 Ekor ayam 1.6kg – 1.8kg di potong 10. Bersihkan dan sedia untuk goreng.
250 gm buah kurma (buang bijinya dan kisar dengan sedikit air).
100gm buah kismis
50gm buah jagus
2 sudu besar gula pasir
1 sudu besar serbuk cili
1 susu besar jintan putih
1 sudu besar jintan manis
1/2 sudu kecil serbuk kayu manis. (Tumbukan kayu manis dan kisar kering) - Kak Noor gunakan serbuk kayu manis yang siap dalam paket (boleh dibeli di pasar raya Carrefour)
Buah pelaga 5-7 biji, Cengkih 5, Bunga lawang 5.
Daun pandan satu helai (potong dalam 2-3 inchi)
Kisaran halia (2in.) + Bawang besar 2 biji + bawang putih 5-7 ulas)
Bawang goreng dan daun pudina untuk taburkan diatas hidangan.
Hirisan bawang besar -  1 biji (besar).
Minyak masak dan garam untuk secukup rasa.

Penyediaannya:

1. Bersihkan ketulan ayam, masukan kunyit dan garam (sedikit) dan goreng. Gorengan tidak perlu garing atau terlalu lama cukup kadar masak 3/4 sahaja. Asingkan..

2. Panaskan kuali dam masukkan minyak tiga sudu besar. Gorengkan biji jagus dan kismis dalam api yang sederhana. Jangan hanguskan gorengan ini. Asingkan gorengan ini.

3. Tambahkan satu sudu besar minyak dan masukkan buah pelaga, cengkih dan bunga lawang. Apabila telah keluarkan bau yang harum, masukkan hirisan bawang dan daun pandan. Apabila hirisan bawang mengeluarkan bau yang harum,  masukkan pula bahan kisaran bawang+halia + bawang putih.

4. Apabila gorengan ini mengeluarkan haruman, masukan serbuk cili, serbuk jintan putih dan jintan manis, dan serbuk kayu manis. Kacau rata campuran ini.  Apabila campuran ini keluarkan sekali lagi bau yang harum, masukan kisaran buah kurma dan gula pasir. Biarkan campuran ini masak seketika dan perlu tentukan likatan (kepekatan)  yang diperlukan. Sekiranya terlalu likat (pekat),  bolehlah campurkan sedikit air. Kuah ini perlu mendidih sekiranya air dimasukan. Masukan garam yang sederhana.

5. Masukkan ayam yang telah sedia digoreng.  Kacau serata supaya kuah berempah ini dapat serap ke dalam isi ayam. Kecilkan api dapur dan masukan buah ganjus dan kismis yang telah goreng. Kacau serata.

6. Keluarkan daripada kuali dan hidangkan.Curahkan sedikit madu ke atas hidangan ayam.Taburkan bawang goreng (tersedia) dan daun pudina di atas hidangan tersebut (boleh juga di hiaskan dgn cili merah).

Thursday, April 26, 2012

SWEET SOUR UBI KENTANG DAN SOSEJ KEJU

Nak masak apa hari ini ye!  Dah x ada idea....Ikan? daging? ayam? udang? sotong? hmm.... anak-anak dah jemu sangat.  Teringat ada  sosej keju dalam peti ais dan ubi kentang.  Clearance stock ni, sebab dah cukup bulan.  Wajib beli barang baharu hujung minggu ni.



Dengan bahan-bahan yang ada,  Kak Noor gabungkan ubi kentang dan sosej keju untuk menjadi satu masakan `faveret' anak-anak.  Boleh diratah begitu sahaja dan boleh juga dimakan dengan nasi.  Masakan pun ada 2 in 1 tau!  Apa pun kita masak apa yang menjadi kegemaran  anak-anak. Kalau anak x suka, siapa nak makan.... membazir aje... last sekali masuk tong sampah.  Kesian makanan tu.... berdosa kata anak Kak Noor yang bongsu tu.  Ustazah kata Tuhan marah bila kita membazir bu!


Membebel pula Kak Noor kat sini ye!  Ok jom kita ceghite pasal resepi pulak  Sebenarnya resepi amat mudah sangat dan sesiapa pun boleh membuatnya berpandukan resepi seperti di bawah.

Selamat mencuba...

Bahan-bahan Untuk Digoreng:
·      6 biji ubi kentang – ubi kentang dikupas kulitnya dan dipotong wedges.  Gaulkan dengan serbuk kunyit, serbuka lada hitam, dan sedikit garam. Ketepikan seketika.
·      1 paket (300 gm) sosej keju Ayamas - Sosej dipotong kecil (anggaran 3 bahagian)

Bahan-bahan Lain:
1 labu bawang besar - dihiris
3 ulas bawang putih – dihiris
2 senduk nasi cili kering kisar
2 sudu besar sos tiram
2 sudu besar sos cili thai manis
2 sudu besar kicap manis
Gula perang/gula putih/garam/serbuk perasa (jika suka)
Minyak secukupnya untuk menggoreng dan menumis
Bawang goreng
  
Cara-caranya:
1.  Panaskan minyak di dalam kuali. Goreng ubi kentang dan sosej sehingga masak.   Ketepikan.
2.  Tinggalkan sedikit minyak did alam kuali.  Tumis bawang besar dan bawang putih sehingga naik bau dengan sedikit kekuningan.
3.  Kemudian masukkan cili kering kisar dan masak sehingga cili garing dan terbit bau.
4.  Masukkan sedikit air dan kacau rata.  Masukkan pula sos tiram, sos cili thai, kicap manis, gula perang, gula putih, garam, dan serbuk perasa.  Kacau rata dan masak sehingga kuah mendidih.
5.  Akhir sekali masukkan ubi kentang dan sosej yang telah digoreng tadi.  Kaup balikkan sehingga
6.  Semasa menghidang, bolehlah ditaburkan bawang goreng.

BIHUN GORENG KAROT

Bihun lagi.... tak jemu-jemu makan bihun ye!.  Memang tak pernah jemu pun.... tapi mestilah ada idea dan cara untuk mempelbagaikan rasanya supaya tidak mempunyai rasa yang sama setiap kali. Semalam sebelum tidur, sempat berpesan kepada anak bujang supaya rendam bihun sebungkus, sebab esok ibu nak goreng bihun untuk sarapan.

Nampak simple, tetapi ternyata sedap.  First time bikin....

So...seperti yang telah dirancangkan, pagi tadi sempatlah Kak Noor goreng bihun untuk sarapan anak-anak di rumah, dan untuk bekalan anak ke sekolah serta untuk bekalan ibunya sekali ke pejabat. Jimatlah sikit belanja hari ini untuk sarapan pagi  kat pejabat.  Biasalah kat KL Sentral tu...paling minimum minum pagi pun mesti lebih daripada RM5.00. Bihun goreng dengan telur mata kerbau pun harganya RM4.00.  Itu tak termasuk minuman lagi...  Itu bihun goreng..,  harga sebungkus nasi lemak biasa pula mencecah RM2.00 sebungkus.  Tapi yang hairannya tak pernah tak habis nasi lemak tu...  Walaupun mahal orang-orang kat KL Sentral ini sanggup membelinya.  Kalau kita tidak beli, orang lain beli.  So... tak rugilah pengusaha-pengusaha makanan membuka kedai menjual makanan di KL Sentral ini.  Tempat tumpuanlah kata kan....  Tapi bagi Kak Noor dan orang-orang yang telah lama bekerja di KL Sentral ini, harga yang mahal tu tidak mendatangkan kejutan lagi...   

Seri karot ........

Kali ini masakan bihun goreng yang hendak Kak Noor ketengahkan  ada kelainan sedikit.  Namanya pun Bihun Goreng Karot.  Mesti ada yang tertanya-tanya kenapa  karot pula! Macam mana rupa, rasa, dan cara untuk memasaknya?

Sebenarnya untuk bihun goreng ini Kak Noor menggunakan karot dalam dua cara.  Pertama karot dikisar bersekali dengan cili kering dan juga bawang besar untuk dijadikan sebagai pes. Kedua dijadikan sebagai sayuran menggantikan taugeh ataupun sawi.

Ternyata apabila telah masak, rasanya memang sedap; terasa manis karot di dalam bihun.  Apa lagi... jom cuba resepi ini....

jemput.jemput.....semua menikmati hidangan ini...

Bahan-bahannya:
1 bungkus bihun – direndam semalaman
Beberapa ekor udang saiz sederhana – (dibuang kepala dan ekor sahaja), nak letak sotong pun boleh.
1 labu bawang besar saiz kecil - dihiris
3 ulas bawang putih – dihiris
1 biji karot – dikupas kulit dan dipotong memanjang
1 sudu besar sos tomato
1 sudu besar sos tiram
1 sudu besar sos cili thai manis
2 sudu besar kicap manis
Beberapa helai daun bawang – dipotong anggaran 1 inci
1 biji cili hijau – dihiris serong
Gula/garam/serbuk perasa (jika suka)
Minyak secukupnya untuk menumis
Bawang goreng dan cili hijau jeruk - untuk hiasan (tak letak cili jeruk sebab tiada stok)

Bahan-bahan dikisar:
1 senduk nasi cili kering kisar – nak pedas boleh tambah lagi
½ biji karot – dipotong kasar
1 labu bawang besar saiz kecil
Air secukupnya untuk mengisar

Cara-caranya:
 1.  Toskan bihun dan ketepikan.
2.  Panaskan minyak di dalam kuali.  Tumis bawang besar dan bawang putih sehingga naik bau dan sedikit kekuningan.
3.  Masukkan bahan-bahan yang telah dikisar dan masak sehingga cili garing dan pecah minyak.
4.  Masukkan 1 cawan air dan kacau rata.  Masukkan sos tomato, sos tiram, sos cili thai, dan kicap manis, garam, gula, dan serbuk perasa. Kacau dan biarkan kuah mendidih.
5.  Bila kuah telah mendidih, masukkan udang dan biarkan di atas dapur sehingga udang masak.  Selepas itu, masukkan potongan karot dan masak sehingga karot lembut. (Sekiranya air kering, tambahkan air lagi.  Jangan masukkan air setelah kita masukkan bihun).
6.  Selepas itu bolehlah dimasukkan bihun dan kaup balikkan sehingga sebati.  Bila bihun telah masak, masukkan cili hijau dan daun bawang.  Kacau rata dan 3 minit kemudian kemudian bolehlah ditutup api.
7.  Sedia  dihidangkan dengan bawang goreng dan cili hijau jeruk.   

Sunday, April 22, 2012

KUIH SAGU



Petang-petang hujung minggu begini alangkah baiknya kalau ada juadah kuih manis untuk minuman petang bersama keluarga.  Teringat biji sagu yang agak lama `terperap' di dalam peti ais lebih daripada  sebulan.  Dari sehari ke sehari nak buat kuih sagu, tetapi tak jadi-jadi walaupun kuih ini tersangat mudah untuk membuatnya.



Teruja bila singgah di N.A. Kitchen tengok gambar kuih sagu ini.  Tanpa berlengah-lenggah lagi Kak Noor bangun dan terus menyediakannya.  Sukatan yang digunakan oleh N.A. Kitchen bagi penyediaan kuih sagu ini memang elok.  Kejadian teksturnya lembut dan senang dipotong, dan rasanya sama macam kuih sagu yang pernah Kak Noor makan semasa zaman kanak-kanak. 

Mari kita tengok bahan-bahannya.  

Bahan-bahannya:
2 cawan sagu - Kak Noor guna biji sagu warna merah yang dibeli di pasar raya
1 cawan gula
3 cawan air
Pewarna merah - Kak Noor guna pewarna sirap ros
Daun pandan - disimpul
Kelapa parut (gaul dengan sedikit garam)

Cara-cara:
1. Rendam sagu selama 10 minit dan toskan.
2. Masukkan air, gula, pewarna, dan daun pandan di dalam periuk,  Masak sehingga air mendidih.
3. Masukkan sagu dan kacau sehingga kembang
4. Apabila sagu telah kembang , angkat dan masukkan kedalam acuan
5. Apabila sejuk bolehlah dipotong dan balik-balikkan di atas kelapa parut tadi.
6. Sedia untuk dihidangkan

Saturday, April 21, 2012

KEK BATIK EKSPRES

Resepi ini diberikan percuma oleh Chef Mohd Hairul Hissam sempena pelancaran produk Rahsia Taufufah. Untuk mendapatkan resepi Ebook Kek Batik Ekspres secara percuma, sila layari laman web  www.rahsiataufufah.com  Di laman tersebut anda akan menemui ruangan Percuma E-book Kek Batik Ekspres. Apa yang perlu anda lakukan ialah nyatakan nama panggilan dan alamat emel anda dan hantar.  Dalam beberapa minit sahaja, anda akan menerima resepi percuma kek batik ekspres di kotak emel anda.


Walaupun sebelum ini telah ada N3  mengenai resepi kek batik ini, tetapi bila tengok resepi Chef Mohd Hairul Hissam memang teruja sangat untuk cuba membuatnya.  Ternyata setelah membuatnya, kek batik ini sememangnya enak.  Semasa mengacau adunan di atas dapur tadi, baunya wangi telah menarik perhatian anak Kak Noor yang sedang menonton TV di ruang tamu.  Tak sabar menunggu kek batik ini keras, awal-awal lagi sebelum dimasukkan ke dalam tupperware, sempat diambilnya sedikit untuk dimakan.



Bahan-bahannya:
50 gm milo
50 gm nestum
50 gm koko
100 gm mentega
100 gm gula pasir
2 biji telur
210 gm susu segar
210 gm biskut marie - Kak Noor guna biskut marie coklat
1 sudu besar esen vanilla
(Boleh juga ditambah perisa oren)
Hiasan - chocolate rice/colour ball - Kak Noor ganti dengan chocolate chips



Langkah-langkah Membuat Kek Batik Ekspres:
1.  Timbang dan sediakan bahan-bahan yang diperlukan.
2.  Timbang biskut Marie yang diperlukan dan patahkan kepada empat atau saiz yang lebih kecil.
3.  Letakkan periuk di atas dapur dan hidupkan api dengan api yang sederhana. Masukkan ke dalam kuali 210 gm susu segar,  100 gm gula pasir, 50gm milo, 50 gm nestum, 50 gm koko, dan 1 sudu besar esen vanilla.  Kacau sehingga sebati dan sehingga gula cair.
4.  Masukkan 100 gm mentega dan kacau sehingga mentega cair.
5.  Masukkan 2 biji telur dan kacau sehingga sebati.  Apabila hampir pekat, matikan api.  Jangan terlalu pekat, nanti susah pula hendak dikacau dengan biskut marie.
5.  Ambil sedikit coklat dan masukkan ke dalam bekas kecil. Tujuan untuk topping pada kek batik nanti.
6.  Masukkan 210 gm biskut marie dan kacau sehingga sebati.  Kacau dan gaul perlahan-lahan dan jangan pecahkan biskutnya.
7.  Setelah siap gaul, masukkan ke dalam acuan atau tupperware kecil. Kemudian tekan menggunakan sudu sehingga ia mampat.
8.  Tuangkan coklat yang kita simpan sedikit tadi ke atas kek batik dan ratakan. Kemudian tabur coklat rice atau colour ball di atas kek batik.
9.  Simpan di dalam peti ais dalam 4 - 5 jam.  Kemudian barulah boleh dihidang dan potong menggunakan pisau. Berhati-hati ketika mengeluarkan kek batik daripada acuan.

AYAM MASAK LEMAK KUNING



Hari ini Kak Noor masak yang agak ringkas dan yang paling mudah.  Tak sampai 1/2 jam dah boleh disajikan. Masakan yang Kak Noor maksudkan ialah Ayam Masak Lemak Kuning dan dicampur dengan ubi kentang. Santannya pula Kak Noor gula santan kelapa sawit jenama `KHALIS' yang boleh didapati di pasar raya Giant atau Mydin.  Santan kelapa sawit `KHALIS' ini memang pekat dan memang cantik kuahnya bila dibuat masak lemak kuning.  Kebiasaannya  bila kita masak lemak kuning, kita tidak boleh tinggalkannya tanpa dikacau setelah dimasukkan santan, ditakuti pecah minyak.   Tetapi bila kita menggunakan santan kelapa sawit ini, kita tidak perlu risau kuah akan pecah minyak.  Selain kelemakannya yang tersendiri, ia juga mempunyai kepekatan yang lebih daripada kelapa biasa. Dengan menggunakan 1 1/2 cawan pati santan kelapa sawit dan dicampur dengan 2 cawan air, kepekatannya masih terasa.




Bahan-bahannya:
1 ekor ayam - dipotong ikut suka
Beberapa biji ubi kentang dikupas kulitnya dan dibelah 2 atau empat (bergantung kepada saiznya)
2 batang serai dititik
1 helai daun kunyit disimpulkan
1 1/2 cawan santan pekat kelapa sawit  (dicampur dengan 2 cawan air)
Air secukupnya
Garam dan serbuk perasa jika suka

Bahan-bahan dikisar:
1 labu bawang besar
5 biji cili padi
Beberapa ruas kunyit hidup
Air secukupnya

Cara-caranya:
1.  Satukan isi ayam bersama-sama dengan bahan-bahan yang dikisar dan serai di dalam periuk. Masukkan air supaya isi ayam tenggelam di dalam air.  Masak di atas dapur sehingga ayam 3/4 empuk.
2.  Masukkan ubi kentang.  Tambahkan air sedikit, sekiranya air telah kering. Masak sehingga ubi kentang 1/2 empuk.
3.  Kemudian masukkan santan kelapa sawit, garam dan serbuk perasa.  Kacau rata.  Masak sehingga kuah mendidih dan ayam serta ubi kentang betul-betul masak.
3.  Tutup api dan bolehlah dihidangkan.

Cadangan Sajian Hidangan:
Bagi melengkapkan hidangan ringkas ini, bolehlah digoreng ikan kering masam atau masin, sambal belacan, dan ulam-ulaman.

Friday, April 20, 2012

Sambal Tumis Sotong Kering



Sotong kering ni dah agak lama juga dalam peti sejuk. Sebenarnya Kak Noor beli sotong kering semasa Hari Raya Haji hari tu. Ingat nak buat mee rebus Utara, tetapi tak jadi. So hari ini Kak Noor masak sambal tumis sotong kering aje. Nak makan dengan nasi kuning.



Bahan-bahannya:
7 keping sotong kering saiz besar (direndam dengan ubat semalaman)
1 biji tomato dipotong kiub
Air asam jawa
4 sudu besar gula perang
2 sudu besar gula putih
½ sudu teh serbuk perasa
Garam secukupnya

Bahan-bahan B (dikisar):
5 senduk cili kering kisar (Kak Noor guna senduk nasi untuk menyukat)
1 biji bawang besar
3 biji bawang putih dicincang
Sedikit belacan – kalau suka

Penyediaannya:
1. Sotong kering direndam dengan `ubat’ semalaman. Kemudian dibersihkan dan direndam dengan air bersih dan ketepikan selama 30 minit. Selepas itu dibasuh sekali lagi dan dipotong kecil.
2. Panaskan minyak dalam periuk. Masukkan bahan-bahan B yang telah dikisar dan masak sehingga naik bau dan terbit minyak.
3. Selepas terbit minyak, masukkan tomato, air asam jawa, gula perang, gula putih, serbuk perasa, dan garam. Kacau rata dan biarkan ia mendidih.
4. Masukkan sotong dan masak sehingga kuah pekat.
5. Tutup api dan sedia dihidangkan.

Nota: Kebiasaannya bila kita beli sotong kering, kita akan diberikan ubatnya sekali. Ubatnya bewarna putih seperti dalam gambar. Lebih elok rendam semalamam supaya bau sotong kering betul-betul hilang.

Ubat yang direndam bersama sotong kering

Thursday, April 19, 2012

MEE GORENG DAGING



Kak Noor namakan mi goreng ini mi goreng daging sebab Kak Noor letak banyak isi daging sebagai perencahnya. Kebiasaannya bila masa mi goreng, Kak Noor suka letak taugeh banyak-banyak.  Tetapi  kali ini tiada sayuran yang diletakkan.  Bagi orang-orang yang tidak makan sayur, seperti adik bongsu Kak Noor, sudah tentu akan menggemari resepi ini.  




Bila masak mi goreng tanpa sayur ini, pertama sekali teringat kat adik lelaki bongsu yang tinggal di Alma Bukit Mertajam.  Selalunya bila bonda menggoreng mi,  bonda akan menggoreng dua kali.  Satu yang ada sayur untuk keluarga dan satu lagi tidak ada sayur special untuk adik Kak Noor.  Kalau ada sayur, dia akan pilih sayur dan buang ketepi.  Sehingga sekarang walaupun dah jadi bapa orang, masih macam tu juga.




Bahan-bahannya:
1 bungkus mi basah
200 gm is daging dihiris halus
1 labu bawang besar dicincang kasar
3 ulas bawang putih dicincang kasar
1 biji tomato dicincang kasar
1 senduk nasi cili kering kisar
2 sudu besar sos tiram
1 sudu kecil garam (garam tidak letak banyak disebabkan mee sememangnya telah masin)
Garam dan serbuk perasa (sekiranya suka)
Minyak untuk menumis

Untuk hiasan:
1 biji cili merah dihiris
Potongan timun
Daun salad

Cara-carannya:
1.  Panaskan minyak di dalam kuali.  Tumis bawang besar dan bawang putih sehingga kekuningan dan naik bau.
2.  Kemudian masukkan cili kering kisar dan masak cili sehingga garing dan terbit minyak.
3.  Masukkan 1 cawan air dan kacau rata.  Kemudian masukkan  cincangan buah tomato dan sos tiram,  gula dan serbuk perasa, dan garam.  Biarkan kuah mendidih di atas dapur agar semuanya sebati.
4.  Selepas itu masukkan daging.  Sekiranya air kering, boleh tambahkan air dan masak sehingga daging empuk.
5.  Sekiranya inginkan mee goreng basah, pastikan kuah tidak kering. Sekiranya kering boleh tambah air lagi.
6.  Akhir sekali masukkan mee dan kaupbalikkan sehingga semua bahan sebati dan mee masak.
7.  Tutup api dan semasa menghidang, bolehlah dihiaskan dengan daun salad, timun, dan cili merah.
8.  Kalau mee basah, sedap dimakan semasa panas lagi.  Jangan tunggu sampai kembang.

Wednesday, April 18, 2012

SAMBAL TUMIS UDANG THAI




Bahan-bahannya:
15 - 20 ekor udang saiz sederhana - dibuang kepala dan ekor
1 labu bawang besar - dihiris bulat
1 batang serai dititik
2 sudu gula perang
2 sudu besar sos cili thai (Thai brand)
1 sudu besar pati asam jawa dibancuh dengan sedikit air
4 sudu besar susu segar
Garam dan gula putih secukup rasa
Minyak secukupnya untuk menumis




Bahan-bahan dikisar:
3 senduk nasi cili kering kisar
1 labu bawang besar
4 ulas bawang putih
2 - 3 helai daun limau purut
1 inci belacan


Penyediaannya:
1.  Panaskan minyak secukupnya di dalam periuk.  Masukkan bahan-bahan yang dikisar dan kacau rata.  Tudung periuk dan masak sehingga cili garing dan terbit minyak (pecah minyak).
2.  Buka tudung periuk dan kacau.  Masukkan air asam jawa, sos cili thai, gula perang, gula putih, garam dan serai. Kacau rata dan biarkan kuah mereneh seketika di atas dapur.
3.  Kemudian masukkan udang, diikuti dengan 4 sudu besar susu segar.   Biarkan di atas api sehingga udang masak.
4.  Akhir sekali masukkan bawang besar yang dipotong bulat tadi.  Kacau dan bolehlah ditutup api.
5.  Bolehlah dihiaskan dengan daun bawang dan daun limau purut semasa menghidang.

SUP TUMIS BAYAM DAN IKAN BILIS GORENG CAMPUR LOBAK MASIN

Memasaknya ini sebenarnya ikut mood.  Kalau mood kita elok dan kita sihat, sudah tentu kita ingin menyediakan sesuatu masakan yang istimewa untuk keluarga, ataupun mencuba sesuatu resepi yang baharu. Tetapi kalau kesihatan kita tidak mengizinkan, tetapi kita ingin juga menyediakan hidangan untuk keluarga dengan air tangan kita sendiri, sudah tentu kita akan memasak sesuatu yang mudah dan cepat, dan mengelak daripada duduk di dapur lama-lama. 




So hari ini memandangkan Kak Noor tak berapa sihat, maka Kak Noor hanya dapat menyediakan sup tumis bayam dan ikan bilis goreng campur lobak masin sahaja.  Walaupun masakan ini nampak ringkas, tetapi sekali sekala ia sebagai sebagai pembuka selera. 

Bila masak kedua-dua lauk ini, teringat Kak Noor semasa zaman kanak-kanak di kampung.  Kalau orang yang pernah dibesarkan di kampung, masakan ini telah menjadi lumrah bagi mereka.  Kalau bukan ikan bilis, ikan goreng gelama masam menjadi hidangan.  Ditambah pula dengan sambal belacan dan ulam-ulaman. Dimakan pula dengan nasi panas-panas.  Duduk bersila (bagi lelaki), dan duduk bersimpuh (bagi perempuan) di atas pangkin, dihidangkan dengan lauk-pauk ini dan dimakan bersama keluarga.  Berselera makan sehingga nasi satu periuk habis pun dah tak sedar.   


SUP TUMIS BAYAM



Bahan-bahannya:
*1 ikat sayur bayam
1 biji bawang kecil dihiris nipis
2 ulas bawang putih
1 biji cili merah
Sedikit ikan bilis sebagai perencah
Garam dan serbuk perasa (jika suka)
Serbuk lada hitam
Air secukupnya untuk sup
1 sudu besar minyak

* Bayam dipotong, diambil daunnya dan batang muda sahaja.  Rendam di dalam air yang dicampur dengan sedikit garam selama 15 minit.  Kemudian dibersihkan sehingga pasir dan kekotoran yang lain hilang.

Cara-cara memasak:
1.  Panaskan minyak di dalam kuali.  Tumis bawang kecil, bawang putih, dan cili merah.  Kacau seketika kemudian masukkan ikan bilis.  Tumis sehingga ikan bilis sedikit garing.
2.  Masukkan air secukupnya untuk sup.  Perasakan dengan garam, serbuk perasa, dan serbuk lada hitam.  Masak sehingga kuah mendidih.
3.  Akhir sekali masukkan bayam.  Kacau rata dan kaup balikkan sehingga bayam terendam di dalam sup.  Biarkan sup mendidih, kemudian bolehlah ditutup api.  Mudahkan!


IKAN BILIS GORENG CAMPUR LOBAK MASIN

Bahan-bahannya:
100 gram ikan bilis (cari ikan bilis yang bila digoreng, testurnya garing; RM6.00 per 100 gram)
Sedikit lobak masin - dipotong dadu
1 biji telur ayam
1 labu bawang besar - dipotong bulat
2 biji cili hijau - dihiris nipis
Sedikit gula
Minyak secukupnya untuk menggoreng

Cara-cara memasak:
1.  Panaskan minyak. Goreng ikan bilis sehingga garing.  Ketepikan.
2.  Gunakan minyak yang sama dan goreng lobak masin sehingga masak dan garing.  Ketepikan.
3.  Gunakan minyak yang sama sebanyak 1 sudu kecil.  Tumis bawang besar sehingga kekuningan.
4.  Kemudian masukkan ikan bilis  dan lobak masin yang telah digoreng diikuti dengan cili hijau.  Perasakan dengan gula.  Kacau dan kaup balikkan sehingga sebati. 
5.  Pecahkan sebiji telur di tepi kuali dan kacau sehingga telur hancur.  Kemudian kaup balikkan dengan ikan bilis dan lobak masin tadi.
6.  Bila telah sebati, bolehlah ditutupkan api.

Tuesday, April 17, 2012

TOM YAM SOTONG



Bahan-bahannya:
600 gm sotong
1 labu bawang besar - dihiris bulat
2 - 3 batang serai dititik
5 - 6 cili api merah dititik
3 sudu besar pes tom yam thai
1 ketul kiub tomyam maggi
1/2 batang lobah merah - dipotong serong
Bunga kobis
Cendawan tiram warna putih
1 batang saderi - dipotong serong
1 biji tomato dibelah 4
5 - 6 keping daun limau purut
2 sudu besar jus limau kasturi
Air secukupnya untuk kuah tom yam






Cara-cara penyediaannya:
1.  Didihkan air secukupnya di dalam periuk.  Kemudian masukkan pes tomyam, kiub tomyam, dan serai.  Kacau rata dan biarkan kuah mendidih.  Perasakan dengan garam.
2.  Kemudian, masukkan sotong dan kacau sebati.  Biarkan ia mendidih sekali lagi.
3.  Selepas itu masukkan lobak merah, bunga kobis, cendawan tiram, dan batang saderi, .  Biarkan di atas dapur seketika sehingga lobak merah masak.
4.  Akhir sekali masukkan bawang besar, buah tomato, cili padi dan daun limau purut, dan jus limau kasturi.
5.  Biarkan mendidih sekejap.  Tutup api dan sedia dihidangkan panas-panas. 


Saturday, April 14, 2012

SARDIN ROLL ROTI


Resepi ini diperolehi daripada Majalah Wanita terbitan bulan November 2010 semasa Kak Noor sedang mengemas buku-buku lama untuk dibuang di pejabat tempoh hari.  Nama chefnya pun Kak Noor dah lupa.  Sekadar hanya dapat mengingati resepinya sahaja. 


Sebenarnya resepi asal inti sardin roll menggunakan inti sardin yang tidak dimasak, hanya mengambil  isi sardinnya sahaja (kuahnya dibuang) dan terus diadun dengan bahan-bahan lain. Memandangkan Kak Noor dan keluarga tidak berapa menggemari isi sardin yang diadun sebegini, maka Kak Noor menggunakan kaedah menumis untuk menyiapkan intinya.


Sardin Roll yang telah siap diletak inti

Kaedah menggoreng/membakar  menggunakan marjerin

Bagi menggoreng sardin roll ini, Kak Noor tidak menggunakan minyak;  hanya meletakkan sedikit marjerin di atas kuali leper.  Dalam erti kata lain, seperti kaedah membakar ikan di atas kuali leper menggunakan margerin. Dengan menggunakan kaedah ini, minyak kurang menyerap di dalam roti.

Bahan-bahannya:
1 buku roti sandwich, apa-apa jenama pun boleh
Marjerin secukupnya untuk menggoreng roti

Bahan-bahan untuk membuat inti:
425 gm sardin di dalam tin - Kak Noor guna jenama cap ayam
1 labu bawang besar - dicincang halus
1 biji limau kasturi
1 biji cili merah dihiris
Daun sup/daun bawang dihiris halus
2 sudu besar mayonis
Garam
Marjerin untuk menumis

Cara-cara memasak inti sardin:
1.  Panaskan marjerin di dalam kuali.  Tumis bawang besar sehingga kekuningan.
2.  Masukkan sardin dan masak sehingga kuah sardin agak kering.
3.  Perahkan limau kasturi dan perasakan dengan garam.   Jika inginkan pedas, boleh masukkan hirisan cili merah.  Kacau rata dan kemudian tutup api.
4.  Alihkan sardin yang digoreng tadi ke bekas lain.  Gunakan garpu untuk menghancurkan isi sardin.  Kemudian letakkan mayonis, daun sup dan daun bawang.  Kacau dengan garpu supaya diadun dengan baik.  Dah siap pun inti.

Cara-cara membuat gam tepung:
Tepung gandum dibancuh dengan air menjadi seperti gam.

Penyediaannya:
1.  Gelek roti hingga nipis.  Kemudian letakkan inti sardin di dalamnya.  Sapukan gam tepung di tepi-tepi roti agar iamelekat ketika digulung nanti.
2.  Kemudian gulung roti tersebut dan di hujung kedua-dua roti tekan dengan garpu agar ia menjadi sardin roll yang cantik.
3.  Panaskan kuali.  Letakkan marjerin secukupnya untuk menggoreng sardin roll ini.  Gunakan api yang sederhana bagi mengelakkan sardin roll rentung. Kaedah menggoreng ialah apabila sebelah telah agak kekuningan dan garing,  alihkan ke sebelah lain.
4.  Lebih sedap makan ketika masih panas kerana ketika ini roti masih garing lagi.

Bihun Goreng Tom Yam



Bahan-bahannya:
1 bungkus bihun kering - direndam semalaman dan ditoskan.
1 labu bawang besar saiz sederhana dihiris
4 ulas bawang putih dihiris
Udang saiz sederhana (kuantiti udang yang digunakan ikut citarasa masing-masing)
Sotong  dipotong bulat - Kak Noor tidak masukkan
2 senduk nasi cili kering kisar
1 sudu besar kicap manis
2 sudu besar pes tom yam
1sudu teh cuka
Taugeh secukupnya.  Boleh diganti dengan kobis sekiranya taugeh tidak ada.
Batang saderi dihiris
Daun bawang dihiris
Cili merah dihiris
Bawang goreng
Garam/gula/serbuk perasa
Sedikit minyak untuk menumis



Penyediaannya:
1.  Panaskan minyak di dalam kuali.  Tumis bawang merah dan bawang putih sehingga naik bau dan kekuningan.
2.  Masukkan cili kering kisar .  Masak sehingga cili garing dan naik bau.
3.  Kemudian masukkan air secukupnya diikuti dengan pes tom yam, garam, gula, dan serbuk perasa (jika suka).  Biarkan ia mendidih. Pastikan air yang dimasukkan mencukupi untuk melembutkan bihun.  Elakkan daripada menambah air setelah bihun dimasukkan di dalam kuali.
4.  Selepas itu masukkan udang, sotong, dan batang saderi.  Biarkan di atas dapur sehingga udang dan sotong masak.
5.  Selepas bahan-bahan di no. 4 tadi mesra dengan kuah, masukkan bihun.  Gaul rata.
6.  Apabila bihun telah masak, masukkan taugeh  dan digaul lagi.  Kacau seketika di atas dapur.  Bila nampak taugeh telah bercampur mesra dengan bihun, bolehlah ditutup api.  Jangan sampai taugeh layu.
7.  Hiaskan dengan cili merah, daun bawang, dan bawang goreng semasa menghidang.

Kacang Buncis Leper Goreng Kunyit



Terdapat pelbagai resepi masakan menggunakan kacang buncis; seperti kacang buncis masak lemak kuning dengan udang, kacang masak lemak putih dengan soun, dan yang paling kerap dimasak ialah kacang buncis goreng.  Pelbagai bahan tambahan digunakan untuk mengenakkan lagi masakan kacang buncis goreng ini.  Ada yang menggunakan perencah daging, udang, ikan bilis, sotong dan juga tambahan sayur-sayuran seperti lobak merah dan kobis. 

Kacang buncis yang Kak Noor beli di pasar raya tempoh hari bentuknya leper.  First time jumpa kacang buncis leper ini.  Bila dah masak, rasanya sama juga dengan kacang buncis biasa.  Tetapi Kak Noor tak tahulah mungkin ada nama lain bagi sayuran ini.  Untuk resepi ini Kak Noor tak guna banyak bahan tambahan, hanya campurkan sotong dan sayur cendawan sahaja. 




Bahan-bahannya:
300 gram kacang buncis leper
2 ekor sotong besar - dipotong bulat
Sedikit cendawan tiram warna putih
Daun sup/daun bawang
1/2 biji tomato - dipotong wedges
1 biji bawang merah - dihiris
3 ulas bawang putih - dihiris
1 biji cili merah
1 sudu teh serbuk lada hitam
1 sudu teh serbuk lada putih
1 sudu teh serbuk kunyit
Garam dan gula secukup rasa

Cara memasak:
1.  Panaskan dua sudu besar minyak di dalam kuali.  Tumiskan bawang merah, bawang putih, dan cili merah sehingga naik bau dan sedikit kekuningan.
2.  Masukkan sotong dan biarkan di atas dapur sehingga sotong masak.
3.  Kemudian baru masukkan kacang buncis diiikuti dengan cendawan.  Perasakan dengan garam, gula, serbuk lada hitam, serbuk lada putih dan serbuk kunyit.  Kacau supaya semua bahan mesra. 
4.  Akhir sekali masukkan tomato, dan daun sup/daun bawang. Kacau lagi dan tutup api bila sayur buncis telah masak.  Jangan sampai sayur-sayuran layu.

Daging Goreng Kunyit





Semalam sepulang dari kerja, sempat singgah di pasar malam berdekatan stesen LRT Jelatek.  Tengok udang, sotong,  dan ketam, alahai semuanya mahal-mahal belako.  Yang paling murah ikan, tu pun harga yang paling murah RM10.00 sekilo iaitu ikan kembong kecil.  Tapi Kak Noor beli ikan mata besar sahaja.  Ikan ni sedap digoreng dan dimakan panas-panas sahaja.  Kalau masak lain mesti x jalan melainkan kalau masak sambal ikan. 

Teringin pula nak beli daging sebab dah lama x masak daging.  Beli sikit sudahlah, dapat sekali makan.  Lagipun dua orang anak bujang Kak Noor balik hujung minggu ini.  Bolehlah masak best sikit. Kalau hari-hari biasa tiada orang nak makan.  Dari segi beli daging ni Kak Noor memang agak cerewet orangnnya.  Kak Noor lebih suka beli daging tempatan daripada daging kotak (daging import).  Bukanlah Kak Noor nak memperkecil-kecilkan daging import, tetapi tekak ni x boleh nak terima  Ada `rasa'nya yang tidak diperkenankan oleh tekak ni.  Walaupun mahal daripada daging kotak, tetapi Kak Noor lebih rela mengeluarkan lebih sedikit belanja untuk membeli daging tempatan.  Tak dapat dinafikan di restoran ke... di warung makan ke.... kenduri kahwin ke.... rata-rata mereka menggunakan daging kotak.



Ok tak payahlah Kak Noor ceghita lebih-lebih sangat pasal daging kotak ni.  Terpulanglah kepada citarasa masing-masing sama ada nak beli daging kotak atau daging tempatan. Jom kita tengok resepi untuk daging goreng kunyit ini, ikut cara Kak Noor.



Bahan-bahannya:
500 gm daging batang pinang - dihiris ikut suka
1 batang saderi - dihiris
2 labu bawang besar - dimayang bulat
2 tangkai daun kari
4 - 5 biji cili padi warna merah - dipatah-patahkan
1/2 biji tomato - dipotong wedges
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya
Sedikit minyak

Bahan-bahan B (untuk perapan daging):
1 biji bawang besar
4 ulas bawang putih
20 gm kunyit hidup
20 gm halia
1 sudu besar kunyit serbuk
1 sudu teh serbuk jintan manis
1 sudu teh serbuk jintan putih
1 sudu teh serbuk cili
1 sudu teh gula
Air secukupnya

Penyediaannya:
1.  Bahan-bahan B disatukan di dalam blender kemudian dikisar hancur.
2.  Perapkan daging bersama bahan B selama kira-kira 1 jam (lebih lama lebih baik). 
3.  Panaskan minyak dalam kuali.  Tumiskan daun kari sehingga naik bau, kemudian masukkan daging yang telah diperap tadi.  Kacau sebati dan masukkan air secukupnya dan masak sehingga daging empuk.  Sekiranya air kering dan daging masih tidak empuk, boleh ditambah air.
4.  Setelah daging empuk, perasakan dengan garam, gula, dan serbuk perasa (jika suka). 
5.  Setelah rasa telah sebati dengan daging, masukkan bawang besar, batang saderi, tomato, dan cili padi.
6.  Kacau rata dan padamkan api. 

Selamat mencuba.