ASSALAMUALAIKUM DAN SALAM RAMADHAN
Salam Ramadhan 1434 Hijrah buat teman-teman blog semua. Agak tidak terlewat untuk Kak Noor mengambil kesempatan ini mengucapkan Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak. Semoga ibadah kita tahun ini lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya. Semoga kita diberi kesihatan yang baik untuk menunaikan ibadah sepanjang bulan Ramadhan yang mulia ini dan di bulan-bulan seterusnya. Ampun dan maaf jua dipinta seandainya sepanjang Kak Noor berbicara di ruangan ini mungkin terdapat tinta yang menghiris ataupun menyentuh hati kecil pembaca yang tidak disedari ataupun disengajakan. Almaklumlah kita ini insan biasa yang banyak kelemahan.
Dah masuk hari ke-3 kita berpuasa. Syukur Alhamdulillah kerana kita masih diberi `nafas' untuk menunaikan perkara keempat dalam rukun Islam. Kebiasaannya dalam bulan Ramadhan, kaum wanitalah yang paling sibuk. Lebih-lebih lagi bagi wanita yang bekerja. Balik kerja, ada kerja lain yang sedia menanti di rumah iaitu menyediakan juadah berbuka puasa untuk keluarga. Tetapi kalau tak sempat masak ataupun letih nak masak, kita mempunyai pilihan iaitu membeli lauk-pauk di bazar Ramadhan. Beres cerita. Balik hidangkan sahaja. Dah boleh jimatkan masa kat situ.
Tetapi bagi yang tidak suka membeli disebabkan tidak `sesuai' dengan citarasa, walaupun letih mereka sanggup memasak di rumah walaupun ia satu masakan yang ringkas. Bagi Kak Noor hari pertama puasa, sepulangnya dari kerja singgah di bazar ramadhan membeli apa yang patut untuk berbuka. Ingat first day puasa nak masak asam pedas tulang, tetapi tulang dalam peti ais itu tak dikeluarkan lagi untuk dinyahbeku. Nak kena rebus sampai empuk dulu tulang daging tu, mestilah ambil masa yang lama. Nanti tak sempat masak pula. So... mahu tak mahu terpaksalah beralih ke bazar Ramadhan. Tetapi bagi Kak Noor kalau ada masa, lebih baiklah masak kat rumah, lebih memenuhi citarasa kita. Setakat kuih-muih tu bolehlah beli kat Bazar Ramadhan, banyak pilihan. Kalau kita buatpun, hanya satu jenis sahaja.
Menu yang Kak Noor muatkan hari ini ialah menu hari ke-2 berpuasa. Jadi juga akhirnya masak asam pedas tulang daging ini. Teruja sangat dengan resepi Asam Pedas Daging Seri Melaka dalam blog Che Mat Gebu, itulah yang `menyemarakkan' lagi semangat Kak Noor untuk cuba masak asam pedas ini walaupun letih sepulangnya dari kerja. Tapi nasib baiklah dalam bulan puasa ini, balik awal. Jam 4.30 dah boleh balik. Sempatlah masuk ke dapur. Dah kecur sangat tengok asam pedas dalam blog Che Mat Gebu. Tetapi dalam resepi ini Kak Noor guna tulang daging lembu (Mat Gebu gunakan isi daging). Kuahnya pula Kak Noor banyakkan sebab Kak Noor dan anak-anak suka menghirup kuahnya. Lagi sedap kalau makan `nasi banjir'. Bukan roti canai sahaja yang ada banjir tau!
Juadah berbuka puasa hari ke-2 Ramadhan; asam pedas tulang, ikan goreng, telur masih, ulam-ulaman dan sambal belacan. Alhamdulillah..., menyelerakan sekali. |
Bagi menjimatkan masa di dapur, selepas sahur Kak Noor terus rebuskan tulang daging tu. Jam 7.00 pagi, tulang daging dah empuk. Tutup api. Balik kerja nanti, tak payah fikir nak rebuskan tulang daging lagi. Asam pedas ini Kak Noor hidangkan bersama telur masin, ikan goreng, sambal belacan dan ulam-ulaman. Walaupun ringkas, ia cukup menyelerakan. Bertambah nasilah Encik Abang dan anak perempuan bongsu Kak Noor.
Ulam-ulaman, bendi celur dan baby carrot, dicicah dengan sambal belacan. |
Jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada Cik Mat Gebu yang sudi berkongsi menu yang `amat sedap' ini. Sebenarnya inilah pertama kali Kak Noor memasak asam pedas versi Melaka ini. Selalunya masak stail Penang aje, ikut resepi bonda. Sekali sekala pekena asam pedas versi Melaka, meletop juga.... sedap tidak terkata!
Jom kita tengok resepinya. Resepi ini Kak Noor ambil dari blog Che Mat Gebu. Adalah sedikit olahan, tapi tak banyak pun... Resepi asal Che Mat Gebu boleh klik di SINI.
Bahan-bahannya:
800 gram tulang daging lembu yang ada isi - direbus bersama daun limau purut sehingga empuk
2 batang serai - dititik
Secekak daun kesum - anggaran RM1.00
1 kuntum bunga kantan - dibelah dua
3 - 4 helai daun limau purut
1 camca besar pes asam jawa (jenama Adabi)
3 senduk nasi cili kering kisar
1 kiub tom yam (apa-apa jenama pun boleh) - Kak Noor tambah
1 sudu besar gula perang - Kak Noor tak guna gula putih
Garam secukup rasa
Minyak secukupnya untuk menumis (Jangan gunakan minyak yang banyak)
Bahan-bahan tumis:
1 labu bawang besar saiz kecil - dihiris
3 ulas bawang putih - dihiris
2 tangkai daun kari - dilurut daunnya
1 camca teh jintan kasar
1 camca teh jintan halus
Bahan-bahan dikisar halus (menggunakan blender):
1 labu bawang besar saiz besar
4 ulas bawang putih
4 biji buah keras
3/4 inci kunyit hidup
1 inci halia
1 inci lengkuas
1 camca teh serbuk lada hitam
Cara membuatnya:
1. Rebus dulu tulang daging bersama 4 helai daun limau purut sehingga daging empuk. Ketepikan. Jangan dibuang air rebusan kerana ia akan dijadikan kuah.
2. Panaskan minyak di dalam periuk. Masukkan bahan tumis dan serai, tumis sehingga harum. Tambah bahan kisar halus dan masak sekejap. Masukkan cili kering kisar dan masak hingga garing dan terbit minyak. Guna api kecil dan kacau selalu.
3. Masukkan tulang daging bersama air rebusannya, kiub tom yam, daun kesom, bunga kantan, dan daun limau purut. Masukkan pes asam jawa, kacau rata. Perasakan dengan garam dan gula. Sekiranya air rebusan sedikit, bolehlah ditambahkan air lagi. Terpulang kepada citarasa masing-masing, kalau mahukan asam pedas ini pekat, tak perlu ditambah air dan masak sehingga pekat.
4. Masak sehingga kuah mendidih. Jika rasa dah okay, bolehlah ditutup api.
5. Set hidangan dicadangkan bersama ialah telur masin, ikan goreng, sambal belacan, dan ulam-ulaman.
SELAMAT MENJAMU SELERA!
0 comments:
Post a Comment