Pages

Showing posts with label Petua/Tips. Show all posts
Showing posts with label Petua/Tips. Show all posts

Sunday, December 4, 2011

Pentingnya Cuci Buah Pakai Air Garam

Bagi penggemar buah-buahan, sebelum kita makan buah kegemaran kita, eloklah kita cuci buah tersebut dengan garam terlebih dahulu. Kita tengok apa terjadi apabila kita basuh buah dengan garam.  Contoh di sini ialah buah laici.  

Letakkan air bersama garam dalam bekas.  Kemudian direndam buah laici seketika.
Bila kita angkat buah laici dari bekas, inilah hasilnya.... ulat...ulat...



Thursday, December 1, 2011

Pes Halia Bawang Putih

Kak Noor asal orang Penang.  Dilahirkan di Penang.  Bonda orang Penang dan ayahanda orang Kelantan.  Kak Noor dan semua adik-beradik dibesarkan di Penang sebab ibubapa menetap di Penang.  Orang Penang memang tak boleh dipisahkan dengan masakan mamak.  Tosei, capati, nasi kandaq dan masakan ala mamak telah menjadi sebahagian daripada kehidupan.  `Lidah tidak pernah bohong’.  Walaupun telah menetap di Kuala Lumpur selama lebih kurang 19 tahun, Kak Noor masih rindukan masakan Penang.  Susah nak dapat citarasa masakan Penang sebenarnya di Kuala Lumpur ni.  Walaupun kat KL ni banyak restoran nasi kandaq, tetapi masih tak sama dengan restoran nasi kandaq di Penang.   Walau apapun, itu pendapat Kak Noor, salah seorang anak Penang yang masih berjiwa dan bercitarasa Penang. 

Bagi sesiapa yang berminat dengan masakan mamak, cuba dapatkan resepi, petua, dan tips masakan mamak di blog `Mamak’ ini.  Bila teringin nak makan masakan mamak, Kak Noor akan ke blog ini untuk mencari resepi idaman Kak Noor.

Dalam Kak Noor dok layan web mamak ni, terjumpalah cara-cara untuk membuat pes halia bawang putih.  Pes ini amat berguna dalam masakan India atau nasi kandar.  Boleh dikatakan semua masakan dari nasi sehinggalah ke masakan ayam atau ikan menggunakan pes ini  Tanpa pes ini, tak adalah rasa kari mamak yang ori. Jom kita tengok bagaimana persediaan pes halia bawang putih ini.



Bahan-bahan yang digunakan:
Halia dibuang kulit.  Cincang kasar menjadikannya 1 cawan.
Bawang putih dikopek kulit.  Kalau naklebih mudah,boleh beli bawang putih yang telah siap dikopek kulit. Cincang kasar menjadikannya 1 cawan.
1/4 sudu kecil kunyit serbuk (untuk complexion warna saja, kalau tak pakai pun tak apa).
Kak Noor suka pilih ulas yang besar.
3/4 sudu minyak masak (supaya tidak basi dan oleh juga dimasukkan sedikit garam untuk tujuan yang sama). 

Cara-caranya:
Kisar halia sedikit lumat dengan minyak dan serbuk kunyit.
Selepas itu masukkan bawang putih dan kisar sehingga lumat dan halus.
Masukkan dalam botol saiz jem dan simpan di dalam peti sejuk.  Ia boleh digunakan selama sekurang-kurangnya enam (6) bulan sekiranya digunakan dengan cara yang baik.

Nota:
Semasa kisaran atau menggunakan pes tersedia ini, jangan menggunakan tangan.  Gunakan sudu yang bersih. 

Wednesday, October 26, 2011

Petua Simpan Beras

Beras yang disimpan lama kalau nasib tak baik akan terdapat kutu atau kumbangberas.  Oleh itu bagi mengelakkan beras dihinggapi serangga-serangga ini, cuba amalkan petua ini.  Petua ini diamalkan sejak dulu lagi oleh nenek moyang kita.

Cili kering, daun pelepah belimbing, daun limau purut
  1. Masukkan beberapa biji cili kering di dalam bekas simpanan beras.  Pastikan dili kering tersebut ditimbus dengan beras. 
  2. Ada juga petua yang mengatakan kita boleh memasukkan beberapa helai daun limau purut dan beberapa helai pelepah daun belimbing.  Bagi pelepah daun belimbing, kita hendaklah menjemurnya terlebih dahulu sehinggga kering. 
  3. Masukkan beberapa biji cili kering di dalam bekas simpanan beras.  Pastikan dili kering tersebut ditimbus dengan beras. 
  4. Ada juga petua yang mengatakan kita boleh memasukkan beberapa helai daun limau purut dan beberapa helai pelepah daun belimbing.  Bagi pelepah daun belimbing, kita hendaklah menjemurnya terlebih dahulu sehinggga kering. 

Mengurangkan Kemasinan Ikan Masin

Bagi penggemar-penggemar ikan masih seperti ikan gelama, ikan talang, ikan kurau, ikan tenggiri dan ikan-ikan masin yang lain yang tidak berapa gemar dengan kemasinan yang terdapat pada ikan-ikan berkenaan tetapi masih gemar untuk menikmatinya kemasinan yang ala kadar, bolehlah mencuba resepi ini.

  1. Ikan masin hendaklah direndam dalam bekas air yang berisi air garam juga
  2. Untuk satu atau dua ekor ikan masin, cuma masukkan 1 atau 2 sudu besar garam dalam air.
  3. Kalau dalam kuantiti yang banyak, masukkan lebih garam dalam air.
  4. Rendam ikan kering dalam air garam lebih kurang 20 - 30 minit.
  5. Mungkin kita tertanya-tanya mengapa ikan yang telah masin masih hendak direndam dengan garam.  Sebenarnya garam yang kita rendam itu akan menyerap semula garam daripada ikan masin tersebut. 
  6. Selepas melepasi 30 minit, basuh ikan masin dengan air bersih.  Toskan.

Hilangkan Hanyir Ayam

Petua ini diberikan oleh bonda Kak Noor.  Insya Allah jika mengamalkan petua ini, daging ayam tidak hanyir. Kak Noor senantiasa mempraktikkannya ketika membasuh daging ayam atau daging lembu.  Kebiasaannya Kak Noor membeli ayam di pasar (bukan pasar raya ye), siap suruh dipotong kecil-kecil.  Senang bila balik rumah, basuh saja.

1.  Terlebih dahulu buangkan lemak dan darah beku yang terdapat pada daging ayam. Sekiranya tidak suka kulit, boleh juga dibuang. Kemudian dibersihkan dengan air sekali.
2.  Kemudian gaul ayam tadi dengan tepung gandum dan cuka.  Sekiranya tiada cuka, boleh digantikan dengan limau kasturi.  Ketepikan seketika lebih kurang 5 minit.  Kemudian dicuci dengan air biasa sehingga kesan tepung hilang dan bersih.  Toskan. 

Taugeh Kekal Segar

Sekiranya masih ada lebihan taugeh yang perlu disimpan, cuba petua ini.Masukkan taugeh dalam sebuah bekas bersama air.  Air hendaklah melepasi paras taugeh yang disimpan.  Campurkan dengan sedikit garam dan simpan dalam peti ais di atas rak.

Membersih dan Memotong Kobis

Tips dan petua membersih dan memotong kobis ini Kak Noor ambil daripada laman web http://balannambiar.wordpress.com untuk dikongsi bersama.  Boleh ke laman web berkenaan untuk mencuba resepi-resepi masakan utara @ mamak.
  1. Kebiasaannya bahagian dalaman kobis ini bersih. Ala kadar bersihkan di luaran saja sudah mencukupi. Tetapi dalam banyak kes dalam masakan sayur ini, ada ditemui "cacing sayuran” di  bahagian dalaman kobis.  Dengan ini apa yang disarankan ialah, “biar lambat, asalkan selamat” untuk dimakan, kalau tidak anda yang termakan cacing ini, akan fobia pada sebarang masakan kobis sepanjang hayat anda. Cara bersihkan kobis yang selamat ialah buka sehelai demi sehelai dan bersihkan dengan cara alirkan air bersih menerusi pili paip di dapur. Selepas itu masukkan dedaun kobis itu di dalam bekas yang berisi air garam  atau air cuka untuk membersihkan telur cacing ataupun serangga lain yang sukar dibersihkan. Rendam selama 15 – 20 minit. Basuh kembali dengan air bersih dan masukkan ke dalam penapis supaya kobis dikeringkan. Cara kebersihan ini anda akan yakin 100 peratus bersih.
  2. Memotong kobis perlu gunakan pisau diperbuat daripada keluli tahan karat (stainless steel).  Sekiranya gunakan pisau besi (carbon steel) biasa, kobis akan bertukar warna kepada kehitaman.
  3. Selepas potong kobis, jangan biarkan lebih daripada 20 minit, kerana vitamin C yang terdapat dalam kobis akan rosak. Terus masak kobis selepas saja proses pembersihan. Diingatkan kepada suri rumah yang ingin jimat sedikit perbelanjaan, jangan sekali beli kobis yang telah dipotong bersaiz di pasar.  Elakkan membeli kobis yang telah kopek, hinggakan kobis sekilo jadi setengah kilo itu.