Pages

Tuesday, April 30, 2013

Ikan Masak Lemak Kuning (Tumis)




Ikan Masak Lemak Kuning, adalah menu tengah hari tadi.  Resepi ini adalah warisan daripada nenda Kak Noor dan merupakan sajian orang Utara.   Kebiasaannya bila kita masak ikan masak lemak kuning,  kita akan gunakan cara merebus sahaja seperti masak lemak cili padi.  Kunyit pula kita gunakan kunyit hidup.  Tetapi ikan masak lemak kuning yang ingin Kak Noor kongsikan lain sedikit cara memasaknya.  Selain menggunakan serbuk kunyit menggantikan kunyit hidup, cara memasaknya pula kita gunakan`method' menumis.

Memandangkan hanya ikan selar sahaja yang ada di dalam peti sejuk, maka Kak Noor hanya gunakan ikan yang sedia ada.  Tetapi lebih sedap kalau dapat ikan tenggiri dan ikan tongkol.  Digoreng dulu garing-garing barulah sedap sebelum dimasukkan ke dalam kuah.




Sememangnya sejak kecil lagi, bila nenda dan bonda masak ikan masak lemak kuning, mereka gunakan cara menumis.  Bila Kak Noor dah berhijrah ke Kuala Lumpur baru Kak Noor didedahkan kepada method cara merebus.

Anyway bagi sesiapa yang tidak pernah lagi merasa masakan ikan masak lemak kuning cara menumis, bolehlah cuba resepi seperti di bawah.  Tetapi ingat, gunakan minyak yang sedikit sahaja untuk menumis supaya tidak terbit minyak di permukaan kuah.

Selamat mencuba...



Bahan-bahannya: 
3 ekor ikan selar besar – seekor dipotong dua dan digaramkunyitkan
Sedikit kunyit serbuk
1 cawan santan kelapa sawit – dicampur dengan tiga cawan air
2 – 3 keping asam gelugor (asam keping)
1 biji timun Jepun, dipotong memanjang – opsyen
1 – 2 biji cili merah
Gula, garam dan serbuk perasa
Minyak secukupnya untuk menggoreng ikan

Bahan-bahan tumis: 
2 sudu besar minyak
1 biji bawang besar, dihiris
2 ulas bawang putih, dihiris
2 inci halia, dihiris memanjang
2 batang serai, dititik

Cara-cara memasak: 
1. Panaskan minyak secukupnya di dalam kuali dan goreng ikan. Ketepikan.
2. Panaskan dua sudu besar minyak di dalam periuk. Tumis bawang besar, bawang putih, halia, dan serai sehingga naik bau dan bawang kekuningan.
3. Kemudian masukkan ikan yang telah digoreng tadi. Kaup balikkan seketika.
4. Selepas itu masukkan santan, serbuk kunyit, dan asam gelugor. Kacau rata. Perasakan dengan garam, gula dan serbuk perasa.
5. Masak sehingga kuah mendidih. Akhir sekali masukkan timun dan cili merah.
6. Tutup api dan bolehlah dihidangkan.

0 comments:

Post a Comment