Pages

Wednesday, October 5, 2011

Kari Ikan Kering Talang (Tumis Darat Ala Utara)

Hari ini, Kak Noor nak kongsi resepi ni dengan kekawan semua.  Resepi ini adalah resepi turun temurun keluarga Kak Noor di Pulau Pinang.  Kebiasaannya kalau tak ada selera makan, Kak Noor akan masakkan kari ini untuk santapan keluarga.  Tambah... dua tiga pinggan nasi bila pekena kari ikan kering talang ni..... tambah-tambah hubby Kak Noor, dah tak pandang belakang.




Bahan-bahannya:
10 - 12 keping ikan kering talang (campur isi dan tulangnya)
Terung bulat 2 biji sederhana (sebiji dibelah dua)
Ubi kentang 5 biji saiz sederhana (setiap biji dibelah dua)
Nanas 1/2 biji (Kupas dan bersihkan nenas ini.  Buah nenas tak perlu dibelah, hanya potong menyerong jadi berkeping-keping macam sengkuang anggaran ketebalan 1/2 cm dan lebar 10 cm.  Tidak perlu ambil bahagian empulur yang keras itu)
Cili hijau 3 biji
Tomato 2 biji sederhana (setiap biji dibelah dua)
Air asam jawa (lebih senang guna pati asam jawa extra Adabi anggaran 1 sudu besar, tapi kalau tiada, guna asam jawa biasa sahaja, anggaran 3 sudu besar dan dicampur dengan secawan air)
Minyak untuk menumis
Santan secukupnya (1/2 cawan santan pekat, kemudian ditambah air menjadikannya 1 cawan)
Garam (kalau perlu, rasa dulu kalau tak cukup masin, baru tambahkan)
Sedikit perisa kalau suka 



Ikan kering talang, famous di Utara
Nanas, bahan yang wajib ada dalam kari ikan kering talang
Antara sayur-sayuran yang digunakan dalam masakan ini


Bahan-bahan A:
1 1/2 paket serbuk rempah ikan (cuba rempah ikan cap `o') 
Sedikit serbuk cili (kalau suka pedas)
1 biji bawang besar saiz besar
Bawang putih 3 ulas
1 tangkai daun kari
3 cawan air
(Bahan-bahan A dikisar bersama untuk mendapatkan rempah yang enak)


Bahan-bahan tumis darat; bawang merah, bawang putih, halba campur, dan daun kari


Bahan-bahan B (untuk tumis darat):
3 ulas bawang merah atau bawang besar 1 biji sederhana dihiris nipis
3 ulas bawang putih dihiris nipis
Halba campur 2 sudu besar (boleh beli kat kedai, dah siap campur)
2 tangkai daun kari 
Minyak untuk menumis (anggaran 1/4 cawan)

Cara penyediaannya:

  1. Bersihkan kepingan ikan talang masin dan rendam selama 1/2 jam untuk mengurangkan rasa masin.  Kemudian dibersihkan.
  2. Masukkan ikan kering talang di dalam periuk bersama-sama dengan bahan A. Kalau bahan A agak pekat, masukkan sedikit air ke dalam periuk.  Masak atas dapur lebih kurang 10 - 15 minit hingga rempah kari benar-benar masak dan sebati dengan ikan kering tadi.  Setelah mendidih masukkan air asam jawa dan biarkan ia mendidih lagi. 
  3. Kemudian masukkan ubi kentang.  Setelah ubi kentang 1/2 empuk, masukkan santan, nenas dan terung bulat. Biarkan terung dan nenas agak lembut, kemudian  masukkan cili hijau dan tomato. Biarkan ia mendidih dan kemudian tutup api.
  4. Dalam kuali berasingan, panaskan minyak.   Setelah minyak panas,masukkan bahan-bahan B dalam kuali.  Goreng sehingga bahan-bahan tersebut agak kekuningan dan garing.  Kemudian tuangkan bahan-bahan tersebut bersama minyak tumisan di dalam periuk kari tadi.  Tutup periuk cepat-cepat supaya aroma tumisannya tidak hilang.  Kacau rata kari ini sebelum dihidangkan. 
Bagi melengkapkan set hidangan makanan tengah hari, Kari Ikan Kering Talang ini dihidangkan dengan menu lain seperti sambal tumis udang petai, sambal belacan dan ulam-ulaman, dan sayur goreng kacang buncis.  Lebih- lebih lagi kalau dihidangkan dengan nasi panas.  Menu ini sesuai jika ada saudara-mara datang berkunjung di rumah kita. Menjilat jari... kalau tak tambah nasi memang tak sah...

Selamat mencuba, kalau tak faham boleh tanya Kak Noor ye!. 


Kari dalam periuk....
.....yang dihidangkan, tak sabar nak makan nasi


0 comments:

Post a Comment