Pages

Tuesday, October 11, 2011

Kuah Kacang Berdaging Utara

Kuah kacang ini adalah resepi yang diturunkan oleh bonda Kak Noor.  Kak Noor tak copyright kat mana-mana.  Semuanya asli.  Semasa Hari Raya, Kak Noor masak kuah kacang ini untuk dimakan dengan nasi empet dan ketupat.  Kuah kacang ini boleh juga dicicah dengan sate dan cucur udang.  Pernah masak untuk ofis masa jamuan, kawan-kawan kata sedap.  Cubalah resepi ini. 


Bahan-bahannya:
1 kg. kacang tanah yang telah siap dikisar
Sedikit daging lembu dipotong kecil dan nipis
Air asam jawa
Gula putih + gula merah
Garam
Marjerin + minyak masak untuk menumis
Sehelai daun pandan
1 batang serai dititik

Bahan-bahan untuk dikisar: 
Anggaran RM2.00 cili kering
(cili kering dipotong dan direbus sehingga mendidih.  Kemudian dibasuh dan ditoskan)
2 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
1 inci halia
5 batang serai dihiris
1 inci lengkuas
(Semua bahan-bahan di atas digoreng tanpa minyak  sehingga naik baunya selama 10 minit.  Kemudian disejukkan seketika.  Bila telah sejuk, masukkan bahan-bahan ini di  dalam mesin pengisar. Tambahkan sedikit air dan kisar sehingga halus menjadi pes)


Penyediaannya:
1.  Panaskan marjerin dan minyak masak dalam periuk.  Setelah minyak panas, masukkan bahan-bahan yang dikisar dan masak sehingga terbit minyak.
2.  Setelah terbit minyak, masukkan air asam jawa, gula merah+gula putih, garam, dan perisa.  Kacau sebati dan kemudian masukkan daging dan serai yang dititik.  Tambahkan sedikit air dan masak sehingga daging empuk.
3.  Selepas daging empuk, masukkan kacang tanah yang telah dikisar bersama daun pandan.  Kacau sebati sehingga kacang tanah bersalut dengan kuah tadi.  Kalau pekat sangat, boleh tambah air. Masak sehingga kuah mendidih dan terbit minyak.

Tips:
1.  Gunakan cili kering yang kerinting, jangan guna cili kering yang berkilat kerana pedas.
2.  Kacang tanah yang telah siap dikisar boleh dibeli di NSK Selayang, NSK Taman Sri Rampai atau pasar raya basah.  Kalau tiada, beli kacang tanah, bakar dalam oven sehingga masak dan kemudian dikisar.

0 comments:

Post a Comment