Pages

Thursday, December 29, 2011

Ikan Siakap Goreng Tiga Rasa

Minggu lalu Kak Noor sekeluarga pergi makan di Restoran Thai yang terletak di Datuk Keramat.  Minggu itu pakcik dan makcik Kak Noor datang dari Utara.  Ada majlis yang mereka perlu hadir di Kuala Lumpur.  Sebelum berangkat pulang ke Butterworth menaiki tren malam, Kak Noor sempat membawa mereka sekali singgah untuk makan malam di Restoran Thai ini.  Telah agak lama juga Kak Noor sekeluarga tidak berkunjung ke restoran ini, sampai nama restoran pun telah ditukar daripada Ali Tom Yam kepada Restoran Thai.

Malam itu Kak Noor order nasi putih  bersama lauk pauk seperti siakap goreng tiga rasa, kerabu mangga, sup tom yam campur, sayur paprik, dan telur dadar.  Berselera sungguh anak-anak Kak Noor makan sampai licin, terutama lauk ikan siakap goreng tiga rasa.  Kak Noor memang tak gemar makan ikan sejak kecil lagi; dalam erti kata lain lauk ikan is my last choice. Setakat masak aje lah....

Bila teringatkan betapa berseleranya  anak-anak Kak Noor menjamah ikan siakap pada malam itu, maka timbullah idea untuk memasak resepi ikan siakap goreng tiga rasa ini.  Hidangan ini rasanya pedas, manis, dan masam.  Mungkin disebabkan itulah ia dinobatkan dengan perkataan tiga rasa.






Bahan-bahannya:
1 ekor ikan siakap (anggaran lebih kurang 1 kg).
1 biji bawang besar dihiris
3 ulas bawang putih dihiris
2 inci halia dihiris
1 biji tomato dipotong kiub
1 tin kecil pineapple cubes - Kak Noor guna Ayam Brand
3 sudu besar sos pineapple
3 sudu besar sos cili padi -  Kak Noor guna jenama Agro Mas
3 sudu besar sos cili
3 sudu besar sos tiram
2 sudu pes tom yam
1/2 biji lemon diperah airnya
1 sudu tepung jagung + air untuk memekatkan kuah
1 tangkai daun sup - untuk hiasan
1/2 biji tomato - untuk hiasan
Garam secukup rasa
Minyak untuk menggoreng ikan secukupnya
Sos cili padi dan potongan nanas kiub, antara bahan-bahan yang digunakan untuk resepi ini.
Penyediaan ikan untuk gorengan:
Campurkan 1 biji telur, serbuk kunyit, garam, lada sulah, dan tepung jagung. Gaul sehingga sebati.  Kemudian lumurkan kepada ikan siakap dan ketepikan.


Cara-cara memasak:
  1. Panaskan kuali. Goreng ikan siakap dengan minyak terendam sehingga garing.  Ketepikan.
  2. Gunakan minyak ikan goreng tadi untuk menumis, anggaran 1 senduk minyak.
  3. Tumiskan hirisan bawang besar, bawang putih, dan halia sehingga naik bau dan kekuningan.
  4. Masukkan kesemua sos, buah tomato yang telah dipotong kiub, dan air nanas di dalam tin. Sekiranya mahukan lebih kuah, boleh tambah 1 cawan air.   Perasakan dengan garam.  Biarkan kuah mendidih.   
  5. Tuangkan bancuhan tepung jagung di dalam kuah untuk memekatkannya.  Kacau sehingga sebati.
  6. Akhir sekali masukkan kiub nanas dan perahan air lemon.  Biarkan kuah mendidih sekali lagi dan tutup api.
  7. Letakkan ikan siakap yang telah digoreng tadi di dalam bekas.  Kemudian tuangkan kuah yang telah dimasak tadi di atas ikan.
  8. Hiaskan dengan daun sup dan hirisan tomato.
  9. Sedia untuk dimakan dengan nasi panas-panas.
Bertambah-tambah berseleralah anak-anakku dengan hidangan ini. Bukan selalu dapat menikmatinya.... 

0 comments:

Post a Comment