Kalau kita nak cari masakan Thailand yang sedap dan halal, kita cari restoran dan kedai makanan di mana tuan punyanya adalah orang Thailand dan pekerja-pekerjanya juga terdiri daripada orang Thailand. Di Kuala Lumpur ini terdapat sebuah Restoran Thai iaitu `Ali Tomyam' yang terletak di Jalan Dato' Keramat, berhadapan dengan masjid Dato' Keramat. Restoran ini memang famous kerana pada setiap malam memang penuh dengan pelanggan. Antara menunya ialah ikan 3 rasa, tom yam, kerabu mangga, somtam, daging masak merah dan pelbagai lagi. Nasi yang dihidangkan menggunakan beras siam. Sedap sangat....
Kak Noor dan keluarga telah beberapa kali makan di kedai ini dan boleh diberi 5 bintang kerana menepati citarasa Kak Noor dan keluarga. Lagipun servisnya cepat kerana terdapat pekerja yang ramai. Selain masakan Thailand, restoran ini turut menyediakan masakan lain seperti nasi goreng, mee goreng, bihun goreng dan lain-lain menu.
Apa-apapun, kita boleh cuba masak sendiri tomyam, walaupun mungkin tidak sesedap tomyam di Restoran Ali Tom Yam. Masak tomyam ni mempunyai dua kaedah iaitu sama ada kita menumis atau merebus. Tapi yang paling mudah dan cepat ialah kaedah merebus. Kak Noor telah banyak kali menggunakan kaedah merebus, dan kali ini Kak Noor menumisnya pula. Yang mana lebih sedap, merebus atau menumis? Cubalah sendiri... tak cuba tak tahu. Tapi bagi Kak Noor, menumis lagi sedap. Apa-apapun bergantung kepada citarasa masing-masing.
Bahan-bahannya:
- 500 gram ayam - dipotong kecil bersama tulang
- 10 ekor udang saiz sederhana(dibuang kulit)
- 5 ekor sotong - dipotong gegelang
- 2 biji bawang besar - dihiris bulat
- 2 biji tomato - dibelah 4
- 100 gram cendawan butang - dipotong
- 1 batang lobak merah - dipotong
- 2 sudu besar pes tomyam
- 2 biji limau nipis (diambil perahannya)
- Beberapa batang daun sup (dihiris)
- 3 helai daun limau purut
- 2 batang serai diketuk.
- 4 cawan air
- Minyak masak
Bahan-bahan ditumbuk atau dikisar:
- 100 gram ikan bilis
- 10 biji cili padi
- 5 biji cili merah
- 3 ulas bawang putih
- 3 biji bawang merah
Penyediaannya:
- Panaskan minyak dalam kuali. Tumis bahan-bahan yang ditumbuk dan kacau seketika.
- Masukkan pes tomyam. Kacau rata.
- Kemudiaan masukkan ayam dan digaul rata dengan bahan tumisan dan pes tomyam tadi.
- Masukkan air, diikuti dengan garam, perahan limau nipis, serai, dan daun limau purut. Masak sehingga ayam empuk.
- Selepas ayam empuk, masukkan udang, lobak merah, cendawan butang, buah tomato, cili padi, dan batang sup. Biarkan ia mendidih lagi.
- Sebelum angkat, masukkan bawang besar yang dihiris bulat. Sedia dihidangkan.
0 comments:
Post a Comment