Resepi ini amat ringkas sekali dan sesuai untuk yang telah berkeluarga dan yang masih bujang. Masakan ini amat disukai oleh anak-anak Kak Noor. Sekali masak bukan setakat 1 atau 2 biji kentang, tetapi sekurang-kurangnya 10 biji. Selain makan bersama nasi, ia sedap dimakan begitu sahaja.
Bahan-bahan yang diperlukan:
10 biji kentang - dikupas kulit dan dipotong macam `wedges'
1 biji bawang besar dihiris
3 ulas bawang putih dihiris
1 tangkai daun kari
1 biji buah tomato dipotong kiub
2 senduk besar cili kering kisar - Kak Noor guna sukatan senduk nasi
2 camca besar sos cili
1 camca besar sos tomato
2 camca besar sos tiram
Gula perang + gula putih secukup rasa (nisbah gula perang mesti lebih daripada gula putih)
Garam dan perasa
Minyak secukupnya untuk menggoreng ubi kentang
Minyak untuk menumis
Cara-cara memasak:
- Ubi kentang dikupas kulit dan dipotong seperti `wedges'. Basuh dan toskan. Gaulkan dengan sedikit kunyit dan garam.
- Panaskan minyak secukupnya dalam kuali. Goreng ubi kentang sehingga masak kekuningan. Angkat dan ketepikan.
- Minyak gorengan ubi tadi dibuang sedikit. Tinggal lebih kurang sesenduk dalam kuali untuk menumis.
- Tumiskan bawang merah, bawang putih dan daun kari sehingga naik bau.
- Masukkan cili kering kisar dan masak sehingga terbit minyak.
- Kemudian masukkan buah tomato dan kacau rata. Sekiranya kuah pekat, boleh dimasukkan sedikit air. Biarkan ia mendidih.
- Kemudian masukkan sos cili, sos tomato, sos tiram. Perasakan dengan gula, garam, dan serbuk perasa. Kacau rata dan biarkan ia mendidih.
- Perlahankan api. Akhir sekali masukkan ubi kentang goreng dalam kuah dan kaup balikkan sehingga sebati. Angkat dan boleh dihidangkan. Boleh tabur daun sup/daun bawang jika suka.
0 comments:
Post a Comment