Sekarang ini sedang berlangsung MPH Book Fair di KL Sentral. Kak Noor ambil peluang ini untuk mencari buku resepi masakan Thai yang boleh dibuat rujukan untuk masakan harian. Dalam banyak-banyak buku resepi di situ, sempatlah Kak Noor sambar buku resepi bertajuk `Hidangan Terbaik Dunia Thai' oleh Chef Nazira Noran.
Pagi tadi Kak Noor cuba resepi Padprik Campur oleh Chef Nazira Noran. Padprik lagi!! Memang keluarga Kak Noor tak pernah jemu makan lauk padprik. Ada bermacam resepi lauk padprik ini. Apa yang penting kita tahu bahan asas untuk resepinya dan yang lainnya kita boleh olah sendiri; contohnya bahan-bahan sayuran yang perlu dimasukkan boleh mengikut citarasa kita sendiri. Pun begitu, ada juga bahan-bahan yang Kak Noor tak masukkan dalam resepi ini sebab tak ada stok. Tetapi hasilnya masih menepati citarasa. Nyum-nyum.
Bahan-bahannya:
50 gram ayam - dipotong dadu
50 gram daging - dipotong dadu nipis
8 ekor udang - dibuang kepala dan kulit (Kak Noor tak masukkan)
3 ekor sotong - dipotong bulat (Kak Noor tak masukkan)
30 gram bunga kobis (Kak Noor ganti dengan kacang panjang)
1/2 batang lobak merah - dipotong bulat
2 tangkai daun bawang
1/2 labu bawang besar - dipotong bulat
4 biji bawang merah - ditumbuk
2 ulas bawang putih - ditumbuk
1 batang serai - diketuk
5 helai daun limau purut
3 sudu makan cili kering kisar
1 sudu makan sos cili
1 sudu makan sos tomato
Garam dan gula secukup rasa
4 sudu makan minyak masak
Sedikit air sekiranya perlu
Cara-cara membuatnya:
- Panaskan minyak. Tumis separuh bawang besar, bawang merah, bawang putih, serai, daun limau purut sehingga wangi.
- Masukkan cili kisar, sos tomato, dan sos cili. Masukkan garam dan gula secukup rasa. Kemudian goreng sehingga pecah minyak.
- Masukkan ayam, daging, udang, dan sotong. Kacau sehingga masak dan tambahkan air sekiranya perlu.
- Kemudian masukkan lobak merah, bunga kobis, dan kacang panjang.
- Akhir sekali masukkan daun bawang dan kacau seketika.
- Kalau suka boleh tambahkan 1 biji bawang besar yang dipotong bulat.
0 comments:
Post a Comment