Pages

Friday, January 6, 2012

Kari Ketam Bernanas (Masakan Utara)

Sejak kelmarin lagi puas Kak Noor memikirkan apakah masakan yang perlu dihidangkan untuk keluarga di hujung minggu. Mestilah sesuatu yang istimewa sedikit daripada hari-hari biasa dan boleh membangkitkan selera. Hidangan ayam, daging, dan ikan dah selalu sangat.

Semalam sewaktu pulang dari kerja, Kak Noor dan hubby singgah di pasar malam Jelatek yang terletak berdekatan dengan LRT Jelatek. Nak jengok-jengok apa yang berkenan di hati dan patut dibeli. Orang kata kalau nak beli lauk yang fresh, beli di pasar malam walaupun harganya lebih mahal daripada pasar raya atau pasar

Setelah dua tiga kali berlegar-legar, ternampaklah ketam fresh. Harganya RM20.00 1 kg, standard price. Sebab itulah tak boleh selalu masak ketam. Kalau setakat masak dua tiga ekor, memang `lekat di celah gigi’. Tambahan pula kalau ada anak yang ramai; tak boleh kurang daripada 10 ekor ketam. Biar mereka puas menikmatinya.

Ketam kebiasaannya dimasak gulai lemak, masak sambal, dimasak masam manis. Jarang sekali di sebelah dimasak kari. Tetapi di sebelah Utara, ketam kebiasaannya dimasak kari dengan nanas manis. Tujuannya ialah supaya kuah ketam akan terasa manis dan menambahkan aroma masakan kari ketam ni. Memang amat menyelerakan. Anak Kak Noor yang kecil pun kata `sedap dan wanginya ibu…. masak apa ni? Tak sabar Cheela nak makan’.. Lagi satu rahsianya, kalau ketam telah habis, jangan dibuang kuahnya. Boleh dicicah dengan roti benggali atau roti sandwich, atau merendam biskut cream crackers dalam kuahnya.    


So untuk sajian tengah hari ini, Kak Noor nak kongsi masakan Utara, kari ketam nanas `tumis darat’. Tumis darat ini bermakna tumis di atas. Kari ketam bernanas ini Kak Noor hidangkan bersama dengan sambal tauhu. Dah cukup menu untuk makan tengah hari ini.




Bahan-bahannya:
10 ekor ketam saiz sederhana
3 biji cili hijau
1 biji tomato saiz besar - dibelah 4
½ biji nanas – dipotong kepingan serong.
200 ml santan pekat dicampur dengan 1 cawan air
Gula dan garam secukupnya.


Bahan A: Pes kari (dikisar menggunakan blender basah):
2 paket rempah kari udang/ketam (paket kecil)
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
1 sudu besar serbuk cili
1 sudu kecil serbuk jintan manis
1 sudu kecil serbuk jintan putih
Air secukupnya untuk mengisar bahan-bahan di atas.


Bahan untuk tumis darat
Bahan B: Untuk tumis atas
1 biji bawang besar dihiris
3 ulas bawang putih dihiris
2 inci halia dihiris
2 tangkai daun kari
1 sudu besar jintan manis


Penyediaannya:
Ketam disiang dan dibersihkan. Kalau ketam besar, dibelah dua.

Masukkan ketam bersama dengan bahan-bahan A di dalam periuk. Tambahkan 2 cawan air. Masak sehingga kuah mendidih.

Kemudian masukkan santan dan kacau rata. Kacau selalu supaya santan tidak pecah.

Akhir sekali masukkan ketam dan nanas. Perasakan dengan gula dan garam. Masak sehingga mendidih dan letakkan cili hidup dan tomato biji.

Tutup api dan ketepikan periuk kari.

Dalam kuali yang lain, panaskan minyak. Tumis bahan-bahan B sehingga kekuningan, kemudian dicurahkan di dalam periuk tadi. Tutup periuk supaya aromanya tidak keluar.
Sebelum menghidang, kacau rata kari dengan bahan tumisan tadi.
Ketam dan pes kari disatukan dalam periuk
Bahan-bahan tumisan untuk `tumis darat'
Bahan-bahan tumisan yang dicurahkan ke dalam periuk kari ketam
Kuahnya, boleh dicicah dengan roti benggali dan biskut cream crackers.  Sedap.....

Dihidangkan bersama sambal tauhu 

0 comments:

Post a Comment