Pages

Saturday, January 28, 2012

Kuah Dal (2)

Kuah Dal lagi? Dah lama tak masak kuah dal.  Sekali-sekali tu teringin juga nak makan nasi dengan Kuah Dal.    Kalau dalam enti resepi Kuah Dal  yang terdahulu  tidak dimasukkan sayur-sayuran, kali ini Kak Noor nak kongsi  resepi Kuah Dal versi mamak pula.  Resepi asal Kuah Dal ini Kak Noor temui di Dapor Rusnah.   Seperti kata empunya blog, resepi mamak yang asal mungkin rasanya tidak sesedap resepi yang telah diubah suai olehnya. Kak Noor tidak nafikan hal ini kerana kebiasaannya makanan mamak hanya sedap dimasak oleh mamak juga.  Walaupun kita telah mengikut resepinya, tetapi masih tidak dapat menandingi dan menepati citarasa masakan mamak yang sebenarnya.  Mungkinkah ini disebabkan `air tangan mamak' ataupun mind kita telah disetkan sedemikian rupa?




Resepi Kuah Dal ini telah Kak Noor olah sedikit dengan menggabungkan resepi Dapor Rusnah dengan resepi Kak Noor sendiri.

Bahan-bahannya:
100 gram kacang dal
4 cawan air
1 sudu besar serbuk kunyit
2 sudu besar rempah dalca - boleh dibeli di pasar raya Carrefour
1 sudu besar serbuk jintan manis
1 sudu besar serbuk jintan putih
3 biji kentang - dipotong kecil
1 batang lobak merah - dipotong memanjang anggaran 1 inci
1 biji terung panjang (warna ungu) - dipotong serong, ketebalan 2 cm
Beberapa batang kacang panjang - dipotong 1 inci
1 biji tomato - dipotong kiub atau baji
2 batang cili hijau - dihiris nipis
1 cawan pati santan kelapa sawit + 1 cawan air (gunakan cawan yang sama)
1 sudu kecil pati asam jawa - Kak Noor guna jenama Enak
Garam dan gula secukup rasa
Sayur-sayuran yang digunakan
Bahan-bahan untuk ditumis (tumis atas):
3 sudu besar minyak masak
1/2 sudu kecil jintan manis
1 tangkai daunkari
3 tangkai lada kering - dipotong-potong
3 biji bawang merah - dihiris nipis
3 bini bawang putih - dihiris nipis


Cara Penyediaannya:
  1. Kacang dal direbus dengan 4 cawan air.  Masukkan kunyit, serbuk jintan manis, serbuk jintan putih, dan rempah dalca. Masak sehingga mendidih dan kacang dal empuk. 
  2. Kemudian masukkan bawang , ubi kentang, dan lobak merah.  Masak sehingga ubi kentang dan lobak 3/4 empuk. 
  3. Selepas itu baru dimasukkan sayur-sayuran; kacang panjang, terung, dan buah tomato. Masak sehingga sayuran agak lembut.
  4. Masukkan santan serta garam dan gula. Tambah pati asam jawa.  Kacau rata.  Sekiranya kuah agak pekat, tambah 1/2 cawan air lagi.  Masak sehingga mendidih.
  5. Perlahankan api apabila ramuan nampak agak sebati dan masukkan cili hijau.  Padamkan api selepas 5 minit dan ketepikan.
  6. Panaskan sedikit minyak di dalam kuali yang berasingan.  Tumis biji sawi dan jintan putih (dalam 30 saat).  Masukkan daun kari, lada kering, bawang merah, dan bawang putih.  Masak sehingga berbau wangi dan bawang bertukar keperangan.
  7. Kemudian masukkan semua gorengan ini ke dalam kuah dal di dalam periuk.  Tudung periuk agar aroma gorengan yang wangi tidak keluar dan menyerap di dalam kuah dal.
  8. Sebelum dihidangkan, kacau rata kuah dal dengan gorengan tadi.

0 comments:

Post a Comment