Masakan ini adalah antara kegemaran Kak Noor. Kalau masak menu ini boleh tambah nasi. Pagi, petang, malam asyik makan nasi dengan sambal tumis aje... Sebab itulah Kak Noor tak `berani' nak masak resepi ini selalu. Takut tak dapat tahan nafsu makan. Siapa boleh tahan... bila tengok sambal tumis udang petai. Orang yang diet pun akan bisa tergugat....
Kebanyakan orang lebih gemar menggunakan udang besar saiz XXL atau XL untuk masakan mereka, tetapi Kak Noor lebih gemar menggunakan udang yang bersaiz sederhana sahaja sebab sudah terbiasa sejak kecil. Lagipun udang bersaiz kecil ini lebih manis rasanya dan tidak perlu dibuang kesemua kulitnya.
Bahan-bahannya:
1/2 kg udang sederhana (dibersihkan dan dibuang kepala dan ekor sahaja)
1/4 cawan pati santan
1 biji tomato masak dipotong kiub
1 paket petai (anggaran RM3.00) - yang sudah dibuang kulit dan dibelah dua
1 sudu besar pati asam jawa - dibancuh dengan 1 cawan air
3 sudu besar gula merah
3 sudu besar gula putih
1 sudu besar kicap manis
1 sudu kecil serbuk perasa (jika suka)
2 biji bawang besar dihiris bulat
Garam secukup rasa
Minyak untuk menumis.
Bahan-bahan untuk dikisar:
1 biji bawang besar
4 ulas bawang putih
5 senduk cili kering kisar
1 inci belacan
Penyediaannya:
- Panaskan minyak di dalam periuk/kuali. Tumiskan bahan-bahan yang telah dikisar. Tutup periuk dan masak sehingga pes cili terbit minyak (naik minyak)
- Masukkan asam jawa dan tomato yang telah dipotong kiub tadi dan kacau rata.
- Perasakan dengan gula merah,gula putih, kicap manis, garam, serbuk perasa dan santan. Kacau rata dan biarkan kuah mendidih.
- Masukkan udang dan biarkan di atas dapur sehingga masak.
- Akhir sekali masukkan petai dan bawang besar yang telah dihiris bulat. Biarkan ia mendidih sekali lagi selama 1 minit. (Jangan masak sehingga petai dan bawang besar layu).
- Apabila sudah masak, hidangkan dengan nasi panas.
0 comments:
Post a Comment