Assalamualaikum dan Selamat Bersantai di hari Ahad. Bagi yang bekerja, esok bermula rutin seperti biasa; masuk pejabat semula. Kadang-kadang bila dah bercuti hujung minggu, memang timbul perasaan malas untuk masuk bekerja pada hari Isnin. Ada yang tiba-tiba pening kepala, demam, dan terpaksa ambil cuti kecemasan atau cuti sakit. Bagi yang telah menjangkau usia 50an, hanya mengira hari, bulan, dan tahun sahaja untuk bersara wajib. Jika hendak bersara pilihan, kenalah tengok komitmen dulu. Kalau komitmen masih banyak, perlu fikir 1,000 kali nak bersara awal. Tapi kalau yang berkemampuan tu, kira bonuslah bagi mereka untuk bersara awal dan beralih kepada rezeki lain pula seperti bekerja sendiri dan sebagainya.
Bercakap mengenai cuti, apa ertinya cuti bagi kaum wanita yang bergelar isteri dan ibu? Cuti adalah segala-galanya bagi kaum wanita. Masa cuti inilah boleh rehatkan diri setelah penat bekerja di pejabat, dan masa cutilah juga boleh ambil `sweet time' untuk melaksanakan tugasan rumah tangga. Tetapi ada tak cuti untuk masak? Kadang-kadang terfikir juga untuk cuti masak dan rehatkan diri aje. Bila nak makan, pergi ke kedai sahaja atau beli lauk di kedai dan masak nasi di rumah aje. Bagi Kak Noor, tengok keadaan. Kalau tak larat sangat dan badanpun kurang sihat, minta Encik Suami beli lauk kat kedai sahaja. Nasib baik Encik Suami pun tak kisah. Dia pun pernah kata, kalau tak larat masak, rehat aje.... nanti beli lauk kat kedai. Alhamdulillah dapat suami yang memahami.
Dalam dua tiga hari ini, Alhamdulillah diberi kesihatan yang baik dan mood pun kira ok jugalah. Semalam dah masak lauk ketam lemak nanas. Sampai ke tengah malam, anak-anak dan suami masih berselera makan nasi untuk menghabiskan lauk yang masih tinggal sedikit lagi. Pagi ini bila Kak Noor bangun bagi untuk menyediakan sarapan, lauk ketam dah clear. Tinggal periuk aje. Alhamdulillah..... berkat rezeki semalam.
Memandangkan semalam baru Kak Noor pergi NSK Selayang membeli barangan mentah untuk seminggu, maka masih banyaklah ketersediaan stok. Semalam ziarah blog rakan-rakan untuk mencari resepi paprik yang sedap dan terhenti di dapur Che Mat Gebu, nama yang tidak asing lagi dalam dunia blogger masakan, dan yang memang cukup terkenal dengan masakannya yang sedap-sedap dan garenti terleleh air liur apabila melihat gambar-gambar hidangan yang dimuatkan. Rata-rata resepi yang dimuatkan dalam blognya menepati citarasa Kak Noor. Pandai sungguh Che Mat kita memasak ye! Thumbs up!
Teruja dengan resepi paprik ayam
Che Mat Gebu, hari ini Kak Noor cuba masak ikut resepi yang dimuatkan tetapi seperti biasa Kak Noor hanya gunakan bahan-bahan yang tersedia ada. Kalau Che Mat masak paprik ayam
, Kak Noor pula masak paprik daging, sebab ayam tidak dibeli semalam. Memandangkan daging yang digunakan agak banyak iaitu 800 gram, maka kuantiti bahan-bahan pun turut ditambah. Ada juga tambahan sayur seperti kacang panjang untuk memeriahkan hidangan. Ternyata, memang SODAP sangat resepi ini. Terima kasih kepada Che Mat Gebu yang sudi berkongsi resepi.
800 gram daging lembu
1/2 biji cili epal (merah, hijau, kuning) - didadu
300 gram bunga kobis - dipotong sekuntum-sekuntum
150 gram kacang panjang - dipotong anggaran 1 inci - Kak Noor tambah
12 biji cili padi merah - dititik
4 batang serai - diketuk
6 - 7 helai daun limau purut
2 biji bawang besar - belah 6 setiap biji dan leraikan
3 ulas bawang putih - cincang halus
2 biji tomato saiz sederhana - setiap biji belah 6
Daun ketumbar - kerat kasar
Sos ikan secukupnya
Bahan Sos:
6 camca besar sos tomato
4 camca besar sos cili thai
4 sudu besar kicap manis
2 camca besar sos tiram
Cara Membuatnya:
1. Daging direbus sehingga empuk dan kemudian ditoskan dan disejukkan. Jangan dibuang air rebusan kerana ia akan digunakan dalam masakan ini. Setelah sejuk, potong daging nipis (anggaran biasa) secara melintang ara. Gaul dengan sedikit garam dan serbuk kunyit, gaul rata dan goreng jangan sampai garing. Angkat dan toskan.
2. Tinggalkan sedikit minyak di dalam kuali. Tumis bawang besar, bawang putih, dan serai hingga harum. Masukkan cili padi, daun limau purut dan daging tadi. Kacau dan masak sekejap. Tambahkan air rebusan daging tadi.
3. Tambah bahan-bahan sos, bunga kobis, kacang panjang, cili epal, gaul rata. Tambah sos ikan secukupnya. Masukkan tomato dan masak sehingga sayur lembut. Akhir sekali masukkan daun ketumbar, kacau dan rasa, jika telah cukup rasa, bolehlah ditutup api. Hidangkan dengan nasi panas.