Pages

Friday, December 21, 2012

Kari Ikan Tenggiri Batang,

Assalamualaikum semua...

Alhamdulillah baru saja habis makan tengah hari bersama keluarga. Hidangan tengah hari ini ialah kari ikan tenggiri, sayur kangkung goreng, sambal belacan, dan ulam kacang botol.  Walaupun lauknya simple, tetapi set hidangan lengkap ini sudah cukup membangkitkan selera dan mengenyangkan perut.  Tengok Encik suami dah dua tiga kali bertambah.




Kombinasi kari ikan tenggiri, sambal belacan, dan ulam kacang botol

Semalam, sempat ke NSK Selayang untuk membeli lauk pauk dan barang keperluan.  Memang ramai orang di NSK Selayang, tidak kira pagi, petang atau malam.  Lagipun NSK Selayang ini dibuka 24 jam.  Pernah suatu ketika Kak Noor dan Encik Suami ke NSK  jam 11.00 malam  untuk mengelakkan kesesakan, tetapi sebenarnya  semakin sesak.  Orang yang tinggal jauh dari Selayang pun sanggup ke NSK Selayang ini untuk membeli barang keperluan di sini.  Harga yang ditawarkan memang tersangat murah.   Apa lagi peniaga-peniaga restoran dan kedai makan, di sinilah mereka membeli ikan, daging, ayam, sotong, udang, dan sayur-sayuran dengan harga yang murah.  Kadang-kadang sampai dua tiga troli penuh dengan barangan.




Ikan tenggiri tu Kak Noor beli kat NSK le.... harganya memang jauh lebih murah  jika dibandingkan dengan harga di pasar raya atau pasar basah.  Memang dah lebih setahun Kak Noor tak beli ikan tenggiri ni. Tetapi semalam teruja pula nak beli ikan tenggiri.  Dalam kepala dah fikir nak masak kari.  Sebenarnya ikan tenggiri ni adalah dua jenis; ikan tenggiri batang dan ikan tenggiri bunga.  Kak Noor sendiripun tak tahu apa bezanya.  Tengok sama saja ikannya.  Yang Kak Noor perasan cuma perbezaan dari segi harga sahaja. Ikan tenggiri batang lebih mahal daripada ikan ikan tenggiri bunga.  Kena cari juga maklumat daripada halaman web mengenai ikan tenggiri ni!


Sebenarnya resepi kari ikan tenggiri batang ini sama sahaja masakannya seperti masakan kari ikan yang lain.  Cuma untuk resepi ini Kak Noor tidak menggunakan banyak santan kerana tidak mahu kuah kari terasa lemak sangat. Apa yang penting ada rasa asam dan garamnya.    

Bahan-bahannya:
6 - 7 ketul ikan tenggiri batang (isi + kepala)
10 batang bendi
1 biji tomato saiz besar (dibelah empat)
2 biji cili hijau (dibelah dua tetapi tidak putus)
1 cawan pati santan + air secukupnya (bergantung kepada kepekatan kuah)
Garam secukupnya
1/2 sudu serbuk perasa (opsyen)
1 sudu kecil gula (opsyen)
Minyak secukupnya untuk menumis

Bahan-bahan diblend halus:
4 sudu besar rempah kari ikan Babas
2 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
1 sudu besar cili serbuk
1 sudu besar pes asam jawa Xtra Adabi
Air secukupnya

Bahan-bahan ditumis:
3 biji bawang merah kecil
3 ulas bawang putih
Dua tangkai daun kari
2 sudu besar halba campur

Cara-cara memasaknya:
1.  Panaskan minyak di dalam periuk. Tumis bersama bawang merah, bawang putih, daun kari, dan halba campur sehingga kekuningan dan naik bau.  Kemudian masukkan bahan-bahan yang telah diblend. Kacau rata dan masak rempah sehingga terbit minyak/rempah garing (tutup periuk).
2.  Selepas rempah garing, masukkan santan.  Kacau rata dan masak sehingga santan mendidih. Perasakan dengan garam, gula, dan serbuk perasa.  Biarkan mendidih sekali lagi.  Rasa kuahnya.  Kuah kari hendaklah ada rasa masam dan masin yang seimbang.  Agak-agaklah.
3.  Masukkan ikan dan tunggu sehingga kuah mendidih sekali lagi dan ikan masak.  Akhir sekali bolehlah dimasukkan bendi, tomato, dan cili hijau.  Kacau dan biarkan 1 minit di atas dapur, kemudian bolehlah ditutup api dan ditutup periuk.     

0 comments:

Post a Comment