Hari ini Kak Noor nak muatkan resepi sambal belacan cara Kak Noor. Kalau dahulu kalau nak buat sambal belacan ini memerlukan lesung batu untuk menumbuknya tetapi sekarang ada kaedah baharu yang boleh digunakan iaitu dengan menggunakan blender basah. Masuk semua bahan di dalam blender dalam satu masa kemudian dikisar. Dah siap sambal belacan! Cepat dan mudahkan... Pun begitu ramai yang berpendapat hasilnya tidaklah sesedap jika ia ditumbuk menggunakan lesung batu. Apapun, Kak Noor akur dengan pendapat ini. Kenapa sambal belacan lebih sedap jika kita menggunakan lesung batu? Adakah disebabkan aura yang ada pada batu lesung itu?
Sambal belacan yang dibuat menggunakan blender |
Sekarang ini Kak Noor jarang sekali menumbuk sambal belacan menggunakan lesung. Suatu ketika dulu Kak Noor memang menggunakan lesung batu menumbuk sambal belacan. Tetapi sejak penumbuknya hilang dan tinggal lesung sahaja, maka sejak hari itu Kak Noor menggunakan blender sahaja. Okay lah juga... apapun hasilnya adalah sambal belacan.
Jom tengok macam mana Kak Noor buat sambal belacan menggunakan blender. Memang mudah sesangat. Apapun penyediaan bahan-bahan untuk membuat sambal belacan mesti complete.
Bahan-bahannya:
7 biji cili hidup segar - dibelah dua dan dibuang biji
5 - 6 biji cili padi merah - (boleh dikurangkan dan ditambahkan, bergantung kepada kepedasan yang dikehendaki)
1 sudu besar pati asam jawa Xtra ABADI
2 sudu besar jus limau kasturi
Belacan secukupnya - dipanggang/dibakar terlebih dahulu
1 sudu besar sos ikan atau sos sotong
Garam, gula, serbuk perasa
Masukkan semua bahan di atas di dalam blender basah bersama sedikit air (gunakan air mineral, air masak, atau air yang telah ditapis). Air yang digunakan tidak boleh banyak, nanti sambal cair. Agak-agaklah, sekadar untuk bahan-bahan di dalam blender tadi boleh dikisar. Kisar jangan sampai lumat. Kalau kita buat dalam kuantiti yang banyak, boleh dimasukkan di dalam tupperware dan disimpan di dalam peti ais. Selain dimakan bersama ulam, sambal belacan juga boleh digunakan untuk menggoreng sayur kangkung dan memasak nasi goreng, dan dicampur dengan kicap dan gula sebagai bahan pencicah mangga. Hai.... terliur bila sebut mangga cicah sambal belacan kicap ni.
0 comments:
Post a Comment