Pages

Sunday, June 9, 2013

Paprik Udang Tom Yam

Sebenarnya teramat kekeringan idea nak masak apa hari ini.  Pelbagai resepi berunsur kari telah dipersembahkan minggu lalu.  Jemu juga kalau dah kerap makan makanan berempah ini.  Nanti nak tengok `peti saji misteri' dahulu.  Apa yang kita boleh masak hari ini ye!   Oh.. udang.    Tapi udangnya tidaklah bersaiz XXL yang harganya sehingga mencecah RM40++  sekilo tu...  Yang biasa-biasa aje....

Sekarang ini kita cari menu menggunakan udang  yang boleh membuka selera, yang ada rasa pedas, masam, dan manis.  Apa kata kalau masak paprik.   Masakan begini memang faveret anak-anak Kak Noor, lebih-lebih lagi yang bongsu perempaun.  Gemar sangat masakan paprik.  Tapi yang paling digemarinya paprik sotong.  Diratahnya begitu sahaja.  Mungkin disebabkan semasa mengandung anak yang bongsu ini selera Kak Noor lebih cenderung kepada masakan ala Thai, especially Tom Yam dan paprik.




Tentu dah boleh teka apa menu yang Kak Noor nak persembahkan.  Tentulah Paprik Udang.  Tak kisahlah kalau guna udang kecil sekalipun.  Pokoknya ia udang dan ada rasa udang kan! Paprik Udang ini Kak Noor olahkannya sedikit dengan menambahkan pes tom yam.  Dapatlah dinamakan resepi ini Paprik Udang Tom Yam, dan dapatlah dirasai kelainan rasanya.  Kuahnya pula Kak Noor lebihkan, sebab anak-anak suka cedok kuahnya dan gaul dengan nasi.  So bagi sesiapa yang tidak suka yang  berkuah, bolehlah dididihkan kuahnya sehingga pekat.  Enak sangat bila dimakan dengan nasi panas.

Inilah resepinya.  Tunggu apa lagi, jomlah pegi masak.


Bahan-bahannya:
1/2 kg. udang saiz sederhana, dibuang kepala dan digunting ekornya.
4 - 5 keping daun limau purut
1/2 biji lada benggala (hijau) - dipotong dadu
1/2 biji lada benggala (kuning) - dipotong dadu
1/2 biji lada benggala (merah) - dipotong dadu
Kacang panjang - dipotong 1 inci panjang
1 biji bawang besar - dipotong 4 dan dibuka kelopaknya.
1 biji tomato saiz kecil - dipotong dadu
1 sudu besar perahan jus lemon
Air secukupnya untuk kuah
Garam dan gula secukup rasa
Daun sup/daun bawang untuk hiasan
Minyak untuk menggoreng udang

Bahan-bahan ditumis:
1 biji bawang besar - dipotong bulat
4 ulas bawang putih - diketuk dan dicincang kasar
5  - 6 cili padi - diketuk
2 batang serai  - dititik

Bahan-bahan Sos:
3 sudu besar sos tiram
2 sudu besar sos tomato
3 sudu besar sos cili thai
1/2  sudu besar sos sotobng/ikan - Kak Noor guna sos ikan
2 sudu besar pes tom yam Thai
1 sudu besar kicap manis - Kak Noor guna jenama kicap ABC
(Semuanya disatukan dibancuh dengan sedikit air)

Cara-cara memasak:
1.  Panaskan minyak.  Goreng udang sehingga kulitnya kekuningan dan angkat.  Ketepikan.
2.  Gunakan 2 sudu besar minyak gorengan udang untuk menumis.   Tumis bawang besar, bawang putih, cili padi dan serai sehingga naik baunya.  Masukkan udang yang telah digoreng tadi dan kacau rata.
3.  Masukkan semua jenis lada benggala, kacang panjang, bawang besar (kelopaknya),  bahan sos dan juga air. Bagi yang suka berkuah, boleh dilebihkan air.  Kacau rata dan masak sehingga mendidih.
4.  Masukkan daun limau purut dan gula.  Rasa kuahnya.  Sekiranya kurang masin, bolehlah ditambahkan sedikit garam lagi.  (Haruslah diingat bahawa sos ikan atau sos sotong yang digunakan telah mempunyai rasa masin)
5.  Akhir sekali masukkan jus perahan lemon dan kacau rata.  Semasa menghidang bolehlah dihiaskan denan daun sup/daun bawang.

0 comments:

Post a Comment