Assalamualaikum & Selamat Pagi.
Dah duduk depan komputer ni, sempatlah Kak Noor muatkan resepi menu yang Kak Noor masak pagi tadi. Sempat masak sebelum pergi kerja. Tetapi menunya ringkas aje lah, taklah istimewa sangat. Maklumlah nak mengejar masa. Just nak kongsi dengan rakan-rakan resepi sup ayam rempah soto ini. Kak Noor gunakan apa yang `terada' aje.
Untuk menambahkan aroma sup ayam ini Kak Noor gunakan rempah soto. Taklah rasa `plain' sangat sup ini. Kak Noor apply teknik perapan untuk daging ayam ini. Lebih sedap kalau dapat perapkan semalaman di dalam peti sejuk. Masukkan daging ayam di dalam beg zipper dan letakkan di dalam peti ais. Jangan letak di bahagian sejuk beku, ditakuti esok tak sempat nak defrost. Apa-apapun kalau nak masak menu ini mestilah plan dari malam lagi.
Ok tak yah nak ceghite panjang-panjang. Gambar telah dipaparkan di atas. Menunya? Jom tengok kat bawah.
Bahan-bahannya:
10 - 12 ketul ayam (saiz ayam dipotong 16) - diambil bahagian yang ada tulang
3 sudu besar serbuk rempah soto
1 sudu besar serbuk lada hitam kasar
1 bunjut sup tulang
1 biji lobak merah - dipotong bulat
2 biji ubi kentang - dipotong kecil
1/2 kiub ayam maggi
Air secukupnya
Garam secukup rasa
Daun sup/daun bawang
Bawang goreng
Bahan-bahan ditumis:
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih - diketuk dan dicincang halus
2 inci halia - diketuk
2 batang serai - dititik
2 sudu besar minyak jagung untuk menumis
Cara-cara memasak:
1. Gaul ketulan ayam bersama serbuk rempah soto dan serbuk lada hitam kasar dan diperap selama 1 jam (minimum). Lebih elok perapannya kalau semalaman di dalam peti sejuk.
2. Panaskan minyak di dalam periuk. Tumis serai dan halia sehingga wangi. Kemudian masukkan bawang putih dan bawang besar dan tumis sehingga kekuningan.
2. Selepas itu masukkan daging ayam yang telah diperap. Kacau rata dan masukkan dua cawan air, bunjut sup dan kiub ayam maggi. Tutup periuk. Perlahan api dan gunakan kaedah mereneh sehingga ayam empuk.
3. Kemudian bolehlah ditambahkan air lagi, bergantung kepada banyaknya sup yang kita mahu. Masukkan ubi kentang dan garam secukup rasa. Masak sehingga ubi kentang empuk dan sup mendidih.
4. Akhir sekali masukkan lobak merah. Tutup api dan tutup periuk.
5. Semasa menghidang bolehlah ditaburkan daun sup/daun bawang dan bawang goreng.
0 comments:
Post a Comment